Skip to main content

Singapura

Hingga 1,200 rumah privet akan dilancar di tapak Daerah Tasik Jurong

Sebuah tapak kegunaan campuran di Daerah Tasik Jurong yang berpotensi menampung sehingga 1,200 unit kediaman privet dilancarkan pada Jumaat (3 Jul) untuk dijual sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Hingga 1,200 rumah privet akan dilancar di tapak Daerah Tasik Jurong

Ilustrasi pembangunan sedia ada dan bakal dibina di Daerah Tasik Jurong, termasuk tapak putih di Town Hall Link yang dibuka untuk tender oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 3 Julai 2026. (Gambar: URA)

Diterbitkan : 03 Jul 2026 02:19PM
  • URA melancarkan tapak kegunaan campuran di Town Hall Link, Daerah Tasik Jurong pada 3 Julai untuk pembangunan kediaman, pejabat dan kemudahan lain.
  • Tapak ini dijangka menampung sehingga 1,200 unit kediaman privet, ruang pejabat, runcit, hotel dan kawasan riadah, serta dihubungkan dengan dua laluan MRT baharu.
  • Pembangunan ini bertujuan mempercepatkan transformasi Daerah Tasik Jurong menjadi hab perniagaan campuran terbesar di luar pusat bandar Singapura.
  • Pemerintah turut melabur dalam prasarana utama dan merancang pemindahan beberapa agensi ke kawasan tersebut untuk menyokong pertumbuhan dan kemudahan penduduk.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah tapak kegunaan campuran di Daerah Tasik Jurong yang berpotensi menampung sehingga 1,200 unit kediaman privet dilancarkan pada Jumaat (3 Jul) untuk dijual sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempercepatkan pembangunan kawasan tersebut.

Tapak seluas 3.7 hektar di Town Hall Link itu bertujuan untuk memulakan fasa pembangunan seterusnya di sebuah kawasan baharu di Daerah Tasik Jurong, selain memenuhi permintaan jangka sederhana bagi ruang kediaman dan pejabat, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam satu kenyataan media.

Pembangunan itu akan merangkumi sekurang-kurangnya 40,000 meter persegi ruang pejabat, sehingga 1,200 unit kediaman privet serta 44,000 meter persegi keluasan lantai kasar bagi kegunaan seperti ruang runcit, hotel, kawasan riadah dan daya tarikan.

"Pembangunan bersepadu pada masa hadapan itu akan melengkapi kelompok sedia ada yang merangkumi ruang pejabat, kediaman, runcit, penjagaan kesihatan dan institusi bagi memenuhi pelbagai keperluan pasaran di kawasan tersebut," menurut URA.

Tapak itu akan dihubungkan dengan Stesen MRT Jurong East serta mempunyai laluan pejalan kaki bawah tanah ke Stesen MRT Laluan Rentas Pulau (CRL) yang dijadual dibuka pada 2032.

Terletak bersebelahan monumen negara Jurong Town Hall dan sebuah taman yang dirancang, tapak tersebut menawarkan peluang strategik kepada para pemaju untuk bekerjasama dengan pemerintah dalam membentuk pembangunan daerah berkenaan.

"Pelancaran tapak ini pada hari ini merupakan satu langkah penting ke arah menjadikan Daerah Tasik Jurong sebagai sebuah hab perniagaan campuran terbesar di luar pusat bandar Singapura," menurut URA.

Tender bagi tapak tersebut akan ditutup pada pukul 12.00 tengah hari 17 November.

PELABURAN KE DALAM DAERAH TASIK JURONG

Daerah Tasik Jurong merupakan komponen utama strategi Singapura yang bertujuan untuk menawarkan peluang pekerjaan dan kemudahan lebih dekat dengan kawasan kediaman.

Apabila ia siap dibangunkan sepenuhnya, daerah seluas lebih 410 hektar itu dijangka menawarkan lebih 100,000 peluang pekerjaan baharu dan 20,000 kediaman baharu, selain memenuhi keperluan hampir sejuta penduduk dan lebih 3,000 syarikat di bahagian barat Singapura.

Menurut URA, pemerintah telah melabur dengan ketara dalam prasarana utama untuk memacu transformasi kawasan itu, termasuk pembinaan dua laluan MRT baharu, iaitu Laluan Daerah Jurong (JRL) dan Laluan Rentas Pulau (CRL).

"Laluan Rentas Pulau akan menjimatkan kira-kira 20 minit masa perjalanan antara Daerah Tasik Jurong dengan Pasir Ris Central berbanding perjalanan ketika ini," kata URA.

Rancangan untuk menghubungkan Laluan Daerah Jurong dengan Laluan Rentas Pulau serta Laluan Circle juga dijangka menyingkatkan masa perjalanan antara bahagian barat dengan pusat bandar sehingga 20 minit.

Antara pembangunan utama lain yang sedang dirancang termasuk Pusat Sains baharu yang dijadual dibuka pada penghujung 2027. Hab Jurong Gateway, iaitu sebuah pembangunan bersepadu yang merangkumi hab pertukaran bas, pejabat, kedai, perpustakaan, kelab masyarakat dan kemudahan sukan, dijangka siap pada 2029.

Menurut URA, bersama tapak pembangunan baharu itu, projek-projek berkenaan dijangka akan menjadikan daerah tersebut lebih rancak, selain menyokong visinya sebagai sebuah "destinasi kehidupan, kerja dan riadah".

URA turut memaklumkan bahawa beberapa agensi pemerintah, termasuk Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE), sedang mengkaji rancangan untuk memindahkan pejabat mereka ke kawasan tersebut.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita