HGEF agihkan lebih S$740,000 bantu pelajar daripada keluarga pesalah & bekas pesalah dadah
SINGAPURA: Sepanjang hampir dua dekad, Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) sudah mengagihkan sekitar S$740,000 untuk bantu pendidikan lebih 4,000 pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah.
Ini termasuk 70 pelajar yang menerima bantuan tahun ini dan diraikan dalam satu majlis khas pagi tadi (23 Dis).
Tahun ini sahaja, HGEF sudah mengagihkan sekitar S$23,000 kepada para pelajar.
Sebanyak 137 permohonan yang diterima tahun ini.
Jumlah itu sekitar 15 peratus lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
"Tahun ini, saya ada perasan bahawa mungkin ada kurang (permohonan) sedikit, dan pada saya ini mungkin disebabkan tahun ini merupakan tahun pertama HGEF menjemput permohonan online dan mungkin ada keluarga-keluarga yang masih takut atau tidak pandai menggunakan aplikasi online dan itu telah menyebabkan nombor aplikasi kita berkurangan tahun ini," kongsi Setiausaha Kehormat HGEF, Haslinda Putri Harun kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Bermula tahun ini permohonan dilakukan menerusi laman web Yayasan MENDAKI.
HGEF juga telah berusaha untuk membimbing mereka cara-cara membuat permohonan secara online.
HGEF dibentuk pada 2005 bagi membantu dan menggalak anak penagih dadah supaya kekal bersekolah dengan menawarkan dermasiswa.
Jumlah bantuan bagi setiap peringkat pelajaran juga dinaikkan sebanyak 20% sejak tahun lalu.
PELBAGAI CARA UNTUK DEKATI ANAK-ANAK PESALAH DAN BEKAS PESALAH
Selain bantuan kewangan, badan itu juga mempunyai pelbagai cara untuk mendampingi dan mendekati anak-anak pesalah dan bekas pesalah dadah itu.
"Salah satu caranya adalah melalui surat-surat cinta yang mereka tulis kepada saya. Di dalam surat ini, mereka menerangkan dan mereka menuliskan permintaan mereka dan kita di HGEF akan mengkaji dan cuba menolong mereka dengan secara peribadi," menurut Cik Haslinda.
Antara yang meraih manfaat ialah anak-anak Cik 'Siti' (bukan nama sebenar), 47 tahun yang sudah menerima bantuan itu sejak lima tahun lalu.
Ketiga-tiga anaknya yang berusia antara 13 hingga 23 tahun menerima bantuan tersebut.
"Sebenarnya baik (untuk mereka) sebab boleh membantu dalam pelajaran untuk mereka kembali ke sekolah untuk tahun hadapan. Jadi ia baik untuk mereka," kongsi Cik 'Siti'.
Acara itu juga diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau turut menyampaikan sijil-sijil Daya Tahan kepada para pelajar hari ini (23 Dis) kerana berjaya menamatkan persekolahan dalam tahun akademik 2023.
HGEF MAINKAN PERANAN PENTING DAN BERMAKNA DALAM PENDIDIKAN ANAK-ANAK BANDUAN
Dr Faishal juga menarik perhatian kepada usaha bermakna HGEF lebih-lebih lagi dalam pendidikan anak-anak pesalah dan bekas pesalah dadah.
"Pendidikan itu adalah satu wadah yang baik dan padat bagi kita untuk memberikan ruang pembangunan dan sokongan kepada anak-anak ini kerana mereka mungkin menjalani satu kehidupan yang mencabar di mana salah satu ataupun kedua-dua ibu bapa mereka mungkin ada di dalam penjara dan mereka dapat merasakan bahawa masyarakat dan badan-badan masyarakat seperti HGEF mahu memainkan peranan untuk menyokong mereka dan memberikan laluan yang lebih baik bagi mereka," kongsi Dr Faishal.
"Dengan adanya rangkaian MMO yang kita bangunkan, kita boleh bukan sahaja memperkukuhkan lagi proses dan juga sokongan yang diberikan tetapi kita boleh bekerjasama untuk memberikan sokongan yang lebih berkesan supaya bukan sahaja mereka mendapatkan sokongan dan pertolongan tetapi yang berkesan, yang boleh membuka lebih banyak peluang dan ruang bagi mereka untuk membangunkan kehidupan mereka. Jadi kita mahu meneruskan usaha ini bersama dengan badan-badan Melayu/Islam, seperti HGEF supaya kita boleh memberikan sokongan dan pertolongan yang lebih berkesan kepada para banduan dan keluarga mereka," tambahnya.
HASILKAN SELIMUT KAIN PERCA TERBESAR
Dr Faishal turut menyertai para peserta dan keluarga besar HGEF menjahit fabrik bagi menghasilkan selimut kain perca terbesar untuk Buku Rekod Singapura.
Ini bagi menyokong usaha Projek Reben Kuning (YRP) sempena ulang tahunnya yang ke-20 pada tahun depan.
Kain perca terbesar itu dihasilkan dengan kerjasama Weaving Happiness dan harap dapat disiapkan pada Julai 2024.
"Dana Pendidikan Harun Ghani bekerjasama bersama dengan Projek Reben Kuning bukan semata-mata kerana ingin memecahkan rekod Singapura tetapi HGEF berpendapat bahawa badan seperti Projek Reben Kuning telah bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk membantu bekas-bekas banduan kembali ke masyarakat dan ini adalah cara kita menunjukkan rasa terima kasih kita dan sokongan kita kepada mereka," ujar Cik Haslinda.
KERJASAMA ANTARA PELBAGAI BADAN ADALAH PENTING
"Kita boleh memberi ruang kepada lebih ramai sukarelawan dan juga pendekatan yang diadakan yang lebih luas apabila kita bekerjasama jadi saya dapat melihat tahun demi tahun, HGEF telah meluaskan pendekatannya, meluaskan kerjasamanya dan juga memberi sokongan yang lebih mantap kepada keluarga-keluarga ini.
"Jadi ini menunjukkan satu gambaran yang positif di mana selagi kita membangunkan negara Singapura, tidak kira cabaran dan peluang yang ada, selagi itu kita mahu meningkatkan daya kita untuk mengadakan program-program yang bukan sahaja relevan tetapi berkesan dan mempunyai pendekatan yang lebih luas kepada masyarakat kita," ujar Dr Faishal.
Wadah sebegini menurutnya penting dan merupakan "satu proses pembangunan negara" bukan sahaja untuk membantu para banduan dan keluarga mereka malah memberi peluang kepada masyarakat untuk "membangunkan satu ekosistem saling membantu antara satu sama lain" sekaligus membangunkan masyarakat yang lebih sepadu dan penuh keihsanan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.