Heng Chee How usul jawatankuasa tiga pihak tinjau kaedah bantu warga tua kerja lebih lama
Kesatuan sekerja mengusulkan sebuah jawatankuasa tiga pihak dibentuk untuk meninjau bagaimana membantu warga tua bekerja lebih lama.
SINGAPURA: Kesatuan sekerja mengusulkan sebuah jawatankuasa tiga pihak dibentuk untuk meninjau bagaimana membantu warga tua bekerja lebih lama.
Timbalan Setiausaha Agung NTUC Heng Chee How merupakan yang pertama daripada lapan orang Anggota Parliment (AP) buruh yang bangun berucap di perbahasan parlimen hari ini (27 Feb).
Satu daripada setiap empat warga Singapura akan berusia 65 tahun menjelang 2030.
Ini bermakna tenaga kerja tempatan akan berkurangan.
Ia sekali gus akan menjejas hasil pemerintah kerana cukai pendapatan peribadi akan berkurangan dan cukai korporat akan diturunkan.
Encik Heng Chee How berkata bahawa faktor-faktor tersebut bermakna tenaga kerja dan syarikat-syarikat perlu mengimbangi cukai lebih tinggi.
Ini bagi menyokong sumbangan cukai yang berkurangan dari penduduk tua, selepas mereka meninggalkan pekerjaan dan menanggung perbelanjaan kehidupan lebih tinggi ekoran penuaan.
Maka itu, Encik Heng mengusulkan sebuah lagi Jawatankuasa Tiga Pihak dibentuk untuk mempertimbangkan keadaan selepas usia persaraan 62 tahun dan selepas usia pengambilan semula pekerja pada 67 tahun.
Jawatankuasa tersebut akan melihat sama ada had pengambilan semula pekerja pada usia 67 tahun boleh dinaikkan lagi
dan bagaimana pelaksanaan Rancangan Transformasi Industri (ITM) harus termasuk meningkatkan kemahiran pekerja berusia.
Sedang syarikat-syarikat menangani perubahan teknologi, pekerjaan tradisional mungkin akan berubah atau tidak lagi relevan sedang lebih banyak pekerjaan khusus diperkenalkan.
"Saya amat prihatin nasib pekerja-pekerja bergaji rendah yang kebanyakan sudah berumur dan tidak berkemahiran tinggi. Walaupun banyak peluang latihan untuk membantu mereka meningkatkan kemahiran ada disediakan, amatlah penting latihan-latihan inibersesuaian kepada peringkat umur dan daya pembelajaran mereka," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC Zainal Sapari.
Selain pekerja bergaji rendah, paling penting untuk ITM adalah memanfaatkan golongan PMET memandangkan ia membentuk 70 peratus jumlah pekerja yang diberhentikan pada 2016 dan 2017.
Ini memerlukan perubahan minda bagi pihak majikan.
Beberapa AP tenaga kerja menyarankan sebuah jawatankuasa untuk menyemak sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi warga tua serta menjadikan bonus bulan ke-13 atau Gaji Tambahan Tahunan wajib bagi semua pekerja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.