Hilang tempat berteduh selepas bapa meninggal dunia, Huda Hamid kini perkasa wanita lain
Hilang tempat berteduh selepas bapa meninggal dunia, Huda Hamid kini perkasa wanita lain.

Huda Hamid, pengasas Fempreneur Secrets. (Gambar-gambar: Aik Chen)
SINGAPURA: Usahawan sosial Huda Hamid ada satu pesanan untuk kaum wanita: Anda tidak memerlukan banyak sumber untuk memulakan perniagaan anda. Malah, tidak banyak yang diperlukan untuk merubah kehidupan anda.
Pesanan itu terbit daripada pengalaman hidupnya sendiri.
Pada usia 21 tahun, bapanya meninggal dunia. Pada waktu itu, Huda sedang menuntut dalam Tahun 2 pengajiannya di universiti.
"Saya hilang seluruh motivasi untuk belajar dan saya keciciran," kongsi gadis yang kini berusia 29 tahun itu.
"Keluarga saya kemudian dihimpit oleh masalah kewangan kerana bapa saya, yang mengendalikan perniagaan binaannya sendiri, merupakan satu-satunya pencari nafkah keluarga."
Nama ibunya didaftarkan sebagai rakan niaga bagi perniagaan keluarga itu. Namun menurut Huda, "ibunya tidak tahu bagaimana untuk mengendalikannya". Ibunya, hanya rakan niaga pada nama saja.
Syarikat itu dibelit hutang dan beban melunaskannya terletak di atas bahu ibunya. Tetapi, tanpa sebarang kemahiran atau pengetahuan dalam bidang perniagaan, sekelip mata sahaja ibunya diisytiharkan muflis. Keluarganya kemudian terpaksa melepaskan flat HDB mereka.
"Kami tidak ada tempat tinggal," cerita Huda, anak bongsu daripada empat beradik itu dengan nada sedih.
"Kami bergantung kepada simpati saudara-mara. Kami akan tinggal tiga hari di sini, tiga hari lagi di sana."
TIADA TEMPAT NAK DITUJU PADA HARI RAYA
Mereka kehilangan tempat tinggal dalam bulan Ramadan. Jadi, apabila Hari Raya tiba, semua saudara mereka keluar kunjung-mengunjung tetapi Huda sekeluarga tiada tempat hendak dituju.
"Sampai satu masa kami tidak lagi dapat bergantung kepada saudara-mara dan terpaksa merempat di jalan raya. Ibu dan saya perlu memikirkan bagaimana kami boleh mencari kerja gaji hari supaya boleh membayar penginapan di hostel untuk semalaman."
Pada waktu itu, Huda menyedari betapa pentingnya kemahiran perniagaan bagi wanita.
"Kisah ibu saya bukan satu-satunya kes seumpama itu, ia juga pengalaman wanita-wanita lain di Asia yang nama mereka didaftarkan oleh suami sebagai rakan niaga. Apabila suami mereka meninggalkan keluarga atau meninggal dunia, beban mengendalikan syarikat jatuh pada bahu wanita," ujar Huda.
"Jika ibu saya ada asas pengetahuan perniagaan pada waktu itu, beliau mungkin tidak silap membuat keputusan," katanya.
"Mulai saat itu, saya tahu saya perlu mulakan sesuatu untuk membantu kaum wanita melihat bahawa kemahiran perniagaan penting untuk kelangsungan hidup. Ia bukan ilmu eksklusif. Tetapi sebelum itu, saya sendiri perlu membuktikan bahawa saya boleh mulakan sesuatu dengan apa sahaja sumber yang saya ada."
TERLAHIRNYA FEMPRENEUR SECRETS
Dilengkapi hanya dengan sebuah MacBook dan kamera yang dihadiahkan oleh ibunya, Huda memulakan Blissful Studios pada 2014, iaitu sebuah syarikat pembikinan video.
Hari ini, syarikat itu sudah berkembang menjadi sebuah agensi pemasaran kandungan korporat yang berkhidmat untuk syarikat-syarikat Fortune500.
Sebahagian kliennya sebelum ini termasuk Prudential, UOB, Hitachi dan lain-lain.
Akhirnya, keluarga Huda berhasil mendapatkan sebuah flat sewa untuk didiami.
"Selepas menerajui Blissful Studios sehingga berjaya, saya memutuskan untuk melangkah ke hadapan dan mengajarkan apa yang saya tahu kepada orang lain," kata Huda.
Sambil mengendalikan Blissful Studios, Huda memulakan Fempreneur Secrets pada 2017, iaitu sebuah platform latihan online yang membantu para wanita mengembangkan perniagaan mereka sendiri. Misinya adalah untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang terdiri daripada para usahawan wanita yang tidak bergantung kepada sesiapa dari segi kewangan, di merata dunia.

Menerusi Fempreneur Secrets, Huda mengendalikan program Akademi Fearless Fempreneur, yang membantu menerapkan keyakinan diri dalam kalangan wanita bahawa mereka perlu memulakan perniagaan.
"Kami mengajar mereka asas pengetahuan perniagaan serta penjualan dan ilmu pemasaran. Kami juga pergi lebih jauh lagi untuk membantu mereka mengenal pasti bidang tukikan mereka atau apa yang kami panggil 'superpower'," kata Huda.
"Sekalipun mereka tidak memulakan perniagaan, kemahiran yang kami ajar kepada mereka boleh membantu mereka berjaya dalam kerjaya mereka kerana kemahiran keusahawanan boleh dimanfaatkan dalam aspek lain kehidupan," tambah beliau.
Syarikat itu juga menawarkan program pendampingan di mana setiap lima wanita yang mendaftarkan diri, Fempreneur Secrets menaja kos program itu bagi ibu tunggal atau wanita daripada keluarga berpendapatan rendah.
Program bimbingan online itu, yang dijalankan sendiri oleh Huda, dibuka kepada sesiapa sahaja di Asia.
"Kami mahu membantu para wanita bukan sahaja di Singapura tetapi di negara lain di Asia untuk mempertingkatkan kemahiran mereka supaya tidak terus berada di takuk yang sama," kata Huda.
"Saya sudah merasakan keadaannya berada di bawah. Tetapi saya menjadi bukti bahawa jika anda mempunyai kemahiran yang diperlukan, anda boleh maju ke hadapan."
Huda juga berkongsi kisah seorang penerima bantuan berusia 19 tahun, yang tidak dapat keluar daripada rumahnya disebabkan masalah kesihatan. Dengan bantuan Huda, penerima bantuan itu kini dapat menyumbang kepada pendapatan keluarga.
"Beliau hanya boleh bekerja dari rumah, jadi saya bantu beliau membuat perancangan tentang jenis perniagaan yang boleh beliau jalankan dan berikan beliau keyakinan untuk melancarkannya. Beliau mengimpikan untuk menjadi seorang cef dan kini beliau mengendalikan sebuah perniagaan F&B online dari rumah," kongsi Huda.
Di negara lain di Asia, Huda bekerjasama dengan seorang wanita muda dari sebuah negara Asia yang hancur dek peperangan. Wanita itu mewarisi sebidang tanah daripada keluarganya.
"Saya membantu beliau mengesahkan idea perniagaannya. Beliau ada sebidang tanah tetapi untuk beliau lakukan sesuatu kepadanya, beliau perlu memperoleh dana untuk membeli benih dan menggajikan peladang. Kami mahu menyokong wanita-wanita seperti itu, yang ada idea, yang ada sumber, apa pun sumbernya, supaya mereka boleh mulakan perniagaan mereka," kata Huda lagi.
PERKASA WANITA
Selain tugasnya di Fempreneur Secrets, Huda sering kali menyumbang masa dan tenaga sebagai sukarelawan di Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).
"Kami membangunkan program-program untuk para usahawan wanita dan kami sokong inisiatif-inisiatif bagi mendapatkan dana untuk kebajikan," kata beliau.
Salah satu pertubuhan yang bekerjasama dengan DPPMS adalah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), iaitu sebuah pertubuhan bukan untuk keuntungan bagi membantu para wanita, kanak-kanak dan keluarga kurang bernasib baik.
"Dari semasa ke semasa, saya juga menerima permintaan untuk melakukan sesi latihan pro bono (tanpa bayaran) untuk para wanita daripada masyarakat gelandangan terpinggir di Asia," kongsi beliau.
Apa yang mendorong Huda untuk meneruskan kerja-kerja yang beliau lakukan adalah interaksinya dengan para wanita dari segenap lapisan masyarakat.
"Saya suka bercakap dengan mereka dan melihat mereka berjaya. Apabila mereka berasa diperkasa, seluruh masyarakat turut diperkasa."
Memetik kata-kata seorang usahawan sosial Bangladesh, Muhammad Yunus, yang juga pengasas Bank Grameen, Huda berkata: "Apabila seorang lelaki membangunkan perniagaan, perniagaannya maju. Tetapi apabila seorang wanita membangunkan perniagaan, masyarakatnya maju."
Ciri utama kaum wanita adalah sikap belas ihsan kami dan keinginan kami untuk mengubah kehidupan orang-orang di sekeliling kita, sama ada insan tersayang, jiran tetangga atau masyarakat kita. Inilah kekuatan kita sebagai wanita dan kita perlu mendakapinya," kata beliau lagi.
RANCANGAN MASA DEPAN
Dalam bulan Mac tahun ini, Huda muncul sebagai salah seorang daripada enam pemenang program global bagi Usahawan Muda Sosial 2020 (YSE Global).
YSE Global adalah program tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan Antarabangsa Singapura (SIF) untuk memberi inspirasi, melengkapkan dan mengupayakan para belia di merata dunia supaya melancarkan atau mengembangkan perusahaan sosial mereka. Fempreneur Secrets adalah satu-satunya syarikat yang memenangi anugerah itu.
Syarikat itu dianugerahi geran sebanyak S$20,000, yang menurut Huda akan membantunya "memperluaskan program pendampingan kepada lebih ramai masyarakat di Singapura dan di merata Asia".
Perancangan masa depannya termasuk menggalak para usahawan wanita lain untuk mengadakan sesi-sesi dengan anggota Fempreneur Secrets. Huda berkata: "Saya percaya bahawa pengetahuan saya sahaja tidak mencukupi."
Dalam jangka panjang, Fempreneur Secrets berharap untuk membangunkan sebuah ekosistem, di mana para wanita yang sudah meraih kejayaan menerusi programnya boleh menggajikan para penerima bantuan yang dibantu syarikat itu.
Ini mewujudkan jalinan hubungan yang saling memanfaatkan antara semua anggota masyarakat Fempreneur Secrets.
Bagi Huda sendiri, beliau kembali ke bangku sekolah untuk menamatkan pengajian demi menggenggam ijazah dalam bidang pemasaran.
Melihat kembali sejauh mana pencapaiannya, beliau tidak menyesali sama sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.