Skip to main content

Singapura

HDB terima 240 aduan kulat berkait penggunaan penghawa dingin jiran pada 2025

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima kira-kira 240 kes maklum balas berhubung masalah pemeluwapan dan kulat pada dinding atau siling yang berpunca daripada penggunaan penghawa dingin oleh jiran tetangga sepanjang 2025, kata Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling di parlimen pada Rabu (14 Jan).
Anggaran Waktu Membaca:
HDB terima 240 aduan kulat berkait penggunaan penghawa dingin jiran pada 2025
Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, Sun Xueling. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 14 Jan 2026 03:13PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menerima kira-kira 240 kes maklum balas berhubung masalah pemeluwapan dan kulat pada dinding atau siling yang berpunca daripada penggunaan penghawa dingin oleh jiran tetangga sepanjang 2025, kata Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara Sun Xueling di parlimen pada Rabu (14 Jan).

Apabila menerima maklum balas sedemikian, HDB akan menjalankan pemeriksaan bagi menentukan punca pemeluwapan dan kulat itu, serta memberikan nasihat yang bersesuaian kepada para pemilik flat dan jiran yang terlibat, kata beliau.

Ini termasuk mengesyorkan agar para pemilik flat memastikan bilik sentiasa mempunyai pengudaraan yang baik dan mempertimbangkan penggunaan cat tahan kulat, tambah beliau.

Cik Sun menjawab soalan Anggota Parlimen Jessica Tan (PAP-East Coast) mengenai jumlah keseluruhan kes sedemikian, serta sama ada HDB akan mempertimbangkan untuk mewajibkan para pemilik flat melaksanakan penambahbaikan pada dinding atau siling sebagai sebahagian daripada tanggungjawab penyenggaraan bagi tujuan pencegahan.

Dalam soalan tambahannya, Cik Tan berkata beliau melihat trend peningkatan rayuan berkaitan kulat yang berpunca daripada penggunaan penghawa dingin secara berterusan.

“Dan cabaran bagi penduduk ialah mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia datang dari unit jiran,” kata beliau, sambil menambah bahawa kulat tersebut menimbulkan masalah kesihatan bagi ramai penduduk.

Cik Tan bertanya apakah langkah yang boleh diambil untuk memastikan kebertanggungjawaban atau perkongsian kos dalam pertikaian sedemikian, serta sama ada garis panduan akan diperkenalkan bagi memperjelas tanggungjawab para pemilik flat yang terjejas.

Sebagai maklum balas, Cik Sun berkata HDB boleh mempertimbangkan untuk memberikan nasihat kepada jiran tetangga berhubung penggunaan penghawa dingin yang betul, seperti tempoh penggunaan atau tetapan suhu.

Bagi cadangan Cik Tan berhubung penambahbaikan dinding dan siling, HDB perlu meneliti sama ada penambahbaikan tersebut benar-benar berkesan, serta sama ada ia boleh ditetapkan sebagai keperluan, kata Cik Sun.

Beliau menambah bahawa kementerian perlu meneliti butiran setiap kes bagi menentukan bagaimana pampasan boleh dikongsi dengan sebaiknya antara dua pihak.

Pada 2024, Mediacorp melaporkan bahawa sebilangan pemilik rumah di Tengah berdepan masalah sistem penyejukan berpusat yang rosak di kediaman mereka, sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding akibat pemeluwapan.

HDB menerima secara purata 715 kes maklum balas setiap tahun berkaitan pemeluwapan akibat penghawa dingin antara 2018 hingga 2022, menurut Menteri Pembangunan Negara ketika itu, Desmond Lee, dalam jawapan bertulis parlimen pada Januari 2024.

“Ia tidak wajar bagi HDB untuk mengawal penggunaan penghawa dingin oleh pemilik rumah. Sebaliknya, HDB memainkan peranan sebagai penasihat dan akan menggalakkan pihak-pihak terlibat untuk mengamalkan sikap saling menghormati dan semangat berjiran,” kata beliau.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita