Skip to main content

Singapura

HGEF 'mekarkan' kasih keluarga banduan dalam Projek Pelita Hati 2026

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Edisi ke-8 Projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) tahun ini lebih manis lagi dengan pendekatan seni kreatif.

Menerusi bengkel gubahan bunga, projek itu mendampingi 12 keluarga dalam suasana positif.

Projek yang membawa tema 'Mekar Harapan' itu diharapkan dapat memberi ruang kepada anak-anak pesalah dadah meluahkan emosi mereka.

Program yang berlangsung di Kamal Arts Studio, Wisma Geylang Serai pada Sabtu (14 Mac) itu bertujuan menyemai harapan dan memberi sokongan emosi kepada anak-anak yang ibu bapanya sedang menjalani hukuman penjara.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh pencipta kandungan gaya hidup, Bob Mubarak, yang membimbing para peserta sambil menggalakkan kerjasama dan interaksi antara ahli keluarga.

Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun, berkata: "Bengkel gubahan bunga dipilih kerana ia merupakan satu aktiviti yang lembut, kreatif, dan menenangkan. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak dan ahli keluarga dapat meluahkan perasaan mereka secara tidak langsung, tanpa perlu menggunakan kata-kata," katanya.

"Proses menyusun bunga memerlukan kesabaran, tumpuan, dan sentuhan peribadi, dan ini memberi peluang kepada mereka untuk mengekspresikan emosi dengan cara yang positif. Pada masa yang sama, aktiviti ini juga memberi peluang kepada ahli keluarga untuk bekerjasama, berinteraksi, dan mencipta sesuatu yang indah bersama-sama, tambah Cik Haslinda.

Melalui Projek Pelita Hati 2026, HGEF berharap setiap keluarga dan kanak-kanak yang terlibat dapat merasakan bahawa mereka tidak bersendirian serta terus mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih cerah.
Related article image
(Gambar: HGEF)
KAD HARI RAYA JADI PENGGANTI DIRI

Lebih manis lagi di bengkel itu, ahli keluarga menerima kad Hari Raya yang ditulis sendiri oleh ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim berkata, inisiatif sebegitu penting kerana ia membantu mengekalkan hubungan antara golongan banduan dan keluarga mereka.

"Kadang-kadang mereka yang kami kasihi dalam penjara untuk beberapa bulan atau tahun dan mungkin kita rasa yang mereka tidak hadir dalam diri dan kehidupan kita.

"Tetapi dengan adanya pendekatan seperti ini di mana kita berikan ruang dan peluang bagi para banduan untuk memberi kad hari raya, ia dapat menyatukan mereka yang sama-sama menghadapi cabaran ini, menjalani proses ini dan dapat memahami antara satu sama lain," kata Dr Faishal.

Beliau turut menekankan bahawa proses pemulihan dan integrasi semula banduan ke dalam masyarakat bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan pelbagai cabaran.

Menurut Dr Faishal, inisiatif seperti Projek Pelita Hati memberi ruang alternatif kepada keluarga untuk membina semula kekuatan emosi dan hubungan kekeluargaan.

"Ini supaya mereka dapat merasakan ada di kalangan kita yang rasa prihatin tentang kehidupan mereka dan ini pada pendapat saya boleh mencetus naluri ataupun pemikiran lebih-lebih lagi di kalangan anak-anak para banduan kita supaya mereka boleh memperbaiki kehidupan ataupun situasi keluarga.

"Di mana kita memberikan dorongan dalam pendidikan, sokongan emosi dan juga ini boleh memberikan satu nilai tambah dalam proses pemulihan dan integrasi," kata Dr Faishal.

Sejak diperkenalkan pada 2019, Projek Pelita Hati dilaksanakan oleh HGEF dengan kerjasama Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) serta disokong kempen anti-dadah Biro Narkotik Pusat (CNB) melalui kempen Dadah Itu Haram.

Para peserta turut menerima sumbangan duit raya dan kuih raya sebagai tanda ingatan menjelang Syawal.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita