Skip to main content

Singapura

Hiasan minuman seperti 'pearl bubble tea', krim perlu ada label tahap gula jelang hujung 2023

Anggaran Waktu Membaca:
Hiasan minuman seperti 'pearl bubble tea', krim perlu ada label tahap gula jelang hujung 2023

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 30 Jun 2023 11:13PM
SINGAPURA: Pengalaman anda membeli minuman 'bubble tea' atau kopi 'ice blended' agak berlainan sedikit mulai hujung tahun ini, memandangkan terdapat syarat-syarat baru yang meliputi penjualan minuman yang disiapkan secara langsung di kedai-kedai.

Bahan hiasan seperti bijian 'pearl', jeli dan krim putar mesti dilabel dengan kandungan gulanya mulai 30 Disember ini.
 


Minuman yang diberikan label 'Nutri-Grade' C atau D harus diletakkan label berkenaan pada bungkusan sementara iklan yang menampilkan minuman gred D akan dilarang.

Langkah itu dilaksanakan sedang Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (30 Jun) menyatakan bahawa ia akan memperluaskan syarat-syarat 'Nutri-Grade' untuk meliputi minuman yang disiapkan secara langsung.

Dikuatkuasakan pada Disember tahun lalu, 'Nutri-Grade' merupakan sistem gred empat tahap, yang berasaskan kandungan gula dan lemak tepu dalam minuman.

Ia ditandakan dengan warna berbeza - A (hijau gelap), B (hijau terang), C (jingga) dan D (merah), dengan A merupakan kategori minuman dengan kandungan gula dan lemak yang paling rendah sekali.

Ia sebelum ini mengumumkan bahawa cawangan makanan dan minuman diperlukan untuk menyertakan label khasiat pada menu mereka menjelang hujung tahun ini, dengan mengenal pasti minuman yang mengandungi tahap gula dan lemak tepu yang paling tinggi. Ini termasuk minuman yang disiapkan secara langsung daripada kedai kopi, minuman jus segar dan 'bubble tea'.

Pengumuman terbaru daripada MOH pada Jumaat mendedahkan butiran lanjut.

Bahan hiasan bagi minuman dikehendaki dilabel dengan tanda kandungan gula agar dapat membolehkan para pelanggan mengenal pasti bahan-bahan yang mempunyai kandungan gula yang lebih rendah.

Bagi minuman yang disiapkan secara langsung atau minuman yang sudah dilabel dengan gred C atau D, tanda Nutri-Grade mesti dilabel bersebelahan dengan minuman yang disenaraikan untuk dijual.

Penyataan kandungan gula serta tanda Nutri-Grade mesti tertera pada menu fizikal dan online, serta poster yang diletakkan.

s
(Gambar: MOH)


Tanda ringkas pada menu boleh digunakan di mana lebih daripada satu pilihan minuman disenaraikan. Label untuk minuman gred C dan D adalah wajib manakala tanda untuk minuman gred A dan B kekal sebagai pilihan.

S
(Gambar: MOH)


SYARAT-SYARAT BARU MULAI 30 DISEMBER

MOH juga membentangkan syarat-syarat pelabelan tambahan bagi minuman di bawah langkah Nutri-Grade yang sedia ada, seperti minuman yang sudah dibungkus yang dijual di Singapura dan minuman yang dijual tanpa boleh disesuaikan.

Mulai 30 Disember, tempat-tempat bukan runcit mesti mempunyai tanda Nutri-Grade bagi minuman yang bergred C dan D.


Minuman yang sudah dibungkus dan dijual di tempat-tempat, seperti hotel dan tempat kerja, dikehendaki meletakkan tanda tersebut pada bahagian depan bungkusan itu. Tanda tersebut juga perlu diletakkan bersebelahan dengan senarai minuman yang tidak boleh disesuaikan, yang disajikan daripada pembahagi minuman automatik.

Bagi minuman yang boleh disesuaikan daripada mesin minuman automatik, tanda Nutri-Grade diperlukan di kedua-dua tempat runcit lan dan bukan runcit. Individu serta entiti yang mengendalikan perniagaan makanan yang lebih kecil dikecualikan daripada keperluan tersebut jika syarat-syarat dipenuhi.

Mereka yang gagal untuk mematuhi langkah-langkah baru tersebut akan didenda sehingga S$1,000. Bagi kesalahan seterusnya yang dilakukan, mereka yang didakwa boleh didenda sehingga S$2,000.

Kementerian tersebut menambah bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan industri itu, menjelang tarikh pelaksanaan tersebut dan selanjutnya.

Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita