HDB tetapkan sasaran baru tenaga suria; bekalkan kuasa kepada 135,000 flat jelang 2030
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (30 Dis) mengumumkan ia akan memperkukuhkan komitmennya untuk menjana lebih banyak tenaga bersih dengan sasaran baru tenaga suria 540 megawat puncak (MWp) menjelang 2030, melepasi sasaran asalnya sebanyak 220 MWp tahun lalu.
Gambar hiasan panel kuasa suria.
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Isnin (30 Dis) mengumumkan ia akan memperkukuhkan komitmennya untuk menjana lebih banyak tenaga bersih dengan sasaran baru tenaga suria 540 megawat puncak (MWp) menjelang 2030, melepasi sasaran asalnya sebanyak 220 MWp tahun lalu.
Ini adalah sebahagian daripada sasaran baru tenaga suria untuk mencapai sekurang-kurangnya dua gigawat puncak (GWp) menjelang 2030, seperti yang diumumkan pada bulan Oktober oleh Pemerintah. Sasaran negara itu meliputi kira-kira empat peratus daripada jumlah permintaan elektrik Singapura sekarang.
Sasaran baru 540 MWp kemungkinan berpotensi menjana 648 GWh tenaga bersih setiap tahun, yang boleh memberi kuasa tenaga kepada kira-kira 135,000 flat HDB empat-bilik dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 324,000 tan setahun.
Sebagai perbandingan, sasaran asal pada 2020 sebanyak 220 MWp bermakna penjanaan tenaga bersih adalah 265 GWh setiap tahun. Ini boleh membekalkan kuasa tenaga kepada 55,000 flat empat-bilik dan mengurangkan pelepasan sebanyak 132,500 tan setahun.
HDB menyatakan ia dapat meningkatkan usaha tenaga suria memandangkan kemajuan teknologi membolehkan panel suria menghasilkan lebih banyak tenaga suria dari jumlah ruang yang sama di bumbung HDB sekarang berbanding lima tahun yang lalu apabila program SolarNova, yang menggalakkan agensi pemerintah untuk menggunakan kuasa suria, mula-mula diperkenalkan.
Pada Disember 2019, kira-kira 2,060 blok HDB sudahpun dipasangkan dengan panel suria. Lebih 2,500 blok sedang dalam proses dipasangkan panel suria atau akan memulakan pemasangannya tidak lama lagi.
Tenaga suria digunakan untuk lif, lampu dan pam air pada siang hari.
Secara keseluruhannya, 5,500 blok HDB sudahpun dipasangkan atau dikenal pasti bagi pemasangan PV suria, dengan HDB menyasarkan untuk meningkatkan jumlah tersebut kepada 10,000 blok.
TENDER PEMAJAKAN SURIA KELIMA DIKELUARKAN
HDB juga mengeluarkan permohonan bagi tender pemajakan suria kelima di bawah program SolarNova.
Lembaga itu menyatakan tender terkini, yang akan meliputi 1,154 blok HDB dan 46 tapak Pemerintah, akan menjana 60 MWp tenaga suria di seluruh pulau sekali gus mewujudkan lebih banyak tenaga bersih selain membantu mengurangkan pelepasan karbon.
Terdapat enam agensi Pemerintah yang menyertai tender terkini itu. Dua daripadanya - Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia (MCCY) - merupakan peserta tender kali pertama. Agensi-agensi lain adalah Kementerian Pendidikan (MOE), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dan Persatuan Rakyat.
Tender itu kan ditutup pada 2 Mac depan dan dijangka dianugerahkan pada suku ketiga 2020. Pemasangan sistem fotovolta dijangka selesai selewat-lewatnya suku pertama 2023.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.