Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB terima lebih 1,500 aduan berkaitan kucing setiap tahun

Sepanjang dua tahun lalu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah menerima sekitar 1,500 hingga 1,900 aduan berkaitan kucing setiap tahun. Kebanyakan aduan berkaitan dengan pemilikan haiwan peliharaan secara tidak bertanggungjawab dan keadaan tidak memuaskan seperti apabila kucing membuang air besar di ruang umum.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB terima lebih 1,500 aduan berkaitan kucing setiap tahun

Seekor kucing di dalam kotak kadbod di sebuah tempat letak kenderaan di estet Toa Payoh. (Gambar fail: TODAY)

SINGAPURA: Sepanjang dua tahun lalu, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sudah menerima sekitar 1,500 hingga 1,900 aduan berkaitan kucing setiap tahun. Kebanyakan aduan berkaitan dengan pemilikan haiwan peliharaan secara tidak bertanggungjawab dan keadaan tidak memuaskan seperti apabila kucing membuang air besar di ruang umum.

Berdepan dengan aduan seumpama itu, sesetengah pemilik kucing merasakan sikap "tidak bertanggungjawab" segelintir pemilik kucing ibarat kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Mereka berharap rancangan yang disarankan oleh Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) akan menyebabkan pemilik haiwan ingkar dipertanggungjawabkan dan membantu mengekalkan kedamaian dalam kalangan jiran.

Rangka kerja yang disarankan AVS, dikeluarkan pada 3 September, bertujuan untuk menambah baik pengurusan dan kebajikan kucing. Ia mungkin memerlukan pemilik haiwan mendapatkan lesen dan mikrocip bagi kucing mereka, antara strategi lain.

Ia juga mungkin membenarkan pemilikan kucing di flat-flat HDB.
 
Sejak 1989, kucing dilarang disimpan sebagai haiwan peliharaan di flat HDB. Sesiapa yang didapati memelihara kucing di flat HDB mereka boleh didenda sehingga S$4,000 di bawah peraturan (Haiwan) Perumahan dan Pembangunan.

AVS sedang menjalankan satu maklum balas awam bagi inisiatif yang disarankannya dari sekarang hingga Mac 2023. Dua tinjauan online yang dijalankan selama dua bulan kini disediakan di lamannya sehingga 2 November.

Pencinta kucing dan pejuang kebajikan haiwan memberitahu Mediacorp mereka berharap strategi-strategi tersebut, jika dilaksanakan, akan menghukum pemilik kucing yang cuai sementara membenarkan pemilik kucing yang bertanggunjawab untuk menyimpan haiwan di rumah HDB mereka.

Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, HDB menyatakan ia menerima kira-kira 1,900 aduan berkaitan kucing pada 2020, 1,500 aduan pada 2021 dan 600 aduan seumpama itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini. Ia bagaimanapun tidak mempunyai perangkaan sedemikian untuk tahun-tahun lain.

Kebanyakan kes sudahpun dihuraikan selepas pemilik kucing menyediakan rumah baru untuk kucing mereka, menurut HDB. Bagaimanapun, ia perlu mengambil tindakan terhadap dua isi rumah pada 2020 kerana "pemilik flat sudah berulang kali enggan bekerjasama dan menyediakan rumah lain untuk kucing mereka".

“Dalam menetapkan syarat-syarat pemilikan haiwan, pertimbangan utama HDB adalah untuk memelihara sebuah persekitaran hidup yang menyenangkan dan harmoni di estet-estet HDB serta mengekalkan hubungan bagi sesama jiran.

AVS menambah rangka kerja pengurusan kucing akan "membantu mengurangkan keprihatinan berpotensi mengenai keadaan tidak memuaskan dalam masyarakat" kerana kucing boleh dijejak dan pemilik kucing pula boleh dipertanggungjawabkan ke atas haiwan peliharaan mereka.

BANTU KAWAL POPULASI KUCING

Kumpulan-kumpulan kebajikan haiwan memberitahu Mediacorp strategi yang disarankan itu adalah "langkah ke arah yang betul". Menurutnya, strategi-strategi itu akan membantu pihak mereka mengawal populasi kucing dengan lebih baik sambil mengekang pemilik kucing yang cuai daripada mengabaikan kucing mereka.

“Kami sudah menyaksikan banyak kes kucing diabaikan tahun ini. Hanya dalam tempoh dua minggu lalu, kami mempunyai lebih lima kucing hamil yang memerlukan bantuan," menurut kumpulan kebajikan kucing, Project Luni.

Project Luni bergantung kepada 30 "penjaga" relawan untuk menjaga kucing-kucing sebelum ia dipelihara. Kumpulan tersebut boleh menjaga sehingga 73 kucing pada satu-satu masa tetapi ia tetap terpaksa menolak lima kucing sehari kerana kekurangan ruang.

PRIHATIN TENTANG SINDROM JATUH DARI TEMPAT TINGGI

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Dr Teo Boon Han, Setiausaha Kehormat Persatuan Veterinar Singapura (SVA), berkata persatuan tersebut amat menyokong strategi-strategi yang diusulkan AVS.

Antara tumpuan yang menjadi keprihatinan persatuan itu adalah kelaziman kucing yang jatuh dari tempat tinggi, juga dikenali sebagai sindrom tempat tinggi, sekiranya kucing disimpan di flat HDB secara sah di sisi undang-undang.

Dr Teo tidak mempunyai jumlah khusus kes tersebut, namun berkata sesetengah klinik veterinar menyaksikan kes seumpama itu setiap hari, lantas mencadangkan bahawa ia kerap berlaku.

Beliau menambah para karyawan seharusnya juga membantu dalam program pendidikan dan program pendampingan. Program-program tersebut, kata beliau, seharusnya juga disasarkan kepada khalayak umum untuk menggalak sikap tolak ansur dan empati terhadap haiwan serta alam sekitar.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan