Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hentikan dadah; bagaimana Singapura periksa pelawat di Lapangan Terbang Changi

Anggaran Waktu Membaca:
Hentikan dadah; bagaimana Singapura periksa pelawat di Lapangan Terbang Changi

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Dua tahun selepas COVID-19 menjejas perjalanan ke luar negara, sekali gus mengubah Lapangan Terbang Changi menjadi kawasan suram, hab udara itu kini sudah kembali bertenaga.

Ramai pelawat beratur di kaunter daftar masuk.

Namun kini timbul cabaran baru kepada agensi keselamatan Singapura – ganja dibenarkan di negara-negara lain, dengan langkah Thailand membenarkan penggunaan dadah itu pada bulan Jun, dikhuatiri menyebabkan lebih ramai orang akan keluar masuk ke Singapura dari negara tersebut.

Dengan lebih 16.5 juta penumpang telah melalui Lapangan Terbang Changi tahun ini, bagaimanakah Singapura memastikan dadah seperti ganja tidak berjaya masuk ke sini?

Mediacorp diberi kesempatan melihat proses pemeriksaan, yang bermula di kawasan larangan di mana bagasi dari penerbangan diproses selepas pesawat mendarat.

Antara 'petugas' utama ialah pasangan Bailey, seekor anjing jenis spaniel springer dari unit K-9 polis, bersama pengendalinya Sarjan Ryan Low.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Sedang bagasi dipunggah dari troli ke tempat pengambilan bagasi, Bailey berjalan sambil menghidu setiap satu beg atas arahan SGT Low.

Secara umumnya terdapat dua cara anjing polis akan memberi isyarat bahawa sesuatu beg itu perlu diperiksa dengan lebih rapi lagi. Dalam "petunjuk positif", hidung anjing akan menunjuk ke arah tempat yang perlu diberi perhatian.
Bagi "petunjuk aktif", pula anjing tersebut akan mengais kawasan berkenaan.

Apabila keadaan itu berlaku, beg yang mencurigakan serta barang bersebelahannyadiambil untuk diperiksa unit K-9, kata SGT Low.

PEMERIKSAAN KE ATAS PELAWAT

Pemeriksaan rambang dibuat ke atas pelawat ketika mereka meninggalkan dewan ketibaan.

Dalam satu lakonan oleh pegawai Home Team, seorang pelawat seakan-dipanggil untuk diperiksa semasa dia menarik beg pakaiannya menuju ke pintu keluar. Bagasinya terlebih dahulu melalui pengimbas X-ray.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

Dia kemudian menjalani IONSCAN, ujian calitan berteknologi tinggi yang boleh mengesan narkotik atau bahan letupan. Seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) kemudian menggunakan peranti pengimbas itu ke atas pelawat serta barang-barang miliknya.

IONSCAN akan mengeluarkan bunyi yang menunjukkan adanya kesan dadah. Pelawat itu akan dibawa ke pejabat bagasi ICA, untuk pemeriksaan yang lebih terperinci.

Di pejabat itu, dua pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) akan melakukan pemeriksaan rapi ke atas beg pakaiannya, dengan disaksikan pelawat berkenaan.

Selepas itu, seorang pegawai CNB wanita membawanya ke bilik lain untuk pemeriksaan tubuh.

Jika sesuatu yang mencurigakan ditemui, sampel bahan itu diletakkan pada kit pemeriksaan dadah yang saiznya sama dengan tapak tangan.

Kit pengesanan yang dipertingkatkan itu telah digunakan sejak Mac. Ia boleh mengesan pelbagai jenis bahan terkawal hampir serta-merta - dalam masa lima saat, iaitu sehingga empat kali lebih cepat daripada sebelumnya, kata CNB.

Penunjuk ujian bertukar menjadi ungu, menunjukkan kehadiran dadah terkawal. Ia sudah cukup untuk mengesyaki bahawa "pelawat" itu melakukan kesalahan dadah, dan menangkapnya.

Pegawai CNB akan menggarinya dan membawa pelawat itu untuk memberikan sampel untuk ujian air kencing.

(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
PENCEGAHAN DAN PENDIDIKAN

Selain mengesan bahan terlarang, pegawai CNB juga cuba mendidik pelancong tentang akibat memasuki Singapura dengan membawa dadah.

Di dewan keberangkatan, para pegawai mengedarkan risalah yang menyenaraikan dadah biasa dan nama masing-masing, kesan fizikal dan psikologi mengambil dadah, dan hukuman maksimum bagi kesalahan dadah.

Risalah itu juga mengandungi nasihat bahawa individu yang mengambil dadah haram di luar negara boleh ditangkap dan berdepan hukuman yang sama seolah-olah mereka melakukan kesalahan itu di Singapura.

Hukumannya ialah penjara sehingga 10 tahun, denda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sekali kerana mengambil dadah terkawal.

Awal bulan ini, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam menzahirkan kebimbangan dengan langkah Thailand membenarkan pengambilan ganja kerana dikhuatiri lebih ramai orang akan keluar masuk ke negara ini dari Thailand.

Ia juga menimbulkan lebih banyak cabaran kerana Thailand dikunjungi ramai warga Singapura, kata Encik Shanmugam.

Tambah beliau, pihak berkuasa Singapura akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti jelas mengenai penggunaan dadah, tidak kira sama ada dadah itu diambil ketika berada di negara ini atau di luar negara.
 
(Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
LEBIH BANYAK TANGKAPAN DI LAPANGAN TERBANG CHANGI

Dengan penyambungan semula perjalanan ke luar negara selepas pandemik koronavirus, terdapat lebih banyak tangkapan dibuat ke atas suspek pesalah dadah di sempadan Singapura.

Sehingga Ogos lalu, CNB telah menahan 41 warga Singapura dan Penduduk Tetap (PR) di pelbagai pusat pemeriksaan negara kerana disyaki menyalahguna dadah.

Jumlah itu adalah satu peningkatan ketara berbanding enam tangkapan yang dibuat pada keseluruhan tahun 2021 dan 30 tangkapan pada 2020, ketika sekatan perjalanan global masih dilaksanakan.

Namun jumlah itu masih jauh lebih rendah daripada jumlah tangkapan pada tiga tahun berturut-turut sebelum COVID-19, apabila jumlah tangkapan melepasi paras 120.

CNB menjalankan lebih 180 operasi penguatkuasaan bersama di Lapangan Terbang Changi dari Januari hingga Ogos, manakala lebih 260 operasi dijalankan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut lain.

Lebih daripada 2,000 pemeriksaan dijalankan ke atas pelawat di Lapangan Terbang Changi dalam tempoh itu, berbanding 17,000 pemeriksaan di pusat pemeriksaan lain.
Sumber : CNA/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan