Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng Swee Keat gesa rakyat muda S'pura tebarkan sayap ke Asia

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menggesa rakyat muda Singapura supaya menebarkan sayap ke Asia dan menjangkaui rantau tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jun 2019 04:16PM Dikemas Kini : 06 Jun 2019 10:08PM

SINGAPURA: Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menggesa rakyat muda Singapura supaya menebarkan sayap ke Asia dan menjangkaui rantau tersebut.

Ini agar mereka mempunyai pandangan dunia lebih luas untuk membina Singapura yang lebih baik.

Beliau berkata demikian semasa berucap kepada 540 pelajar yang menghadiri Seminar Pra-Universiti di Universiti Nasional Singapura (NUS) hari ini (6 Jun).

Tema bagi edisi ke-50 seminar Pra-U kali ini ialah 'Singapura 4.0'.

Ia membincangkan bagaimana untuk membina masa depan yang lebih baik untuk negara ini.

Encik Heng menyeru para pelajar supaya membina perhubungan dengan orang-orang dari negara-negara lain di rantau ini.

Beliau berkata gelombang peluang seterusnya wujud di Asia, dengan rantau ASEAN dijangka menjadi pasaran tunggal keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

Menurutnya Singapura berada di kedudukan yang baik untuk merebut peluang-peluang tersebut.

"Anda semua di sini akan menjadi arkitek dan pencorak Singapura 4.0 dan seterusnya. Anda akan menghadapi cabaran-cabaran yang berbeza daripada yang dilalui ibu bapa dan nenek moyang anda.

Tetapi saya percaya anda berkemampuan untuk membawa Singapura lebih jauh lagi. Anda boleh menyesuaikan diri dengan perubahan pesat teknologi dan dilengkapi dengan baik untuk memanfaatkan peluang-peluang di Asia," ujar Encik Heng.

Encik Heng menambah, juga penting untuk membina masyarakat yang kukuh, terutama di tengah-tengah ketersambungan global disebabkan oleh penggunaan teknologi yang kian meningkat.

Sebagai warga digital, Encik Heng berkata rakyat muda Singapura perlu memastikan adanya persekitaran yang kondusif untuk berhubung dan melibatkan diri dalam talian antara satu dengan lain.

Ini katanya akan membantu Singapura menghadapi cabaran-cabaran masa depan seperti demografi yang berubah-ubah dan penduduk semakin tua.

Sumber : CNA/MM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan