Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB teroka AI untuk pertingkat keselamatan di tapak binaan

HDB memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja di tapak binaan. Menurut lembaga itu, sistem AI itu akan memberi tumpuan kepada dua senario yang kerap menjadi punca kemalangan di tapak kerja, berdasarkan perangkaan dari MOM.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB teroka AI untuk pertingkat keselamatan di tapak binaan

Gambar fail pembinaan flat HDB (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 15 Sep 2019 04:20PM Dikemas Kini : 15 Sep 2019 04:24PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk meningkatkan tahap keselamatan pekerja di tapak binaan.

Menurut HDB dalam sidang media pada Khamis (12 Sep), sistem AI itu akan memberi tumpuan kepada dua senario yang kerap menjadi punca kemalangan di tapak kerja, berdasarkan perangkaan dari Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Sistem berkenaan akan memantau pekerja yang berada dalam lingkungan jarak semeter dari tempat tanpa penghadang melebihi ketinggian dua meter, serta pekerja yang berjalan di bawah barang berat yang diangkat jentera.

Buat masa ini, tapak-tapak binaan bergantung kepada pemantauan manual oleh penyelia tapak dan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSHO) untuk memastikan piawai keselamatan dipatuhi. Menurut HDB, "usaha tersebut menggunakan banyak sumber" dan memerlukan beberapa WSHO dan penyelia.

Sistem AI itu akan dihubungkan kepada CCTV di tapak kerja dan membantu mengenal pasti zon risiko tinggi serta memantaunya dalam masa sebenar.

Apabila pekerja memasuki zon-zon berisiko tinggi terkenaan, sistem AI tersebut akan menghantar mesej Telegram dan gambar keadaan di tenpat itu kepada penyelia keselamatan bagi tindakan segera.

Beberapa percubaan sudah dijalankan di tapak binaan flat Bina-untuk-Tempahan (BTO) Clementi Peaks sejak September, dan dijangka berakhir menjelang suku keempat 2020.

Jika ujian tersebut membuahkan hasil, HDB menyatakan ia mungkin meluaskan penggunaannya untuk merangkumi bidang-bidang kerja lain untuk meningkatkan keselamatan di tapak kerja. Ini termasuk pengurusan trafik di tapak binaan serta pekerja yang memasuki ruang-ruang terhad tanpa izin.

PENCETAKAN KONKRIT 3D

HDB menyatakan sistem AI juga adalah satu contoh bagaimana ia meningkatkan pelaburan dalam teknologi untuk menemui cara bekerja yang baru dan lebih baik, di tengah-tengah tekanan dan cabaran tenaga manusia dan sumber yang dihadapi sektor binaan.

Satu lagi cara ia memanfaatkan teknologi pencetakan konkrit 3D untuk memperluas keupayaan reka bentuk dan menggalak binaan berdaya tahan.

Tambahnya, sistem itu tidak memerlukan ramai pekerja dan hampir tiada had, lantas boleh mengubah cara rumah direka dan dibina.

Sebagai contoh, cara lama untuk membina komponen kecil bagi ruang satu bilik boleh memakan masa beberapa bulan, namun kaedah cetakan 3D hanya memerlukan 13 jam.

Sebagai permulaan, HDB akan cuba menggunakan pencetakan konkrit 3D bagi komponen kecil bagi ruang yang dikongsi bersama di projek tertentu di Tengah dan Bidadari.

PEMERIKSAAN BANGUNAN GUNAKAN DRON

HDB juga sedang mengkaji penggunaan dron bagi memeriksa bahagian luar flat HDB untuk mengesan sebarang keretakan, konkrit yang merekah dan penghakisan.

Sekarang ini, majlis-majlis bandaran menggunakan cara manual seperti gondola, perancah, lif boom atau tali-tali yang memerlukan para pemeriksa bekerja dari tempat tinggi.

Cara manual tersebut memakan masa beberapa hari untuk memeriksa satu blok HDB, manakala pemeriksaan menggunakan dron boleh diselesaikan dalam tempoh sehari.

Penggunaan dron sudah mula diuji di Yuhua dan Sembawang dari Julai hingga Oktober 2018. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan