Skip to main content

Singapura

Hingga 800 program pelatih dibiayai pemerintah untuk lulusan baharu akan ditawarkan mulai Okt

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Aug 2025 01:57PM Dikemas Kini : 22 Aug 2025 11:52PM
SINGAPURA: Sehingga 800 tempat kosong bagi program pelatih akan ditawarkan oleh firma-firma swasta dan sektor awam mulai Oktober ini di tengah-tengah keprihatinan yang dibangkitkan oleh para graduan baharu mengenai pasaran pekerjaan semasa.

Di bawah Skim Pelatih Industri Graduan (GRIT), elaun pelatih adalah antara S$1,800 hingga S$2,400 sebulan bergantung kepada skop setiap program pelatih, dedah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam lembaran fakta pada Jumaat (22 Ogos).

Pemerintah akan membiayai 70 peratus daripada elaun bulanan untuk pelatih dan pertubuhan yang menghoskan mereka akan membiayai baki 30 peratus, menurut agensi itu. Setiap program pelatih adalah antara tiga hingga enam bulan.

WSG akan bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk mengenal pasti syarikat dalam sektor pertumbuhan seperti perkhidmatan kewangan, teknologi infokom, serta pengilangan dan perdagangan borong, menurut lembaran fakta itu.

Selain daripada penempatan dalam syarikat-syarikat daripada sektor swasta, akan ada skim GRIT@Gov yang berasingan, yang diselaraskan oleh PSD, untuk menyokong pelatih di agensi-agensi sektor awam.

Bercakap kepada para wartawan pada Jumaat (22 Ogos), Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng berkata program itu direka sedemikian rupa untuk membantu graduan baharu menimba pengalaman industri dan kemahiran amali melalui latihan, yang kemudiannya boleh membantu mereka meneroka pilihan kerjaya mereka sambil meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran buruh.

"Satu isu yang kami dengar daripada para graduan dalam usaha mereka mencari kerja ialah walaupun terdapat pekerjaan yang tersedia, ramai majikan juga mencari individu yang mempunyai pengalaman kerja yang relevan selama bertahun-tahun untuk mengisi jawatan tersebut," kata Dr Tan.

"Tetapi graduan tidak dapat memperoleh pengalaman yang diperlukan jika mereka tidak ditawarkan peluang itu."

Butiran mengenai program pelatih itu diumumkan selepas Perdana Menteri Lawrence Wong membentangkannya dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan 2025 (NDR2025) bahawa skim pelatih yang dibiayai pemerintah akan dilancarkan untuk menangani kebimbangan terhadap pekerjaan.

Ia akan dimulakan dengan "pelancaran yang lebih fokus" dan akan diperluaskan jika ekonomi bertambah buruk, kata PM Wong.

Skim pelatih baharu itu disasarkan kepada graduan baharu dari universiti, lulusan politeknik, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan institusi pendidikan lain, menurut lembaran fakta itu. Graduan dengan ijazah sarjana atau PhD juga boleh memohon.

Rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang menamatkan pengajian mereka pada 2024 atau 2025 layak untuk skim ini.

Mereka yang menamatkan pengajian lebih awal tetapi menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) pada 2024 atau 2025, dan mereka yang hanya akan menerima sijil tamat pengajian mereka pada 2026 tetapi sudah menamatkan pengajian mereka juga layak, menurut lembaran fakta itu.

Para pelatih digalakkan untuk menyelesaikan program tersebut tetapi boleh mengundurkan diri dari program berkenaan lebih awal atas sebab yang sah, termasuk menerima jawatan sepenuh masa dalam pertubuhan yang sama atau di tempat lain, menurut agensi itu.

Syarikat-syarikat yang mengambil pelatih tidak perlu membuat caruman Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau menyediakan faedah pekerja kerana tiada hubungan majikan-pekerja.

Faedah bukan kewangan boleh ditawarkan atas dasar budi bicara, mengikut lembaran fakta itu.

Permohonan akan dibuka mulai Oktober tahun ini, tetapi graduan baharu boleh mendaftarkan minat mereka lebih awal.
Sumber : CNA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita