Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HGEF hulur bantuan lebih S$8,000 kepada pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah

Lebih S$8,000 diagihkan hari ini (2 Jan) kepada hampir 60 pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah, di bawah Projek SHINE kelolaan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih S$8,000 diagihkan hari ini (2 Jan) kepada hampir 60 pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah, di bawah Projek SHINE kelolaan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Keluarga penerima juga berpeluang menjalani khidmat pengurusan kesihatan percuma sebagai sebahagian daripada bantuan menyeluruh untuk memperbaiki kehidupan sekeluarga.

HGEF dibentuk pada 2005 bagi membantu dan menggalak anak penagih dadah supaya kekal bersekolah dengan menawarkan dermasiswa.

Sejauh ini, ia telah mengagihkan lebih S$600,000 kepada pelajar sekolah rendah hingga universiti yang juga anak pesalah dadah.

BANTUAN KEWANGAN HGEF BANTU ANAK RAIH KEPUTUSAN BAIK DI SEKOLAH

Encik 'Azri' (bukan nama sebenar), 50 tahun, dan isterinya, 48 tahun pernah meringkuk dalam penjara akibat terjebak dengan penyalahgunaan dadah heroin lebih 30 tahun lalu.

Selepas dibebaskan pada 1989 dan membina keluarga dengan tujuh orang anak, mereka sudah "cuci tangan" daripada najis dadah dan ingin membuka lembaran baru dalam kehidupan mereka.

Hari ini, Encik 'Azri' sekeluarga merupakan antara 60 keluarga yang meraih manfaat daripada bantuan Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Anak-anak mereka menerima sehingga S$200 setiap seorang.

Menurut Encik 'Azri' bantuan yang dihulurkan HGEF memberikan anak-anaknya motivasi untuk terus belajar.

Malah prestasi mereka di sekolah semakin meningkat juga.

"Saya sering mengingatkan mereka agar terus berusaha untuk belajar. Jika prestasi mereka baik, inilah antara ganjaran yang mereka boleh terima. Sejak mendapat bantuan ini, boleh nampak banyak perubahan dari segi pelajaran dan motivasi untuk ke sekolah," kata Encik 'Azri'.

BANTUAN SECARA HOLISTIK PERLU DISEDIAKAN

Penyampaian bantuan diserikan dengan kehadiran Setiausaha Parlimen Kesihatan (MOH), Cik Rahayu Mahzam.

Berbanding tahun-tahun sebelumnya yang hanya merangkumi pengagihan dana, pihak HGEF menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan untuk para penjaga.

Mereka antara lain dapat belajar menguruskan keadaan kesihatan dan perubatan mereka.

Cik Rahayu berkata: "Kita lihat aspek kehidupan bukan sahaja dari segi keperluan bantuan kewangan tetapi bagaimana kita dapat membantu keluarga itu untuk terus kekal menghadapi isu-isu. Antara perkara penting adalah isu kesihatan. Misalnya kalau kita lihat penyakit kronik hanya dua pertiga pergi periksa. Jika mereka dapat menjaga diri mereka dan dapat menjaga keluarga, mereka akan dapat terus berusaha untuk memperbaiki kehidupan sekeluarga."

"Sememangnya usaha sebegini adalah penting untuk kita teruskan kerana bantuan yang diberikan sekali sekala mungkin tidak mencukupi untuk membantu keluarga keluarga dalam masa kesusahan mereka. Kita tahu untuk keluar daripada lingkaran kesusahan memerlukan usaha dan masa," tambah Cik Rahayu.

Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun juga akui bahawa usaha untuk membantu seluruh anggota keluarga bekas dan pesalah dadah adalah penting.

Cik Haslinda berkata: "Kami bukan sahaja ingin membantu dari segi kewangan tetapi kami ingin memahami keluarga-keluarga ini dengan lebih lanjut supaya kami dapat mengenali mereka, masalah mereka, keriangan dan kegembiraan mereka untuk dapat membantu mereka dengan secara keseluruhan."

"Tahun ini kami telah menjemput wakili-wakil Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk datang dan memeriksa penjaga-penjaga anak-anak ini, ibu, bapa, datuk, nenek mereka. Kami berpendapat bahawa penjaga-penjaga ini jika kesihatan mereka baik, mereka mungkin dapat menjaga anak-anak dengan baik dan ini juga akan membolehkan anak-anak menumpukan perhatian lebih baik di sekolah," tambahnya.

Sempena acara itu, para penerima juga dapat membuat kegiatan kraf tangan selain menerima khidmat bantuan daripada Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga, (FITRAH).  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan