Skip to main content

Singapura

Hidapi barah tahap 3 pada usia 22 tahun, Annas Abdul Aziz bangkit gapai cita-cita

Anggaran Waktu Membaca:
Hidapi barah tahap 3 pada usia 22 tahun, Annas Abdul Aziz bangkit gapai cita-cita

Barah tahap 3 bukan menjadi satu halangan bagi Annas Abdul Aziz (tengah) untuk mengejar cita-citanya. (Gambar: Annas Abdul Aziz)

SINGAPURA: Disebabkan rasa sakit kepala yang teramat dan demam, Muhammad Annas Abdul Aziz terus ke Unit Rawatan Kecemasan di hospital.

Setelah membuat beberapa pemeriksaan, doktor mendapati ada ketumbuhan di bahagian tekak dan hidungnya.

Setelah pemeriksaan lanjut, doktor mengesahkan Annas menghidapi barah hidung dan tekak tahap tiga.

Pada ketika itu, Annas baru berusia 22 tahun dan masih lagi menjalani perkhidmatan negara.

"Bila saya baru dapat tahu tentang khabar penyakit barah saya itu, macam tergamam dapat berita itu tapi reaksi saya terbalik, saya sebenarnya ketawa tapi semua orang dalam bilik itu dengan saya semua menangis jadi ironi tapi untuk saya itulah saya punya 'coping mechanism' pasal saya cakap tadi saya seorang yang suka terkinja, suka buat orang ketawa. Jadi pada saya, saya tak suka tunjuk orang yang saya orang yang lemah," kongsi Annas kepada wartawan Hidir Ezat.

"Semasa saya depan semua orang saya senyum. Saya cuba ketawa tapi di sebalik tabir pula, di belakang pintu itu yang saya nangis. Saya selalu tanya diri saya kenapa saya. Apa yang saya buat sampai saya dihukum sampai tahap begini? Tapi selepas beberapa kali saya berfikiran negatif, saya cubalah ubah fikiran saya. Mungkin perkara ini terjadi untuk mengajar saya sesuatu tentang diri saya" luah Annas mengenang semula detik-detik itu dua tahun lalu.

Walaupun dalam keadaan lemah dan sakit, Annas menguatkan semangatnya untuk mengharungi cabaran. (Gambar: Annas Abdul Aziz)
Beliau juga menceritakan keadaannya setelah menjalani rawatan kimoterapi dan radioterapi sepanjang empat setengah bulan.

"Bulan pertama tak ada banyak perubahan. Semuanya okey. Sebenarnya rambut saya belum gugur lagi tapi bila dah sampai bulan kedua dan ketiga itu yang kesan-kesan yang lain sudah muncul. Saya mudah lemah. Saya hilang rasa nak makan. Mual selalu. Rambut saya semua jatuh," ujar Annas.

BANGKIT SEMULA LAWAN BARAH

Walaupun cabaran kehidupan melandanya pada usia yang muda, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang dalam kehidupan.
Dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan yang terdekat, Annas bertekad untuk berjuang sehingga dia pulih daripada barah. (Gambar: Annas Abdul Aziz)
Dengan sokongan keluarga dan kawan-kawan yang terdekat, Annas bertekad untuk berjuang sehingga dia pulih daripada barah.

“Dalam masa rawatan yang sedang saya lalui, saya rasa seperti ingin berputus asa kerana saya sudah tidak boleh menahan kesakitan yang saya rasakan. Saya tidak tahu kalau saya mempunyai tenaga untuk meneruskan rawatan ini. Namun begitu, saya ubahkan fikiran dan katakan kepada diri saya sendiri, selepas saya habis semua rawatan, saya akan menjadi versi yang lebih baik dari hari ini. Jika saya boleh menghadapi kesusahan ini, saya pasti boleh menghadapi apa sahaja cabaran yang akan dihadapi pada masa hadapan” kata Annas yang kini berusia 24 tahun.

Setelah tamat perkhidmatan negara, beliau bekerja sebagai Pereka Dalaman 'Junior' di ‘Blender by ImC’.

Walaupun masih menjalani rawatan, Annas tetap mahu mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran.

Beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian secara sambilan di Politeknik Temasek bagi Diploma Pakar dalam bidang Reka bentuk Pencahayaan.

Kursus itu hanya ditawarkan di Politeknik Temasek.

“Kursus ini telah mengajar saya bagaimana untuk mereka bentuk sebuah bilik dengan keadaan pencahayaan yang sesuai untuk program berbeza yang sesuai untuk sesebuah bilik itu. Saya juga mempelajari dari segi psikologi iaitu bagaimana pencahayaan akan mempengaruhi mood pengguna. Jadi setiap perkara yang telah saya pelajari, yang saya boleh aplikasikan ke dalam pekerjaan saya, saya akan gunakannya” kongsi Annas.
Kini, Annas bekerja sebagai seorang Pereka di tempat kerjanya selepas berjaya meraih Diploma Pakar. (Gambar: Annas Abdul Aziz)
LEBIH MENGHARGAI KEHIDUPAN, PELUANG YANG DIBERI

Pada awalnya, beliau rasa agak tertekan dan kurang keyakinan diri kerana risau dia akan ketinggalan dalam pelajarannya berbanding rakan sekelas yang lebih berpengalaman dalam industri.

Namun begitu, beliau mendapat sokongan daripada mereka.

“Semasa saya melalui kursus Reka bentuk Pencahayaan, saya dapat mengenali ramai orang dari pelbagai latar belakang. Dari situ, saya mendapatkan nasihat yang tidak boleh didapatkan di sekolah” katanya.

Pada Mei lalu, Annas berjaya meraih Diploma Pakar itu dan dinaikkan pangkat dari Pereka 'Junior' kepada Pereka di tempat kerjanya.

Mengimbas kembali perjalanan penuh berliku itu, Annas lebih menghargai kehidupan dan tidak mensia-siakan peluang yang diberi.

“Letakkan diri anda dahulu sebelum orang lain. Saya telah pelajari bahawa apa yang anda ingin capaikan, teruskan kerana anda hanya hidup sekali. Jika kamu mempunyai sebarang impian walaupun sederhana, teruskan untuk mengejar impian dan jangan berasa takut untuk mencuba,” kata Annas.

Beliau bersyukur kerana mendapat sokongan daripada guru dan rakan-rakannya di Politeknik Temasek.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita