Hidap barah otak, hilang ingatan, Shahas Shahril rindu kehidupan dahulunya
Masih lagi boleh dibayangkan Shahas Shahril rasa perit yang mencengkam kepalanya secara tiba-tiba.
BERITAmediacorp: Masih lagi boleh dibayangkan Shahas Shahril rasa perit yang mencengkam kepalanya secara tiba-tiba.
"Rasa otak dah nak keluar. Macam ada sikit lagi otak, rasa macam nak sampai habis," luah Shahas.
Menurut ibunya Cik Hasanah, Shahas menunjukkan simptom-simptom yang "tidak begitu teruk".
"Itu yang sebelum dia buat pembedahan, mata dia satu tengok sini, satu tengok sana. Mata dia lari. Saya ingat, budak ini banyak main telefon ke? Saya ingat mata dia penat. Saya terfikir dengan suami nak bawa ke doktor mata," tambah Cik Hasanah.
Melihat keadaan anaknya yang bukan seperti biasa, Cik Hasanah tidak berlengah untuk membawanya ke klinik berdekatan.
"Kita mula-mula tidak tahu tanda-tanda itu adalah tanda barah otak. Saya ingat dia muntah sebab lewat makan. Itu saya tidak pasti dan tidak tahu. Selepas satu hari sakit kepala dan muntah, saya bawa dia ke klinik 24 jam. Doktor kata bila dia muntah lagi besok pagi, tolong bawa ke hospital KK."
"Besok pagi dia muntah, muntah kuning, maksudnya sudah tidak ada apa-apa dalam perutnya. Terus petangnya saya bawa dia ke Hospital KK," jelas Cik Hasanah.
SHAHAS YANG DULU BUKAN SHAHAS YANG SEKARANG
Tidak dijangka ibu bapanya, Shahas yang dahulunya begitu aktif dengan perwatakan ceria, kini lemah menanggung sakit.
"Dia sebelum pembedahan, dia budak yang aktif, dia bermain bola dan dia tak pernah susahkan orang tua. Dia pun ramah sekali," cerita Cik Hasanah tentang anaknya.
Shahas menjalani pembedahan pada Julai tahun lalu, serta beberapa pusingan radioterapi dan kemoterapi sehingga Disember tahun lepas.
"Saya rasa takut tetapi selepas itu rasa biasa juga, boleh tutup mata, boleh dengar lagu. Satu sesi macam lima belas minit," jelas Shahas mengenai pengalaman menjalani sesi kemoterapi.
Kini, keadaan Shahas bertambah baik walaupun mengalami beberapa kesan sampingan.
Meskipun sudah hampir setahun menjalani pembedahan, gerakan anggota badan Shahas masih lemah hingga sekarang.
Cik Hasanah berkata: "Dari segi fizikal, macam inilah, lemah. Dia pun susah nak berjalan dan susah nak angkat tangannya."
Lantaran itu, Cik Hasanah setiap hari mendampingi Shahas untuk latih berjalan dari ruang tamu rumah ke biliknya demi memperkuatkan otot kaki.
Dalam pada itu, kadar neurologi Shahas kini tidak seperti dahulu sehingga menyebabkan percakapannya lebih perlahan dan darjah kecerdasan otaknya (IQ) juga terjejas.
Oleh itu, Shahas yang sepatutnya menduduki peperiksaan PSLE tahun ini, terpaksa berhenti sekolah buat sementara waktu.
Cik Hasanah berkata: "Kadang-kadang ingatannya itu, kadang ingat kadang tidak. Doktor sudah beritahu saya. Dia mungkin jadi seperti budak baru lahir. Kita kena ajar. Saya cuma cakap saya terima. Saya terima apa-apa terjadi dengan anak saya, saya terima. Asalkan dia di depan mata saya."
Mendengar tangisan ibunya semasa temu bual bersama BERITAmediacorp, Shahas terus berkata: "Saya pun rasa takut dan sedih untuk mak dan ayah saya."
"Dulu saya aktif, saya rasa itu pun dulu punya Shahas. Sekarang yang baru punya Shahas, saya cuma boleh cuba ingat saja apa-apa," tambahnya.
PERLU PEKA KENALI SIMPTOM BARAH
Setiap tahun, perangkaan sedunia mendapati sekitar 400,000 kanak-kanak dan remaja didiagnos dengan barah.
Dengan lebih 100 jenis ketumbuhan otak pula, ia paling banyak meragut jiwa kanak-kanak dan golongan remaja di Singapura.
Menurut Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH), setiap tahun dua hingga tiga kanak-kanak didiagnos dengan jenis barah yang dihidapi Shahas.
Malah, jenis barah tersebut juga merangkumi sekitar 10 hingga 15 peratus ketumbuhan otak kanak-kanak di Asia Timur, berbanding dengan tiga hingga empat peratus di Amerika Syarikat.
Malah, ketumbuhan otak juga merupakan jenis barah kanak-kanak kedua tertinggi di Singapura iaitu sebanyak 20% selepas leukemia pada kadar sekitar 35 peratus.
Konsultan di KKH, Dr Enrica Tan menasihati ibu bapa supaya lebih peka dengan simptom-simptom barah kanak-kanak yang kadangkala sama dengan simptom sakit biasa sahaja.
"Penting apabila kita tingkatkan kesedaran, ia tingkatkan pengetahuan masyarakat yang akan membantu dalam mengesan dengan lebih awal (simptom barah)," tambah Dr Tan.
Dengan lebih banyak kesedaran tentang barah kanak-kanak, Dr Tan berharap ia akan dapat mewujudkan lebih banyak sokongan dihulurkan kepada mereka seperti Shahas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.