Heng Swee Keat dijangka jadi penolong setiausaha agung pertama PAP, PM seterusnya: Sumber parti
Menteri Kewangan Heng Swee Keat dijangka akan dinamakan sebagai penolong setiausaha agung pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Jumaat (23 Nov), sekaligus membuka laluan untuk beliau menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai pemimpin Singapura seterusnya.
SINGAPURA: Menteri Kewangan Heng Swee Keat dijangka akan dinamakan sebagai penolong setiausaha agung pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Jumaat (23 Nov), sekaligus membuka laluan untuk beliau menggantikan Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebagai pemimpin Singapura seterusnya. Seorang pemimpin kanan parti dan beberapa kader mengesahkan hal tersebut kepada TODAY.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) PAP - badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut yang baru dilantik dijangka bertemu pada Jumaat (25 Nov) bagi memutuskan para penyandang jawatan, namun sumber-sumber parti mengatakan bahawa pilihan bagi jawatan penolong setiausaha agung - iaitu jawatan kedua tertinggi dalam parti - sudah ditentukan. Encik Heng, 57 tahun, dijangka menjadi penolong setiausaha agung pertama, dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, 49, sebagai penolong setiausaha agung kedua.
Penolong setiausaha agung pertama dijangka mengambil alih PM Lee sebagai setiausaha agung PAP dan jawatannya sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum menjelang April 2021.
Menurut seorang pemimpin kanan parti yang mengikuti perkembangan perbincangan di kalangan pemimpin CEC generasi keempat, Encik Heng dipilih kerana jawatankuasa berkenaan berasa beliau "boleh mendapat sokongan masyarakat" dan "memiliki kelebihan". Beliau menambah, sebilangan besar pemimpin 4G sudah memutuskan Encik Heng menjadi pemimpin tertinggi mereka sebelum pemilihan CEC, yang diadakan lebih seminggu lalu pada 11 November.
Pemimpin kanan yang enggan namanya didedahkan itu memberitahu TODAY: "Memandangkan kami sudah memutuskan itu, kami boleh menumpukan perhatian kepada cara-cara mengukuhkan lagi pasukan 4G."
Beliau menambah, PM Lee akan mempengerusikan satu sidang media untuk mengumumkan tentang jawatan-jawatan dalam CEC pada Jumaat (23 Nov).
Dua kader parti, yang sudah berada dalam parti selama lebih 20 tahun, berkata mereka sudah diberitahu tentang pilihan-pilihan CEC. Mereka menambah bahawa maklumat terperinci akan didedahkan kepada para anggota parti pada petang Jumaat.
MENGAPA PAP PILIH HENG SWEE KEAT?
Pada Khamis (22 Nov), akhbar Lianhe Zaobao melaporkan bahawa Encik Heng berkemungkinan besar dilantik sebagai penolong setiausaha agung pertama, berdasarkan "pelbagai petunjuk".
Menurut dua kader, mereka diberitahu Encik Heng dipilih sebagai pengganti PM Lee kerana para pemimpin 4G berasa sikapnya yang "rendah hati" dan "kecemerlangannya" membuat beliau seorang "pemimpin berkesan".
Spekulasi tentang siapa yang akan menggantikan PM Lee meluas sejak tahun lalu. Pada awalnya, tiga calon sering disebut-sebut: Encik Heng, Encik Chan dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung, 49.
Bulan lalu, TODAY melaporkan Encik Ong bukan lagi dalam barisan calon kerana beliau tidak dilihat sebagai seorang pemimpin teras dalam parti tersebut. Encik Ong bukanlah nama yang disarankan oleh CEC terdahulu, untuk dilantik menganggotai badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.
Encik Heng, seorang AP dari GRC Tampines, dan Encik Chan, AP GRC Tanjong Pagar, menceburi bidang politik selepas Pilihan Raya Umum 2011.
LATAR BELAKANG POLITIK HENG SWEE KEAT
Selepas Pilihan Raya Umum tahun itu, Encik Heng - yang sebelum ini pengarah urusan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) - serta-merta dilantik sebagai seorang menteri yang menerajui Kementerian Pendidikan.
Encik Heng, yang berehat dari tugas untuk beberapa bulan selepas mengalami serangan angin ahmar pada Mei 2016, mempengerusikan secara berasama Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan - yang melakarkan strategi-strategi bagi fasa pembangunan Singapura selanjutnya - dan juga memimpin projek Perbincangan Singapura Kita.
Sejak 2015 pula, beliau memimpin Kementerian Kewangan.
LATAR BELAKANG POLITIK CHAN CHUN SING
Encik Chan, seorang mantan panglima tentera, bermula sebagai Menteri Negara bagi Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian ketika itu.
Beliau kemudian menyandang beberapa jawatan lain, termasuk Menteri Kedua Pertahanan, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri di Pejabat Perdana Menteri serta setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan.
Buat masa ini, beliau juga Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, dan Timbalan Pengerusi Persatuan Rakyat.
YANG LEBIH UTAMA: BINA PASUKAN PEMIMPIN KUKUH
Pada pagi Khamis (22 Nov), Encik Chan ditanya tentang pengumuman CEC di sidang anjuran Asia House yang disifatkan sebagai "pusat kepakaran Asia".
Sebagai menjawabnya, beliau menekankan tentang model kesinambungan kepimpinan Singapura, yang "lebih kukuh secara keseluruhan".
Beliau menambah: "Di mana-mana sahaja di dunia, akan ada golongan yang bijak yang mengingini jawatan pemimpin. Tetapi apa yang penting adalah ini: apakah tujuannya, matlamat bagi anda untuk menyandang jawatan itu? Adakah ia untuk diri anda sendiri atau demi kebaikan negara dan rakyat?
"Negara-negara yang maju, adalah mereka yang cukup bertuah, bukan sahaja kerana mempunyai individu-individu yang berpotensi, tetapi pasukan yang kuat. Satu pasukan yang kuat akan mengetepikan kepentingan diri demi aspirasi negara."
Begitu juga dengan Singapura, para pemimpin di negara ini memberi tumpuan kepada "membina pasukan paling kukuh bagi Singapura", tegas beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.