Skip to main content

Singapura

Heng Swee Kiat alu-alu kerjasama Melayu/Islam demi bina masa depan lebih cerah

Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP yang baru, Encik Heng Swee Keat menekankan pentingnya PAP mempunyai pasukan yang kuat dalam parlimen.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Nov 2018 09:35PM Dikemas Kini : 23 Nov 2018 10:31PM

SINGAPURA: Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP yang baru, Encik Heng Swee Keat menekankan pentingnya PAP mempunyai pasukan yang kuat dalam parlimen.

Bercakap dalam bahasa Melayu dalam sidang media beliau yang pertama selepas diumumkan sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertama PAP yang baru, Encik Heng berkata:

"Saya sangat hargai kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh rakan-rakan pemimpin 4G kerana memilih saya sebagai ketua pasukan. Saya akan jalankan tugas berat ini dengan penuh tanggungjawab dan sebaik mungkin. Saya alu-alukan peluang untuk bekerja lebih rapat dengan pasukan 4G.

"Mereka ada banyak kekuatan dan gaya kepimpinan dan kepakaran kami saling melengkapi satu sama lain."

Encik Heng yang juga Menteri Kewangan menambah, kepimpinan yang baru diumumkan itu juga mengalu-alukan peluang untuk berganding bahu pada masa hadapan dengan masyarakat Melayu/Islam di sini.

"Kami alu-alukan peluang untuk berganding bahu bersama rakyat Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam demi membina masa depan yang lebih cerah untuk kita semua," kata beliau.

Related article image
CEC PAP yang ke-35. (Gambar: Parti Tindakan Rakyat)

BARISAN 4G ADA KEKUATAN, GAYA KEPIMPINAN

Lebih dari hanya melengkapkan masyarakat Singapura, Encik Heng turut berkongsi bagaimana beliau juga berharap kepimpinannya itu nanti turut dapat dilengkapi bersama barisan pemimpin 4G.

Ini lebihan lagi menurut beliau, barisan pemimpin tersebut mempunyai 'banyak kekuatan dan gaya kepimpinan'.

"Saya berbesar hati kerana Chun Sing menjadi timbalan saya. Kami telah bekerja rapat dalam banyak bidang. Bersama-sama, pasukan pemimpin 4G akan mencorak kepimpinan urus tadbir kami sendiri seiring keperluan serta aspirasi rakyat Singapura," kongsinya lagi.

Related article image
Menteri Kewangan Heng Swee Keat. (Gambar fail: TODAY)

SANDANG PELBAGAI JAWATAN

Beliau mempunyai hampir 30 tahun pengalaman dalam perkhidmatan awam sebelum menceburi politik pada tahun 2011.

Encik Heng dipilih sebagai Anggota Parlimen GRC Tampines semasa Pilihan Raya Umum 2011. Pada tahun itu juga beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan (MOE).

Namun, Encik Heng bukan asing di MOE kerana sebagai pegawai perkhidmatan awam beliau pernah menyandang jawatan di kementerian itu serta di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada mendiang Menteri Kanan Lee Kuan Yew dan kemudian sebagai Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) selama enam tahun.

AKTIF DALAM PELBAGAI AKTIVITI

Sejak menceburi politik, Encik Heng sudah menerajui beberapa inisiatif utama seperti Perbincangan Singapura Kita pada tahun 2012 dan Jawatankuasa Panduan SG50.

Pada 2015, beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan tetapi setahun kemudian Encik Heng diserang angin ahmar semasa satu mesyuarat kabinet tetapi kini sudah sembuh sepenuhnya.

Pada masa ini, Encik Heng mengetuai Majlis Ekonomi Masa Hadapan yang memacu transformasi ekonomi Singapura di samping menjadi Pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional yang memandu usaha-usaha R&D negara ini. 

Sumber : CNA/RR/UR/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita