'Hi tea Hari Ibu' WARNA 942 kembali selepas 4 tahun
Acara itu diadakan secara besar-besaran di Orchid Country Club pada Ahad (14 Mei).
Selain memberi pengiktirafan dan meraikan pengorbanan ibu-ibu, acara itu juga diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfiri.
Acara yang dinamakan 'RayaUntukmu Ibu' itu juga bertujuan untuk mengumpulkan para peminat dan pendengar setia stesen radio WARNA 942 sekaligus memberikan mereka peluang untuk berinteraksi dengan para DJ kegemaran mereka.

"Kami amat besar hati sekali melihat kehadiran para pendengar kami yang sama-sama ingin menjayakan acara ini yang dah lama mereka nantikan. Ia sambutan yang amat besar saya pasti memandangkan 600 tiket telah habis dijual dalam masa lebih kurang dua minggu sahaja sejak kami lancarkan penjualan tiket pada bulan Mac yang lalu," kata Pengarah Program WARNA 942, Morniyati Tukimin.
Selain menikmati persembahan dan telatah personaliti-personaliti radio WARNA 942, peserta juga dihiburkan dengan persembahan khas oleh kugiran band tempatan, Nobat Kota Singa dan penyanyi dari Malaysia, Ezad Lazim.

Mereka yang diwawancara BERITAmediacorp ghairah dapat hadir pada acara itu.
"Saya rasa saya harus berikan 'two thumbs up' untuk acara ini kerana DJ-DJ WARNA dapat membawa acara ini dengan baik dan secara spontan dan menghiburkan," kata Cik Habe Ahmad.
Buat seorang lagi peminat, Encik Jalaluddin Yassin, ini merupakan detik manis buat beliau kerana selain memberi penghargaan kepada isterinya, beliau juga menyambut ulang tahun isterinya yang jatuh pada 15 Mei.
Beliau juga cukup teruja kerana ia kali pertama beliau hadir acara yang dianjurkan WARNA 942.
"Sebelum ini memang acara-acara WARNA memang 'mewarnakan' seperti semua DJ DJ yang berbakat dan mereka semua amat menghiburkan," kata Encik Jalaluddin.


"Untuk tahun-tahun yang akan datang, sambutan Hari Ibu pasti akan kami kekalkan memandangkan sambutan amat menggalakkan sekali. Kami masih dalam pertimbangan untuk mengadakan acara yang pelbagai, mungkin dari segi hal ehwal kesihatan, seminar kesihatan, acara Gerak WARNA, Shiok Karoke dan bermacam-macam lagi," kata Cik Morniyati Tukimin.
Acara yang berlangsung selama dua jam itu adalah acara terbesar dianjurkan WARNA 942 selepas pandemik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.