Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hilang daya pendengaran tapi suka menari; bagaimana kumpulan penari ini berdansa?

Anggaran Waktu Membaca:
Hilang daya pendengaran tapi suka menari; bagaimana kumpulan penari ini berdansa?

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Sambil mengangkat tangannya ke udara, Patricia Merilo, 25 tahun, berdansa mengikut rentak irama lagu yang riang sambil menguis pergelangan tangannya pada setiap kiraan tempo.

Empat penari lain daripada kumpulan tariannya, Redeafination, berdiri di belakang Cik Merilo dan memerhatikan pergelangan tangannya untuk membantu mereka mengikut rentak lagu.

Cik Merilo tidak membuat kiraan secara lisan "lima, enam, tujuh, lapan", seperti mana yang biasa dilakukan para penari lain sebagai memberi isyarat untuk mula berdansa.

Sebaliknya, beliau menggunakan isyarat tangan untuk berbuat demikian.

Apabila lagu yang bakal ditarikan mereka, Lebih Kukuh Bersama - lagu tema bagi Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2022, sampai ke bahagian korusnya, kelima-lima penari itu pun membuka langkah masing-masing.

Pergerakan mereka cukup lincah, sepadan dengan tempo lagu namun kesemua anggota kumpulan tersebut tetap menari serentak dan seirama sepanjang dua kiraan lapan yang dipersembahkan kepada Mediacorp.

Sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahan kumpulan itu pasti tidak mengesyaki bahawa setiap anggotanya kurang daya pendengaran.

WAKILI MASYARAKAT PEKAK

Redeafination tidak asing kepada mempelajari koreografi.

Kumpulan yang sudah bergiat dalam arena tarian sejak tahun 2008 itu bahkan sebelum ini menjadi sebahagian daripada penerbitan video muzik NDP 2020.

Meskipun pada awalnya, Redeafination merangkumi gabungan penari yang berupaya mendengar dan pekak, kesemua anggota kumpulan itu kini terdiri daripada penari kurang daya pendengaran.

Kumpulan tersebut diasaskan oleh dua penari yang tiada masalah deria mendengar, yang mempunyai rasa ihsan terhadap masyarakat pekak.

Semuanya berputik daripada satu bengkel tarian khas untuk golongan kurang daya pendengaran.

“Ketika itu barulah mereka sedar bahawa terdapat potensi dalam masyarakat kurang daya pendengaran. Namun, (mereka tertanya-tanya) di mana terdapat ruang yang boleh diakses serta selamat untuk mereka berkembang," Cik Merilo memberitahu Mediacorp dalam satu kiriman mesej.

Sebagai penari kurang daya pendengaran, anggota Redeafination sudah lali dengan salah tanggapan dan kenyataan yang salah.

Apabila orang ramai mendapat tahu bahawa para penari kumpulan itu semuanya tidak berkeupayaan mendengar, mereka "terkesima" (tercengang) dengan hakikat bahawa orang pekak juga boleh menikmati muzik, kongsi Gan Jun Huan, 24 tahun, melalui satu kiriman mesej.

Bahkan, anggota kumpulannya, Sharifah Faaiqah Syed Abdullah Alkaff, menarik perhatian bahawa orang lain cenderung mempunyai salah tanggapan seolah-olah golongan kurang daya pendengaran tidak dapat menikmati muzik.

Ini "tidak benar kerana kebanyakan mereka gemar mendengar lagu", bidas Cik Sharifah Faaiqah, 21 tahun.

“Cara kami menghayati muzik berbeza dengan cara orang boleh mendengar dan menghayati muzik tetapi kami masih boleh menikmatinya dalam kapasiti penuh," tambah Lee Yong Cheong, 22 tahun.

Tahap kesedaran yang kurang tentang budaya pekak di Singapura hanya membuatkan Cik Sharifah Faaiqah gembira dan bangga dapat mewakili masyarakatnya melalui video muzik NDP 2022 sebagai sebahagian daripada Redeafination.

“Adalah penting untuk bersikap peka terhadap masyarakat pekak memandangkan kadangkala tiada akses untuk kami. Kami juga manusia," kata beliau.

“Kami menunjukkan bahasa isyarat kami dalam video muzik itu kerana kami mahu rakyat Singapura tahu bahawa Bahasa Isyarat Singapura adalah jati diri kami dan bahasa kami. Anda boleh melihat betapa selesanya dan gembira kami menggunakan bahasa isyarat."

BAGAIMANA MEREKA 'DENGAR' MUZIK

Biarpun tidak begitu kelihatan dari pandangan mata kasar bahawa para anggota Redeafination pekak hanya dari menyaksikan mereka menari, ia mungkin lebih jelas sekiranya seseorang memerhatikan betapa mereka cuba "menjiwai" sesebuah lagu.

Semasa sesi persembahan singkat mereka bersama Mediacorp, kelima-lima penari itu mengelilingi sebuah alat pembesar suara mudah alih dan meletakkan telapak tangan masing-masing padanya untuk "merasakan dan memahami" tempo.

“Biasanya kami pergi dekat dengan alat pembesar suara apabila persekitarannya adalah sebuah ruang terbuka dan ia agak bising. Namun sewaktu latihan di mana kami berada di studio, kami tidak melakukan sebegitu. Kami hanya memutarkan muzik sekuat-kuatnya," terang Cik Merilo.

“Dan apabila kami ada sebarang persembahan, kami biasanya membuat permintaan khas agar alat pembesar suara utama diletakkan di bahagian hadapan pentas.

Langkah itu dapat membantu mereka "mendengar" muzik, tambah beliau.

“Untuk mendengar muzik, kami mendengar getaran di lantai dan kami menghayati rentak serta irama itu. Itulah masanya kami dapat mengenal pasti tempo dengan mengira, dengan menepuk tangan. Jadi apabila kami menepuk tangan, kami akan menghayati lagu itu," jelasnya.

“Sebaik saja kami memahami rentak, kami akan cuba untuk mengambil kiraannya dalam gerak tari kami. Kemudian kami terus mengulangi gerak tari dan memutarkan lagu sekuat-kuatnya sehingga kami dapat menyempurnakan pergerakan kami."

Meskipun dapat berdansa mengikut rentak irama bersama-sama dengan rakan-rakan lain yang tiada masalah pendengaran, mereka tetap diajukan soalan yang sama.

Bagaimanakah anda mendengar muzik?

"Muzik bukan setakat untuk didengari. Ia harus dijiwai dan dihayati sepenuhnya," jawab Cik Merilo, menggunakan bahasa isyarat.
Sumber : CNA/FZ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan