Skip to main content

Singapura

Hidangan dengan sentuhan moden bakal jadi tarikan masa depan pusat penjaja: Penulis blog makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Hidangan dengan sentuhan moden bakal jadi tarikan masa depan pusat penjaja: Penulis blog makanan

Pelanggan di Pusat Penjaja Maxwell pada 1 Sep 2021. (Gambar: Hanidah Amin)

SINGAPURA: Dengan generasi baharu penjaja mengambil alih perniagaan, industri pusat penjaja dijangka berubah.

Menurut penulis blog makanan, Dr Leslie Tay, hidangan yang disediakan di pusat-pusat penjaja malah mungkin menerapkan sentuhan moden sedang penjaja lebih muda meneroka konsep-konsep baharu.

Bagi peniaga muda, Encik Louis Saw, 30 tahun, beliau membayangkan masa depan yang cerah dan bersemangat bagi industri penjaja.

Beliau juga salah seorang daripada 41 individu yang menyertai program Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk mempelajari selok-belok perniagaan di pusat penjaja.

Selepas lima bulan membuka kedai, beliau sudah membelanjakan sekitar S$20,000 untuk mengubah elok gerainya.

Meskipun beliau belum dapat pulangan modal, Encik Saw masih bertekad untuk mengejar impiannya sebagai seorang usahawan.

"Matlamatnya adalah untuk mengukuhkan perniagaan, membina aliran pelanggan yang tetap, dan apabila kami sudah mempunyai keupayaan untuk meluaskan perniagaan, kami akan luaskan dari situ," kongsi beliau.

Namun, bagi penulis blog Dr Tay, salah satu isu yang dihadapi penjaja muda adalah kebanyakan pelanggannya daripada generasi lebih berusia, yang mungkin tidak begitu terbuka untuk mencuba makanan mereka.

Itu juga bertentangan dengan keperluan untuk berdaya inovasi dalam apa yang disajikan mereka demi menarik pelanggan muda ke pusat penjaja.

Dr Tay turut menambah ruang-ruang di pusat penjaja juga mesti berubah untuk memikat golongan lebih muda menyertai industri itu.

Ini termasuk menyediakan gerai-gerai lebih besar bagi mewujudkan sebuah persekitaran kerja yang lebih selesa.

"Anak-anak muda hari ini, mereka ada banyak sangat pilihan sehinggakan, anda cuba bayangkan dalam 20 tahun akan datang, apabila mereka menjadi dewasa muda, tidak akan ada seramai orang yang begitu minat dengan makanan pusat penjaja lagi.

"Jadi untuk penjaja lebih muda ini, kebanyakan daripada mereka sebenarnya mahu menyediakan lebih banyak makanan 'fusion' atau lebih moden di pusat penjaja. Maka, saya tidak rasa ia akan mati tetapi ia pastinya akan berubah," ujar Dr Tay.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita