HGEF agih S$16,000 bantu pelajar keluarga bekas pesalah dadah; usaha bantuan akan dipertingkat
Hampir S$16,000 diagihkan kepada 93 pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah yang dibantu Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada Sabtu (6 Mac).
SINGAPURA: Hampir S$16,000 diagihkan kepada 93 pelajar keluarga pesalah dan bekas pesalah dadah yang dibantu Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF) pada Sabtu (6 Mac).
Usaha HGEF itu dialu-alukan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam menyokong keluarga banduan di tengah-tengah pandemik sekarang.

Menurutnya usaha akan dipertingkat untuk membantu mengukuhkan daya tahan mereka yang mempunyai anggota keluarga di penjara akibat kesalahan dadah.
Sesi penyampaian dermasiswa HGEF itu yang kedua diadakan tahun ini.
Setiap pelajar menerima antara S$120 hingga S$2,000 bagi sekolah rendah hingga politeknik.
Semasa beramah mesra dengan para penerima, Dr Faishal berkata rangkaian sosial dan sokongan dalam masyarakat akan dipertingkat bagi memanfaatkan sepenuhnya sumber bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Saya dapat melihat impak negatif dadah kepada pesalah, kepada ahli keluarga dan juga anak-anak mereka. Kami akan meningkatkan usaha untuk memberikan ruang untuk membangunkan daya tahan, kesedaran dan ketabahan kepada golongan belia kita, warga kita supaya mereka katakan TIDAK pada penyalahgunaan dadah," kata Dr Faishal.
CERAMAH CELIK KEWANGAN AJAR SELOK BELOK MENABUNG
Bagi sesi yang diadakan di bangunan Wisma Mendaki itu,HGEF bekerjasama dengan syarikat runding cara, Knosmosis, dan syarikat konsultan kewangan, TAQWA, untuk memupuk tabiat menabung dan berjimat dalam kalangan penerima bantuan.

Yang jelas, maklumat dan panduan yang diberi memberi semangat kepada dua penerima yang kami temui.
"Bagus jugalah cara dia (Khalid Awang dari Knosmosis) mengajar kita untuk simpan duit, ada simpanan, jangan boros, gunakan duit dengan sebaik-baiknya. Insya-Allah saya akan cuba simpan duit macam mana yang saya belajar dari sini tadi," ujar "Zulkifli" (bukan nama sebenar). Bapa lima orang anak itu baru keluar dari penjara Disember lalu.
Bagi "Linda" (bukan nama sebenar), tabiat menabung sudah beliau amalkan dalam kehidupan sehariannya.
"Saya selalu simpan duit syiling S$1. Jadi saya ada sejumlah duit itu dalam satu bekas 'tupperware' besar yang saya simpan."
Beliau dan empat orang anaknya sudah lebih 20 tahun menerima bantuan daripada HGEF dan berharap anak-anaknya dapat berbakti semula kepada keluarga-keluarga lain suatu hari nanti.

Kali terakhir tajuk ceramah itu dikongsikan bersama para penerima bantuan adalah sekitar tiga tahun lalu. Dengan sokongan menjangkau bantuan kewangan, Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun berharap, keluarga penerima bantuan akan lebih bersemangat untuk menabung dan sedar pentingnya pengurusan kewangan.
"Tujuan kami ialah untuk memberitahu mereka (keluarga pesalah) cara-cara menjimatkan wang walaupun ia hanyalah S$1 sehari atau S$1 seminggu atau S$1 sebulan. Dan oleh itu kami ingin membuktikan pada mereka pada keluarga-keluarga yang telah terlibat dalam seminar ini bahawa kita mampu mencapai Kejayaan Tanpa Kekayaan."
Memandang ke hadapan, HGEF berharap masyarakat akan terus menghulurkan sumbangan bagi menyokong usaha-usaha pemulihan individu yang dipenjara dan juga keluarga mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.