Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng: Pemerintah sedia bekerjasama dengan "sesiapa sahaja" walau pandangan berbeza

 Pihak pemerintah bersedia bekerjasama dengan "sesiapa" yang mempunyai pandangan berlainan untuk mencari cara terbaik untuk memajukan Singapura, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (15 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Jun 2019 08:14PM Dikemas Kini : 16 Jun 2019 12:04AM

SINGAPURA: Pihak pemerintah bersedia bekerjasama dengan "sesiapa" yang mempunyai pandangan berlainan untuk mencari cara terbaik untuk memajukan Singapura, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat pada Sabtu (15 Jun).

"Asalkan anda mempunyai niat baik untuk Singapura dan rakyat Singapura, kami akan bekerjasama dengan sesiapa pun," menurut Encik Heng semasa segmen soal jawab di dialog REACH-CNA.

"Bagaimanapun kami tidak boleh mempunyai matlamat yang pelbagai kerana bersatu padu adalah penting. Bagaimana kami selama ini dapat memajukan Singapura ke hadapan adalah kerana kami mempunyai matlamat yang sama."

Semasa ucapannya di dialog itu, Encik Heng - yang dijangka akan menjadi Perdana Menteri Singapura yang seterusnya - berkata bahawa Pemerintah berhasrat untuk bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk melakarkan dan melaksanakan dasar-dasar dalam sektor-sektor seperti perumahan, mobiliti sosial dan kemampanan sekitaran.

Setelah ucapan itu, para penonton bertanya soalan-soalan kepada Encik Heng berhubung pelbagai isu, termasuk isu inklusif dan ketidaksamarataan sosial.

Menurut Encik Heng, beliau berharap rakyat Singapura bukan saja berkongsi keprihatinan mereka mengenai isu-isu sedemikian, tetapi mengambil tindakan.

PERSOALAN TENTANG SIKAP INKLUSIF

Salah satu topik yang diutarakan oleh beberapa individu semasa sesi soal jawab adalah berhubung isu inklusif, di mana ada di kalangan hadirin yang menyarankan bahawa golongan yang cacat penglihatan patut dipertimbangkan dalam inisiatif-insiatif Negara Bijak (Smart Nation) seperti aplikasi telefon bijak. Golongan kurang upaya juga patut mendapat lebih bantuan dalam mendapat pekerjaan menurut mereka.

Encik Heng berkata bahawa Pemerintah sudah meneliti isu itu dengan rapi dalam sektor-sektor seperti pendidikan, meskipun beliau menekankan bahawa seluruh proses itu memerlukan usaha berterusan.

Berhubung isu memecahkan tabiat berulang kali melakukan kesalahan, Encik Heng menekankan bahawa isu itu sepatutnya dilihat daripada pelbagai perspektif.

"Kami perlu menangani isu ini di beberapa tahap," beliau berkata, sambil menekankan bahawa ada segelintir individu yang menerima bantuan daripada pelbagai pertubuhan tetapi masih hanyut, sekali gus mengakibatkan lingkaran "lebih sukar".

"Ia bukan perkara mudah yang kami laksanakan dan anda akan mendapat hasil serta merta. Lazimnya, kami memerlukan pelibatan ramai untuk menjalankan usaha kami ini. Kami mesti berfikir cara terbaik untuk melakukannya bagi pelbagai kumpulan."

Selain hal ehwal dalam negeri, soalan-soalan ditanya mengenai pertikaian Amerika Syarikat dengan China dan sama ada bijak untuk Singapura kekal neutral.

Menyifatkannya sebagai situasi yang amat sensitif dan rumit, Encik Heng berkata bahawa pengajaran bagi Singapura dan negara-negara lain adalah "nilai global yang ada kini tidak boleh kekal sama." Beliau menambah bahawa ia amat penting bagi Singapura bekerjasama rapat dengan semua pihak dan memahami bahawa sedang dunia berubah, Singapura juga mesti berubah. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan