Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hiasan lampu lap lip bangkitkan suasana Syawal

Anggaran Waktu Membaca:
02:18 Min
Hiasan lampu lap lip bangkitkan suasana Syawal
BERITAMediacorp: Biru, merah, kuning dan bermacam lagi warna lampu lap-lip menghiasi tingkap rumah Cik Monistira Mohd di Blok 895A Tampines Street 81.

Minat Monistira dalam perhiasan lampu lap-lip berputik sejak dari kecil ketika beliau berkunjung ke Pasar Geylang Serai bersama ibunya.

Beliau terpegun melihat blok-blok lama di kawasan itu yang bermandikan cahaya lampu berwarna-warni.

"Sejak dari kecil lagi saya memang gemar dengan perhiasan lampu kelap kelip, saya gemar dengan kemeriahan, dengan kekecohan dan ia memberikan semangat kepada saya untuk meraikan Ramadan dan bulan Syawal," kata penduduk di Tampines ini, Cik Monistira Mohammad.

Kini, setiap menjelangnya Syawal, beliau pasti menghias rumahnya dan menyuntik keunikan dan kreativiti tersendiri.

Malah, bekas juara peraduan menghias lampu lap-lip anjuran Kelab Masyarakat Tampines West pada 2019 berkata beliau mula memikirkan tentang konsep perhiasan Hari Raya seawal bulan Januari.
"Saya ingin mengadakan tema yang berbeza mungkin tahun lepas temanya adalah “White Hari Raya” tapi masa itu ada pertandingan dan saya tidak menang. Jadi tahun ini, walaupun tidak ada pertandingan, saya mahukan kemeriahan kerana saya rasa tahun ini seperti tahun-tahun sebelum COVID. Saya mahukan saudara mara, kawan-kawan semua datang ke rumah dan dapat merasakan kemeriahan bulan Ramadan dan Syawal," kongsi beliau lagi.

Pada tahun ini, beliau memilih tema 'Meriah Raya'.

"Saya ada jiran-jiran dari blok lain yang bukan bangsa kita dan agama kita yang datang ketuk pintu dan menanyakan tentang belon awan itu. Di mana saya beli dan memuji akan perhiasan saya. Jadi dari situ saya dapat merasakan mereka juga dapat menikmati perhiasan saya juga," kata Cik Monistira.
Beliau dan suami membelanjakan S$500 untuk membeli perhiasan baru, di samping mengitar semula yang lama.

Mereka mengambil masa selama tiga hari untuk memasangnya.

Di blok berhampiran, seorang lagi penduduk sudah menghidupkan lampu lap-lip sejak hari pertama Ramadan.

Encik Ruslan Karli memberitahu BERITAmediacorp, semangat "hendak beraya" itu terasa malap sekiranya tiada hiasan lampu lap-lip.
"Saya buat ini bukan sekarang, sudah lama, dari masa bujang, masa saya kanak-kanak lagi sudah suka menghiaskan rumah, kerana kalau tidak dihias, suasana Hari Raya itu tak ada," kata Encik Ruslan Karli.

Seperti tahun-tahun yang lepas, Encik Ruslan, 68 tahun, akan mengitar semula lampu lap-lip lama.

Beliau akan menambah atau mengubah corak supaya tetamu dapat melihat perbezaan daripada perhiasan tahun-tahun sebelum ini.

Beliau teruja ada jiran-jiran yang memuji perhiasan lampu lap-lipnya.
"Tak sangka pula ada jiran dan kawan-kawan yang nampak dan bertanya, "Eh itu rumah awak ya, wah macam bazar Geylang", kongsi beliau dengan nada ceria.

Encik Ruslan berharap tradisi memasang lampu lap lip akan diteruskan anak dan cucu-cucunya.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan