Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hingga Feb seramai 9,500 pelatih SGUnited ditempatkan di 2,500 syarikat

Sehingga hujung bulan Februari, seramai 9,500 pelatih sudahpun ditempatkan di bawah program kerja SGUnited di 2,500 syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 12 Apr 2021 05:48PM Dikemas Kini : 13 Apr 2021 01:03AM

SINGAPURA: Sehingga hujung bulan Februari, seramai 9,500 pelatih sudahpun ditempatkan di bawah program kerja SGUnited di 2,500 syarikat.

Demikian menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (12 Apr).

Inisiatif-inisiatif itu - Program Pelatih SGUnited dan Program Penempatan Kerjaya SGUnited - dilancarkan pada pertengahan 2020 untuk membantu para pekerja rakyat Singapura yang terjejas oleh pandemik COVID-19.

Kedua-dua program itu sudah dilanjutkan dan dipertingkat.

Mulai 1 April, elaun-elaun latihan dinaikkan bagi para lulusan ITE dan diploma serta para pencari kerja pertengahan kerjaya yang berusia 40 tahun dan ke atas.

Dalam kalangan 9,500 yang menyertai program itu, empat daripada setiap lima orang adalah mereka yang baru tamat pengajian yang layak menjalani program latihan itu. Manakala, bakinya adalah golongan pertengahan kerjaya dan mencari kerja baru.

Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) menyatakan bahawa sebahagian besar latihan sedang dijalankan, tetapi setakat hujung bulan Februari, 200 pelatih sudah meninggalkan latihan atau latihan amali mereka lebih awal dan mendapat kerja sepenuh masa. Ini termasuk penempatan awal dengan syarikat yang mengendalikan latihan mereka.

Daripada syarikat-syarikat yang mengendalikan latihan-latihan untuk para pelatih, hampir sembilan daripada 10 adalah perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan sektor-sektor utama termasuk ICT, khidmat-khidmat kewangan dan khidmat-khidmat profesional, menurut MOM dan WGS.

WSG juga mendampingi lebih 500 syarikat yang mengendalikan latihan dengan para pelatih yang sudah menamatkan atau akan tamat latihan mereka menjelang Jun tahun ini.

Daripada jumlah ini, lebih 250 memberikan respons dan 85 peratus daripada mereka berkata mereka sudah menukar atau merancang untuk menukar peranan pelatih yang sesuai kepada peranan sepenuh masa.

Dalam kalangan baki syarikat yang mengendalikan latihan (15 peratus), sebab utama untuk tidak menukar peranan pelatih kepada peranan sepenuh masa termasuk kerana pelatih mahu menyambung pengajian, memerlukan masa untuk menilai pelatih, tidak mempunyai kerja kosong atau mendapati pelatih kurang sesuai bagi pekerjaan tersebut.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata, pada tahun lalu hampir separuh daripada mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu tawaran latihan atau latihan amali selalunya menolak kerana sudah menerima tawaran latihan lain atau sudah mendapat pekerjaan baru.

"Mesej saya kepada para majikan adalah dari satu sudut, meskipun anda mungkin jauh lebih berminat menerima mereka yang baru tamat pengajian sebagai pelatih, cuba luangkan sedikit masa untuk menerima individu-individu yang dalam pertengahan kerjaya. Mungkin adalah mutiara tersembunyi dalam kalangan mereka," kata beliau semasa mengadakan lawatan ke pejabat syarikat insurans Prudential.

Beliau menambah kedua-dua program menyediakan para pelatih dengan "pendedahan pekerjaan yang bermakna", dalam masa yang sama syarikat-syarikat mempunyai lebih banyak masa dan cara yang menyeluruh untuk menilai para calon bagi menawarkan pekerjaan sepenuh masa kepada mereka.

LEBIH BANYAK PELUANG DALAM BULAN-BULAN MENDATANG

Menurut MOM, lagi 15,000 peluang latihan dan latihan amali di syarikat-syarikat mungkin ditawarkan dalam beberapa bulan mendatang.

Namun menurut WSG, sedang kadar pengangguran berkurangan dan wujud bahagian-bahagian dalam pasaran buruh di mana pasaran buruh masih ketat, ia mula mendapati bahawa rentak permohonan kerja mula menjadi "sederhana".

"Hampir separuh daripada mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu tawaran latihan atau latihan amali menolaknya, dengan para lulusan baru lebih kerap menolaknya berbanding mereka yang dalam pertengahan kerjaya," menurut WSG.

"Sebab utama yang dinyatakan adalah sudah menerima peluang latihan lain atau mendapat kerja sepenuh masa."

Menurut WSG lagi, ia mendapati 70 peratus daripada pemohonnya juga adalah untuk 20 peratus kerja kosong.

"Boleh difahami, bahawa para pemohon cenderung kepada pertubuhan-pertubuhan yang lebih dikenali dan sektor-sektor yang menonjol. Oleh kerana itu, ramai tidak mendapat sebarang peluang ditemu bual," tambahnya.

Agensi itu menyarankan bahawa para pemohon perlu menimbangkan untuk membuat permohonan kepada lebih banyak pertubuhan serta syarikat yang menerima jumlah kecil pemohon.

Cik Teo berkata: "Kami ingin menggalak (para pemohon) supaya mencari syarikat-syarikat yang lain daripada biasa yang dikenali dan juga menimbangkan untuk membuat permohonan kepada syarikat-syarikat yang mungkin belum pernah didengar sebelum ini."

MOM dan WSG menyatakan bahawa pertubuhan-pertubuhan yang mengendalikan latihan dan para pemohon terus menunjukkan "minat yang banyak" kepada program tersebut.

"Pertubuhan-pertubuhan yang mengendalikan latihan juga boleh menunjukkan kesungguhan masing-masing dengan lebih awal menukar para pelatih yang sesuai kepada peranan sepenuh masa dan menonjolkan tentang kejayaan mereka semasa mendampingi para pemohon baru," tambah MOM dan WSG.

Pada 2020, 55,000 warga tempatan ditempatkan dalam pekerjaan, latihan dan latihan amali, menurut MOM dalam satu kemas kini pada bulan Mac.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan