Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hiasan lampu Hari Raya bangkitkan semangat, bukti semangat masyarakat Melayu/Islam harungi pandemik

Pengorbanan dan kerjasama masyarakat Melayu/Islam semasa sambutan musim perayaan di tengah-tengah cabaran pandemik sepanjang tiga tahun lalu amat dihargai dan sambutan Lebaran kali ini selayaknya diraikan dengan gemilang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pengorbanan dan kerjasama masyarakat Melayu/Islam semasa sambutan musim perayaan di tengah-tengah cabaran pandemik sepanjang tiga tahun lalu amat dihargai dan sambutan Lebaran kali ini selayaknya diraikan dengan gemilang.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong meluahkan penghargaannya itu kepada masyarakat Melayu/Islam dalam ucapannya di Majlis Penyalaan Lampu Hari Raya 2023 di Wisma Geylang Serai (WGS) pada Jumaat (17 Mac).

“Ini merupakan Ramadan dan Hari Raya pertama kita tanpa sekatan dalam masa tiga tahun. Kita tidak akan berada di sini tanpa pengorbanan masyarakat Melayu/Islam yang terjejas sejak tiga Raya yang lalu. Jutaan terima kasih kami ucapkan kepada semua,” kata Encik Tong.

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Beliau yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade turut menghargai sumbangan Jawatankuasa Perundingan Rakyat Geylang Serai, Kembangan-Chai Chee, Marine Parade serta WGS dan para rakan kerja kerana menganjurkan acara penyalaan lampu raya dan bazar tahun ini.

Ini di samping menyokong usaha membina 'Masyarakat Gemilang' - yang juga tema hiasan lampu tahun ini.

Beliau menekankan: "Saya pernah katakan bahawa masyarakat Singapura ibarat dewangga di mana benang-benang berbeza terjalin dalam harmoni dan bersama-sama membentuk corak yang cantik. Masyarakat Melayu/Islam adalah benang penting dalam dewangga di Marine Parade dan dewangga Singapura. Semoga ia akan sentiasa bersemangat dan teguh."

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Datuk Bandar CDC Tenggara, Fahmi Aliman yang turut memberi ucapan berkata bahawa upacara penyalaan lampu Hari Raya itu merupakan satu bukti semangat masyarakat Melayu/Islam.

"Sikap daya tahan dan dedikasi anda sangat penting dalam mengatasi cabaran-cabaran yang kita hadapi, dan adalah satu penghormatan untuk saya berdiri bersama anda hari ini. Ayuh kita sama-sama bekerjasama untuk membina masyarakat yang lebih kukuh dan lebih bersatu untuk semua," kata Encik Fahmi.

Encik Fahmi juga mengingatkan masyarakat bahawa sedang negara beralih ke masa depan pasca pandemik, lebih banyak cabaran akan muncul dan menguji daya tahan rakyat sebagai sebuah negara.

Pun begitu, beliau memberi jaminan, pemerintah komited untuk memelihara dan mengukuhkan kompak sosial di tengah-tengah ketidaktentuan global.

HIASAN LAMPU HARI RAYA BANGKITKAN SEMANGAT

Penyalaan hiasan lampu Hari Raya tahun ini dirasmikan Presiden Halimah Yacob bersama suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee semasa sebuah majlis pelancaran malam tadi (17 Mac).

(Gambar: Wisma Geylang Serai)

Tahun ini, hiasan lampu sepanjang 2.6 kilometer itu akan dibuka selama 45 hari sehingga 30 April.

Buat satu malam sahaja, WGS turut menyediakan perkhidmatan bas-bas dua tingkat terbuka secara percuma buat para pengunjung bagi menikmati keindahan hiasan lampu sepanjang Changi Road, Geylang Road dan Sims Avenue.

Penyalaan lampu yang diadakan semasa musim cuti sekolah dan malam hujung minggu juga memberi peluang bagi kaum keluarga untuk sama-sama menikmati kawasan itu yang bermandikan cahaya.


Antaranya ialah Encik Iman yang datang bersama-sama sanak saudara: "Lampu Hari Raya ini sungguh menarik sebab sudah lama kita tidak menyambut Hari Raya, maksud saya tidak semeriah macam ini. Jadi gembira dapat tengok lampu macam ini di sepanjang jalan raya."

"Kita datang sini sebab nak bagi semangat untuk budak-budak ini sebab mereka pun baru nak belajar nak puasa," kata pengunjung, Cik Yani, seorang ibu.

Bagi Encik Mohd Nor pula, sekatan-sekatan COVID-19 yang dilonggarkan sedikit sebanyak mengembalikan semangat musim perayaan.

"Saya nampak tahun ini lebih meriah. Mungkin lepas COVID-19 nampak meriah. Lagi bebas tidak ada jarak macam orang boleh ramai-ramai tak pakai pelitup lagi kan. Jadi orang nampak macam suka," katanya.

Hiasan lampu dinyalakan bermula jam 7 malam hingga 12 tengah malam, setiap hari, kecuali Jumaat dan Sabtu di mana waktu penyalaannya dilanjutkan hingga ke 2 pagi.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan