Skip to main content

Singapura

HDB siasat flat BTO dijual selepas bertahun-tahun dibiarkan kosong

Anggaran Waktu Membaca:
HDB siasat flat BTO dijual selepas bertahun-tahun dibiarkan kosong

(Gambar: CNA/Cheryl Lin)

Diterbitkan : 22 Dec 2022 10:40PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang menyiasat kes-kes flat Bina Ikut Tempahan (BTO) yang dijual selepas dibiarkan kosong selama bertahun-tahun.

Antara 2017 hingga November tahun lalu, HDB mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 53 kes di mana pemilik flat tidak mendiami flat mereka semasa Tempoh Penginapan Minimum (MOP), menurut HDB pada Khamis (22 Dis).

Daripada jumlah itu, 21 kes melibatkan HDB mengambil semula flat-flat berkenaan, dengan selebihnya disaman atau diberikan amaran.

Semasa menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan pihaknya sedia maklum tentang penyenaraian flat BTO “kosong” dijual di pasaran terbuka.

"Ini termasuk kes-kes yang disebut dalam laporan media baru-baru ini, dengan sesetengah kes sedang disiasat semasa laporan media itu diterbitkan," menurut HDB.

Laporan-laporan yang dikeluarkan minggu ini menunjukkan sebuah flat BTO di Yishun dijual selepas dibiarkan kosong selama lapan tahun.

Terdapat juga laporan mengenai flat-flat BTO lain yang kelihatan seolah-olah tidak pernah didiami, dijual di portal-portal hartanah.

Menurut syarat-syarat peraturan MOP, para pemilik dikehendaki menetap di flat BTO mereka sebelum dibenarkan untuk menjual flat berkenaan di pasaran terbuka.

Menurut HDB, ia menjalankan sekitar 500 pemeriksaan setiap bulan untuk mengesan sebarang pelanggaran pada peraturan perumahan, seperti menyewakan flat secara haram.

Sekiranya HDB menerima maklum balas mengenai kes-kes yang disyaki melanggar peraturan seperti flat yang disenaraikan untuk dijual tanpa didiami oleh pemiliknya, siasatan akan dijalankan.

Pada Isnin (19 Dis), Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata beliau ditanya sama ada sesebuah keluarga boleh membeli flat BTO dan tidak menetap di flat itu selama lima tahun sebelum menjualnya "seperti flat baru" di pasaran jualan semula.

"Jawapannya tidak dibenarkan. Flat BTO harus didiami pemilik sepanjang tempoh penuh MOP. Jika pemilik tidak dapat memenuhi syarat-syarat MOP, maka flat itu perlu dikembalikan kepada HDB," tulis Encik Lee dalam hantaran Facebooknya.

APAKAH HUKUMANNYA?

Jika siasatan mendapati bahawa flat berkenaan tidak didiami pemilik semasa tempoh MOP, HDB boleh "mengambil semula" flat itu dan mengenakan denda sehingga S$50,000 atau mengeluarkan amaran bertulis.

Di bawah Akta Perumahan dan Pembangunan, pemilik flat yang flat mereka diperolehi semula oleh HDB akan dihalang daripada membeli flat bersubsidi.

Ini bermakna mereka tidak boleh membeli flat daripada HDB atau membeli flat jualan semula dengan Geran Perumahan CPF.

Mereka juga tidak dibenarkan untuk mengambil alih flat dengan menukar hak milik flat tersebut dan tidak boleh menyewa flat awam dari HDB.

Individu sedemikian juga tidak boleh disenaraikan sebagai penghuni dalam permohonan flat tersebut.

Sebagai sebahagian daripada proses jualan semula, pemeriksaan flat akan dijalankan apabila pemilik menyerahkan permohonan penjualan semula kepada HDB.

Jika terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa flat itu tidak didiami, HDB akan menangguhkan permohonan jualan semula dan melancarkan siasatan untuk memeriksa sama ada pemilik flat itu gagal memenuhi syarat-syarat MOP, menurut HDB.

Siasatan yang dijalankan akan merangkumi pemeriksaan fizikal flat, semakan bukti sokongan lain atau rekod yang menunjukkan flat itu sudah didiami serta temu bual bersama pemilik, ejen hartanah, pembeli dan jiran tetangga jika perlu.

JUALAN SEMASA TEMPOH MOP PERLU DILULUSKAN

Berdasarkan kes demi kes, HDB boleh memberikan kelulusan kepada keluarga yang flat mereka belum lagi memenuhi MOP untuk menjual flat tersebut.

HDB akan mengambil kira keadaan dan kedudukan pemilik flat dan keluarga mereka serta sebab di sebalik pengecualian sedemikian termasuk kesulitan kewangan, penceraian, ataupun apabila pemilik ataupun para pemilik flat meninggal dunia.

"Flat HDB adalah untuk memenuhi keperluan perumahan rakyat Singapura dan secara dasarnya bertujuan untuk didiami oleh pemiliknya," jelas HDB.

HDB menambah bahawa agensi hartanah berlesen diwajibkan memastikan semua iklan yang dipaparkan oleh ejen-ejen mereka adalah tepat dan benar.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita