Heng Swee Keat dilantik sebagai canselor pertama SIT
Mantan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Heng Swee Keat dilantik sebagai canselor pertama Institut Teknologi Singapura (SIT), menurut universiti itu pada Rabu (3 Jun).
Heng Swee Keat di Majlis Konvokesyen SIT 2014, di mana beliau menghadirkan diri sebagai tetamu kehormat semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pendidikan. (Gambar fail: SIT)
Pelantikan tersebut berkuat kuasa pada Isnin dan akan berkuat kuasa selama lima tahun sehingga 31 Mei 2031.
Sebagai canselor, Encik Heng akan menjadi pemegang jawatan istiadat tertinggi serta duta SIT.
Beliau akan mempengerusikan majlis-majlis utama universiti, termasuk konvokesyen, serta mewakili universiti itu dalam pelbagai acara institusi dan urusan luar yang penting.
Encik Heng juga akan membantu SIT memperkukuh kerjasama serta memajukan keutamaan strategiknya, termasuk pelibatan industri dan kedermawanan.
“Penubuhan jawatan canselor mencerminkan perkembangan berterusan SIT dan komitmennya untuk memajukan misinya dalam melahirkan graduan yang bersedia untuk industri serta memacu inovasi menerusi pembelajaran gunaan, kerjasama industri dan penyelidikan,” menurut SIT.
Encik Heng berkata beliau berbesar hati dilantik sebagai canselor sulung SIT.
“SIT memainkan peranan yang unik dan penting dalam landskap pendidikan tinggi Singapura dengan melengkapkan graduan dengan kemahiran gunaan, pengalaman industri serta keyakinan untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan ekonomi.
“Saya berkongsi keyakinan SIT bahawa penyelidikan gunaan dan kerjasama yang erat dengan industri bukan sekadar pelengkap kepada pendidikan, malah merupakan teras kepada pendidikan itu sendiri,” tambah beliau.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah SIT Bill Chang berkata Encik Heng “dihormati secara meluas atas khidmat cemerlang, kepimpinan berwawasan dan komitmennya yang teguh terhadap pembangunan Singapura”, khususnya dalam bidang pendidikan, inovasi dan transformasi ekonomi.
“Malah, SIT diwartakan sebagai universiti autonomi kelima Singapura semasa Encik Heng memegang jawatan Menteri Pendidikan, bagi menyediakan lebih banyak peluang peningkatan kemahiran yang relevan dengan industri di samping pembelajaran sepanjang hayat,” tambah Encik Chang.
Presiden SIT Profesor Chua Kee Chaing berkata pelantikan canselor pertama universiti itu menandakan “satu bab penting” dalam perjalanannya.
“Encik Heng sejak sekian lama memperjuangkan kepentingan pendidikan yang melengkapkan para pelajar dengan kemahiran mendalam, kebolehan untuk menyesuaikan diri dan daya tahan untuk menghadapi dunia yang berubah dengan pesat - nilai-nilai yang selaras dengan misi dan falsafah pendidikan SIT.
“Selama bertahun-tahun, Encik Heng juga menunjukkan sokongan yang padu terhadap SIT dan laluan pembelajaran gunaan di Singapura menerusi pelibatannya dalam sektor pendidikan tinggi serta usaha memperkukuh transformasi industri dan pembelajaran sepanjang hayat,” tambah beliau.
Encik Heng kini berkhidmat sebagai pengerusi Yayasan Penyelidikan Nasional, anggota lembaga GIC serta anggota jawatankuasa strategi pelaburan GIC.
Sebelum menyertai politik pada 2011, beliau memegang pelbagai jawatan kanan dalam perkhidmatan awam, termasuk sebagai Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Perdagangan ketika itu.
Encik Heng juga pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha sulit kepada Menteri Kanan ketika itu, Lee Kuan Yew.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.