Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hidap barah pada usia muda, Faridah Ahmad kini mahu bantu individu serupa elak hidup menyendiri

Anggaran Waktu Membaca:
Hidap barah pada usia muda, Faridah Ahmad kini mahu bantu individu serupa elak hidup menyendiri

(Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 16 Sep 2023 11:47PM Dikemas Kini : 17 Sep 2023 11:30AM
SINGAPURA: Pada usia 17 tahun, Faridah Ahmad didiagnos dengan barah Hodgkin’s Lymphoma tahap kedua.

Hodgkin Lymphoma sejenis barah yang menjejas sistem immunisasi yang melawan kuman di dalam badan.

Bercita-cita menjadi seorang cef, Cik Faridah telah diterima masuk ke dalam beberapa sekolah kulinari di Singapura. Namun beliau dinasihatkan untuk tidak mendaftar selepas menerima diagnosis itu disebabkan sifat kursusnya yang memerlukan banyak tenaga fizikal.

Dengan rasa kecewa, dia meminta bantuan beberapa kaunselor, pakar psikiatri, pekerja sosial dan kumpulan sokongan untuk mendapatkan bimbingan dalam waktu sukar itu. Bagaimanapun, dia dapati bahawa tiada seorang pun yang memahami situasinya, termasuk rakan-rakan dan keluarga.

Kesunyian yang beliau alami adalah sesuatu yang turut dirasai para pesakit barah lain yang ditemui TODAY, yang berkata bahawa masalah dan pengalaman yang dihadapi mereka itu berbeza berbanding mereka yang menerima diagnosis pada usia lebih lanjut.

Mereka juga berkongsi bagaimana perbualan dengan rakan-rakan dan keluarga mengenai kondisi mereka menimbulkan rasa 'kasihan', yang kurang disenangi mereka.

Berbanding berpeluang berusaha mencapai pencapaian penting dalam hidup mereka dalam keadaan sihat, para pesakit barah muda kini dibelenggu dengan persoalan "kenapa saya?"

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), 26,891 orang maut akibat barah pada 2022, hampir suku daripada jumlah angka korban tahun itu - membuatnya punca kematian utama di Singapura.

Walaupun diagnosis penyakit barah sering dilihat sebagai 'hukuman mati', pakar perubatan berkata bahawa banyak jenis barah boleh dirawat, terutama sekali dengan rawatan yang berkesan pada peringkat awal.

DIAGNOSIS BARAH DALAM GOLONGAN MUDA MENINGKAT DI PERINGKAT SEJAGAT

Beberapa kajian baru-baru ini yang melakukan analisis data barah di Amerika Syarikat dan negara perindustrian lain menunjukkan peningkatan dalam kes barah dalam kalangan mereka di bawah umur 50 tahun.

Dalam satu kajian yang membuat analisis ke atas lebih 500,000 orang di AS, pesakit yang didiagnos dengan barah di bawah usia 50 tahun meningkat sebanyak 0.28 peratus secara purata setiap tahun dari 2010 hingga 2019.

Kajian yang sama, yang dikeluakan dalam jurnal JAMA Nework Open, juga menunjukkan peningkatan yang ketara dalam kes diagnosis barah pada mereka yang berusia di antara 30 hingga 40 tahun, dan di kalangan kaum wanita.

“Sejak tiga dekad yang lalu, kejadian barah mengikut umur dalam kalangan golongan lebih lanjut usia jauh lebih tinggi berbanding golongan muda.

"Pada 2017-2021, kira-kira 67 peratus diagnosis barah adalah dalam kalangan pesakit berumur 60 tahun ke atas, manakala kurang daripada 6 peratus adalah dalam kalangan pesakit berumur bawah 40 tahun."

Berdasarkan kiraan TODAY, jumlah kes barah bagi pesakit di bawah usia 49 tahun pada tempoh 2008 hingga 2012 meningkat kepada 12,600, berbanding 11,416 pada tempoh 2017 hingga 2021.

Pakar onkologi tempatan juga menyaksikan peningkatan dalam kalangan pesakit muda yang mendapatkan rawatan di klinik mereka.

Perunding kanan jabatan hematologi-onkologi di Institut Barah Universiti Kebangsaan Dr Samuel Ow berkata bahawa kes berdasarkan umur bagi beberapa jenis barah tertentu telah meningkat dalam kalangan golongan muda - terutamanya barah payudara, barah tiroid dan limforma.

Kadar kes berdasarkan umur itu merujuk kepada jumlah kes baharu yang dikira mengikut bilangan penduduk yang berisiko bagi kumpulan umur tersebut.

Dr Angela Pang, seorang pakar onkologi perubatan kanan di Pusat Barah OncoCare, berkata dia melihat ramai pesakit barah muda di kliniknya kerana dia mempunyai kepakaran dalam rawatan sarkoma, sejenis barah yang wujud dalam tulang dan tisu lembut, yang lebih sering berlaku bagi demografi itu.

Namun begitu, ramai pesakit muda percaya bahawa barah adalah penyakit yang biasanya menimpa mereka yang lebih tua, yang menyukarkan lagi mereka menerima diagnosis.

KURANGNYA RANGKAIAN SOKONGAN YANG BETUL

Bagi pesakit barah muda, mendapatkan sokongan sahabat adalah penting, tetapi ia mungkin bukan sesuatu yang mudah diraih semua pihak.

Keperluan untuk menjalani rawatan mendesak dan intensif bermakna rutin harian mereka terganggu, dengan banyak masa dihabiskan untuk menjalani pemulihan selepas pembedahan, radioterapi atau kemoterapi.

Oleh itu, ramai yang cuba mendapatkan sokongan daripada masyarakat online yang dapat memberi jaminan kepada mereka bahawa ada yang memahami mereka.

Cik Faridah memberitahu TODAY bahawa dia telah cuba mencari blog video para pesakit lain supaya mereka boleh mempersiapkan diri secara mental untuk perjalanan sukar pada masa depan.

Bagaimanapun, dia mendapati bahawa kandungan sedemikian tidak banyak disediakan oleh warga Singapura.

Itulah yang mendorong Jill Alphonso, seorang bekas wartawan berusia 44 tahun, untuk mendokumentasikan pengalamannya selepas menjalani pembedahan pada Januari tahun ini.

Beliau berpendapat bahawa menyaksikan seseorang yang boleh terus hidup berbahagia selepas menjalani pembedahan dapat membantu wanita-wanita lain.

KESIHATAN MENTAL YANG BAIK DAPAT MEMBANTU

Hampir 50 peratus wanita yang didiagnos penyakit barah payudara mengalami berbagai jenis tekanan psikologi, kata Dr Ester Chuwa, perunding kanan di Pusat Jagaan dan Pembedahan Payudara Solis.

Ia boleh terdiri daripada kebimbangan hingga tekanan, kemurungan dan gangguan kognitif dan mati pucuk.

Oleh itu, Kumpulan Sokongan Wanita Muda didirikan pada 2018 bagi tujuan memberi sokongan terutama sekali pada wanita di bawah usia 45 tahun.

Perbualan tertutup itu mempunyai 180 pesakit barah payudara setakat ini, yang mengaju dan menjawab soalan satu sama lain. Di sana, wanita-wanita itu boleh berkongsi pengalaman dan berbincang perkara-perkara seperti pengurusan kos perubatan, jagaan bagi anak-anak muda, sokongan buat ibu bapa tua, serta cabaran kesihatan dan pekerjaan yang lain.

Kekurangan dalam sokongan antara pesakit adalah sesuatu yang semakin meningkat, menurut pakar rawatan dan institusi bawah barah.

Dr Poon Yi Ling Eileen, seorang perunding di bahagian onkologi perubatan Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS), berkata: “Ramai dewasa muda yang menghidap barah berminat untuk menjalin hubungan dengan pesakit barah lain, terutamanya jika jenis barah yang mereka hidapi lebih jarang berlaku. ”

Menyedari akan permintaan itu, NCCS memulakan sebuah kumpulan sokongan onkologi remaja dan dewasa muda pada 2018 yang membolehkan pesakit muda "berhubung tanpa rasa takut terhadap stigma".

NCCS juga memperkenalkan aplikasi yang dinamakan AYA Bytes pada April lalu, yang menyediakan pesakit barah muda dengan maklumat kesihatan yang disusun khas, dan ciri yang membolehkan mereka menjejaki 'mood' dan gejala mereka.

Dr Chuwa dari Pusat Jagaan & Pembedahan Payudara Solis berkata adalah penting bahawa pesakit barah tidak mengabaikan kesihatan emosi mereka kerana kajian menunjukkan kaitan antara minda psikologi yang positif dan kesihatan keseluruhan mereka.

INSURANS MEMBANTU, TETAPI KOS LEBIHAN TETAP MEMBEBANKAN

Kebimbangan kenaikan kos juga membebankan para pesakit muda yang tidak mempunyai wang simpanan yang banyak berbanding mereka yang lebih tua.

Walaupun terdapat pelbagai skim dan subsidi oleh kementerian yang membantu, mereka tetap harus menanggung sejumlah kos itu.

Menurut jurucakap NCSS, kos rawatan barah seperti kemoterapi dan radioterapi mengikut jenis dan tahap barah yang dihidapi.

APA PUNCA BARAH DI KALANGAN GOLONGAN MUDA?

Di Singapura, jumlah golongan muda yang menerima diagnosis barah menurun dengan konsisten sejak Pendaftaran Kanser Singapura mula mengumpul data pada tahun 1968.

Dari 1968 hingga 1972, mereka yang berusia 29 tahun dan ke bawah merupakan 7.2 peratus pesakit barah. Jumlah ini turun kepada 2.1 peratus di antara 2017 hingga 2021.

Usia purata warga Singapura yang menerima diagnosis barah meningkat daripada 58.7 kepada 66.4 tahun.

Namun, pakar perubatan berkata bahawa penyakit barah tidak sepatutnya dilihat sebagai penyakit orang tua.

Jadi, apa punca barah dan apa yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko?

Menurut Dr Pang daripada OncoCare, merokok dan meminum arak meningkatkan risiko barah di kebanyakan negara, termasuk Singapura.

Merokok menyebabkan sekitar 20 peratus kematian akibat barah, manakala gabungan merokok dan meminum arak meningkatkan risiko barah tekak hampir 40 kali ganda.

Senaman yang kerap, di samping pilihan pemakanan yang bijak dan pengekalan indeks jisim badan yang sihat, membolehkan seseorang mengurangkan risiko menghidap barah, tambah Dr Pang.

Perubahan dalam gaya hidup - seperti diet tidak sihat, kekurangan aktiviti fizikal dan pendedahan kepada toksin persekitaran tertentu - juga boleh menyumbang kepada peningkatan risiko barah di kalangan orang dewasa muda di seluruh dunia, kata Dr Tanujaa Rajasekaran, perunding kanan dan pakar onkologi perubatan di Pusat Kanser Parkway.

SOKONGAN BETUL SANGAT MEMBANTU

Hampir sembilan tahun selepas diagnosisnya, Cik Faridah kini menemui misi baharu dalam hidup — untuk membina kerjaya dalam membantu orang lain, terutamanya golongan muda.

Kini, Cik Faridah mahu menjadi kaunselor kepada remaja dan dewasa muda, seseorang karyawan yang dia rasa sepatutnya ada semasa detik paling suram dalam hidupnya.

"Anda benar-benar memerlukan sokongan... jenis sokongan yang betul," kata Cik Faridah, yang kini dalam keredaan

"Jika tidak, saya tidak fikir pesakit barah dapat menghadapinya, terutama sekali pada usia itu."
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan