Heng Swee Keat: Saya akan sokong PM Lee dalam semakan dasar jangka panjang
Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata beliau akan menyokong Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menyemak semula dasar-dasar jangka panjang Singapura bagi tempoh sedekad akan datang, sedang beliau bersiap sedia menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri bermula 1 Mei ini.
SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata beliau akan menyokong Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menyemak semula dasar-dasar jangka panjang Singapura bagi tempoh sedekad akan datang, sedang beliau bersiap sedia menggalas jawatan Timbalan Perdana Menteri bermula 1 Mei ini.
Kata Encik Heng, ini termasuk menguruskan isu penduduk yang semakin menua, menyusun semula ekonomi dan menangani isu-isu sosial yang mungkin timbul sedang Singapura mengharungi rentak perubahan yang lebih pantas.
Encik Heng berkongsi peranan barunya itu semasa bercakap di luar satu acara kemasyarakatan pada Ahad (28 Apr) - iaitu penampilannya yang pertama di acara awam sejak rombakan kabinet diumumkan pada Selasa.
Tambah beliau, mengukuhkan hubungan dengan rakan kerja utama akan menjadi satu keutamaan.
"Satu peranan penting (tanggunjawab DPM) adalah menyokong Perdana Menteri dalam mengukuhkan hubungan dengan rakan-rakan utama merata dunia. Seperti anda sedia maklum, saya baru pulang dari Amerika Syarikat. Saya juga berada di Thailand dan Malaysia selama seminggu.
"Saya akan ke China bulan depan, dan juga Jepun. Jadi banyak lawatan yang perlu saya lakukan untuk mengukuhkan hubungan baik dengan negara-negara jiran untuk memimpin Singapura ke masa depan yang lebih cerah," tambah Encik Heng, yang akan kekal sebagai Menteri Kewangan.
Pelantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri mengukuhkan kedudukan Encik Heng sebagai Perdana Menteri Singapura yang seterusnya.
PM Lee pernah berkata beliau berhasrat untuk menyerahkan tampuk kepimpinan apabila beliau mencecah usia 70 tahun pada 2022. Ini bermakna pewarisnya mempunyai tempoh sekitar tiga tahun untuk bersiap sedia untuk memikul tanggungjawab itu.
Apabila ditanya mengenai masa yang diperlukan untuk beliau mempersiapkan diri sebelum menyandang jawatan Perdana Menteri kelak, Encik Heng berkata beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sepanjang hayatnya. Maka itu, peranan tersebut bukan sesuatu yang baru baginya.
"Namun tentunya pengalaman pembelajaran kali ini pasti lebih pantas, dan saya akan melakukan yang terbaik. Dan kami tentu sekali akan mendapat sokongan baik PM Lee, DPM Teo, DPM Tharman serta rakan-rakan kerja Kabinet yang lain," kata beliau.
Ditanya pula tentang status kesihatannya, beliau menambah: "Satu perkara yang saya pelajari adalah untuk mengatur langkah dengan sewajarnya agar saya mempunyai cukup masa untuk bersenam dan berehat."
Encik Heng bercakap di satu majlis bagi menandakan selesainya pembinaan bahagian pertama laluan basikal tambahan di Tampines Town sepanjang 1.6 kilometer di Tampines Concourse, Tampines Central 7 dan Tampines Avenue 6.
Acara tersebut turut dihadiri Penasihat Akar Umbi bagi GRC Tampines Masagos Zulkifli, BaeyYam Keng, Desmond Choo dan Cheng Li Hui. Mereka menyertai sama Encik Heng, untuk merasmikan upacara pecah tanah bagi pembinaan 4 kilometer seterusnya laluan berbasikal di Tampines yang dijadual lengkap pada 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.