HGEF lancar inisiatif belia; pupuk kepimpinan, kreativiti dan perkasa belia
Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) melancarkan Dana Pembangunan Belia HGEF bagi memupuk kepimpinan, kreativiti dan pemerkasaan dalam kalangan golongan belia.
Gambar berkumpulan semasa Acara Golf Amal HGEF. (Gambar: Dana Pendidikan Harun Ghani)
Inisiatif tersebut dilancarkan semasa Acara Golf Amal dan Majlis Makan Malam HGEF yang diadakan pada Selasa (7 Okt) di Orchid Country Club.
"Dana baharu ini akan menyokong projek yang diketuai oleh belia daripada keluarga yang terdedah kepada risiko, bagi membantu mereka memperjuangkan kesedaran anti-dadah serta membawa perubahan positif dalam masyarakat," kata penasihat HGEF, Dr Rashid Tahir.
"Melalui usaha ini, kami berharap dapat memberi kuasa dan semangat kepada golongan belia, bukan sahaja untuk membina semula kehidupan mereka sendiri, tetapi juga untuk menginspirasikan dan mengangkat semangat orang lain dalam komuniti mereka," tambahnya lagi.
Sebanyak $20,000 akan diperuntukkan untuk 2026, dengan setiap projek layak untuk menerima sehingga $2,000 dalam bentuk pembiayaan.
Projek-projek tersebut perlu memberi fokus kepada kesedaran anti-dadah atau kesejahteraan belia, atau kedua-duanya sekali.
Acara berkenaan turut menandakan kejayaan HGEF mengumpul dana, namun jumlahnya tidak diumumkan.
Dana tersebut akan disalurkan untuk membantu kanak-kanak dari keluarga pesalah dan bekas pesalah yang menghadapi masalah kewangan dan sosial.
Acara itu mendapat sokongan sekitar 140 penaja, rakan kongsi serta sukarelawan HGEF.
Antara penaja bagi acara tersebut termasuk rangakian pasar raya Sheng Siong Group dan Yayasan Salleh Marican.
Berucap di Majlis Makan Malam sempena acara tersebut, Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, berharap agar HGEF akan terus maju dan berkembang kukuh pada tahun-tahun akan datang, demi memberi manfaat kepada lebih ramai kanak-kanak serta keluarga mereka.
Setiap tahun, HGEF menerima lebih 200 permohonan daripada kanak-kanak yang ibu bapa mereka dipenjarakan atas kesalahan dadah serta menghadapi cabaran sosial serta kewangan.
Setelah 20 tahun, organisasi tersebut sudah mencapai pencapaian kutipan dana sebanyak $1.3 juta sejak penubuhannya pada tahun 2005.
Pencapaian ini dibolehkan dengan sokongan dan keyakinan masyarakat terhadap usaha HGEF untuk Membina Semula Kehidupan Melalui Pendidikan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.