Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Helikopter, askar SAF dikerah dalam latihan antipengganasan di Star Vista

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 08 Feb 2022 09:22AM Dikemas Kini : 08 Feb 2022 08:59PM

SINGAPURA: Kesibukan di pusat membeli-belah popular Star Vista sudah berkurangan, dengan kebanyakan kedai dan pejabat sekitar stesen MRT Buona Vista ditutup untuk hari itu. 

Selain bunyi rintik hujan gerimis malam semalam (7 Feb), suasana di sana hampir sunyi. 

Tiba-tiba, sejurus sebelum pukul 10.00 malam, kedengaran dengungan dari jauh yang salin tak tumpah seperti bunyi helikopter dan ia semakin lama semakin kuat. 

Dua helikopter H255M daripada Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) kemudian muncul menukik di bahagian atas The Star Vista, dari arah utara pulau ini. 

Meski didedahkan pada Disember tahun lalu, ini merupakan kali pertama para wartawan dapat melihat helikopter-helikopter tersebut digunakan bagi latihan pasukan khas.

Helikopter pertama, yang lampunya dimatikan supaya dapat muncul secara senyap-senyap, terbang masuk dan berlegar-legar di atas pusat beli-belah tersebut.

Berlatarbelakangkan langit malam yang gelap, bayangan para askar yang pantas turun dari helikopter menggunakan tali ke atas bangunan 15 tingkat itu sukar dilihat. 

(Gambar: MINDEF)

Setelah kesemua askar berjaya turun, helikopter pertama itu membuat satu belokan tajam dan bertukar tempat dengan helikopter yang kedua. 

Helikopter yang diterangi lampu-lampu merah dan hijau lebih jelas dilihat oleh para wartawan dari tempat mereka menyaksikan semua itu, iaitu di atas bangunan Kementerian Pendidikan (MOE). 

Hampir dua minit berlalu sebelum kedua-dua helikopter selesai menurunkan semua askar dan berlalu pergi, ke arah dari mana ia datang. 

Latihan antipengganasan itu, yang dikendalikan oleh Pasukan Bertindak Operasi Khas Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), bertujuan untuk menguji kesediaan SAF untuk beroperasi dan juga untuk memperkukuh respons mereka terhadap pelbagai ancaman, menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF). 

Tambah MINDEF lagi, senario latihan itu memerlukan pasukan yang dikerahkan untuk memberi respons kepada satu simulasi berlaku tebusan dan meleburkan ancaman-ancaman dalam sekitaran bandar. Para wartawan bagaimanapun tidak dibenarkan untuk menyaksikan latihan yang dijalankan di bahagian dalam Star Vista. 

"SAF akan terus melatih dan mengendalikan latihan-latihan berkala, meskipun dalam keadaan COVID-19 ini, untuk memastikan ia kekal bersedia untuk beroperasi dan melindungi kedaulatan dan keselamatan Singapura," menurut MINDEF. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan