Skip to main content

Singapura

HGEF bantu keluarga banduan dengan terapi seni melukis batik dalam edisi ke-7 Projek Pelita Hati

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Projek Pelita Hati anjuran Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) kembali buat edisi ketujuh tahun ini dengan pendekatan baharu iaitu menggunakan seni melukis dan mencanting batik.

Hampir 10 keluarga para banduan hadir di acara yang diadakan di Galeri Kamal Arts pada Sabtu (15 Mac) itu.

Dengan tema 'KEEPING YOUR HEart ALIVE!', setiap keluarga diberikan kanvas kosong dan diajak untuk melukis sesuatu yang melambangkan harapan dan cabaran bersama mereka.

Menurut Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun, aktiviti melukis itu boleh membantu ahli keluarga terutamanya anak-anak pesalah dadah untuk meluahkan emosi dan perasaan mereka.

"Ia sudah terbukti bahawa terapi seni ini boleh serba sedikit membantu kanak-kanak yang sedang melalui perubahan besar dalam kehidupan mereka.

"Bersama kita hari ini adalah anak-anak yang mempunyai ibu atau ayah di penjara. Mereka terjejas oleh kesalahan dadah ibu bapa mereka. HGEF berharap anak-anak ini dapat ‘melukis’ semula pengalaman keluarga mereka yang negatif kepada yang lebih positif," kongsi Cik Haslinda.

Beliau turut berbesar hati dengan sokongan dan kerjasama daripada Kamal Arts yang menaja lokasi dan peralatan melukis.

"HGEF dan Kamal Arts yakin bahawa apabila keluarga mencipta seni bersama-sama, kerjasama itu amat berkesan terutama sekali untuk keluarga yang bergelut dengan konflik dan terputus hubungan. Dengan kekuatan kolektif mereka, kami percaya bahawa lukisan yang disiapkan akan menjadi simbol kuat perjalanan dan daya tahan keluarga itu," kata Cik Haslinda.
Related article image
(Gambar: Haslinda Putri)
ACARA INGIN SUNTIK KECERIAAN BULAN RAMADAN DAN SYAWAL

Inisiatif oleh HGEF serta Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) itu bermatlamat untuk menyuntik keceriaan kepada penerima bantuan dalam bulan Ramadan ini dan Syawal yang bakal menjelang.

Ini selain dapat menghulurkan sokongan emosi kepada anak-anak para banduan.

Di acara itu juga, ahli keluarga menerima kad Hari Raya yang ditulis sendiri oleh ibu bapa mereka yang masih dalam tahanan.

"HGEF berharap kad Hari Raya tulisan khas ini akan dapat memberi semangat dan harapan kepada anak- anak yang sangat merindui kehidupan bersama ibu bapa mereka," kongsi Cik Haslinda.

Turut hadir untuk memberikan sentuhan kreatif kepada kanvas yang disediakan ialah Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Beliau mengalu-alukan inisiatif itu dalam menyokong hubungan antara para banduan dengan anak-anak mereka.

"Ada banyak nilai yang boleh kita pelajari dalam aspek lukisan batik dan juga ia melihat bagaimana kemahiran kanak-kanak kita dapat ditonjolkan.

"Jadi, saya rasa gembira dan syabas kepada HGEF kerana telah membangunkan satu wadah yang saling melengkapi dengan apa yang pemerintah lakukan. Ini selaras dengan apa yang kita mahu bangunkan di Singapura di mana kita mahukan masyarakat yang inklusif," kata Dr Faishal.

Tambahnya lagi, usaha HGEF itu mencerminkan keprihatinan masyarakat kepada para banduan dan keluarga mereka.

Beliau menekankan bahawa pihak pemerintah akan teruskan usaha untuk membantu dan menyokong keluarga para banduan terutamanya dalam proses pendidikan anak-anak mereka.

"Di pihak pemerintah, kami akan teruskan usaha untuk menyokong keluarga kepada para banduan dan isi rumah mereka di luar sana di mana kita akan membangunkan 'model mendampingi keluarga' di mana ia akan memberikan ruang pembangunan keluarga bagi para banduan dan keluarga mereka.

"Juga dengan adanya Hab Integrasi yang kami lakarkan di mana kita menyediakan pelbagai sokongan termasuk sokongan membangunkan diri dan juga mengeratkan lagi hubungan keluarga antara mereka di dalam penjara dan juga ahli keluarga mereka," kongsi Dr Faishal.

Ini menurut beliau supaya keluarga banduan tidak rasa bahawa diri mereka keseorangan.

Selain karya yang dilukis, mereka yang hadir membawa pulang hamper bernilai S$220 daripada The Wonderment Collective (TWC) dan baucar NTUC bernilai S$100.

Setiap kanak-kanak pula menerima duit raya S$100 dan baucar kedai buku Popular bernilai S$50.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita