HDB, SCDF 'tumpang sekaki' dengan komen lucu terhadap 'kari S'pura' New York Times
(Gambar: HDB/Facebook, SCDF/Facebook)
SINGAPURA: Agensi-agensi perkhidmatan awam di Singapura 'tumpang sekaki' kontroversi yang dicetuskan oleh video New York Times yang tular baru-baru ini.
Video kari ayam 'cair' yang dilabel sebagai versi 'kari orang Singapura' itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga siber.
Ini kerana lauk kari yang disajikan itu ibarat jauh panggang dari api.
Sepanjang minggu lalu, para pengguna media sosial meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap Instagram Reel yang dimuat naik oleh pengguna @nytcooking, yang menunjukkan wartawan warga Amerika Syarikat, Clarissa Wei memasak kari, yang disifatkan oleh seorang pengguna kelihatan seolah-olah seperti "air longkang".
Seorang lagi netizen malah mencipta nama baru bagi hidangan itu, "poulet de longkang" atau "ayam longkang".
Ramai juga yang membalas dengan komen-komen yang sinonim dengan respons warga Singapura, iaitu mengancam untuk membuat aduan kepada pihak polis.
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) misalnya, memuat naik ciapan ke laman media sosial masing-masing pada Sabtu (5 Feb) untuk 'tumpang sekaki' dalam kontroversi tersebut.
Kedua-dua agensi tersebut memuat naik 'pengumuman perkhidmatan awam' ke laman Facebook masing-masing, lengkap dengan ilustrasi yang memaparkan hidangan kontroversial itu.
"Sekalipun kari ayam itu tidak sedap, takkan anda tergamak untuk membuangnya di singki," tulis HDB dalam catatannya, sambil memberi amaran bahawa gris dan minyak boleh menyebabkan paip tersumbat dan sepatutnya dibuang ke dalam tong sampah. Turut mencuit hati, HDB juga menyelitkan gambar daun pandan pada ilustrasinya, yang menjadi titik pertikaian dalam kontroversi tersebut.
SCDF juga memberi amaran kepada para pemilik rumah supaya jangan meninggalkan masakan mereka terbiar begitu saja jika tidak mahu masakan tersebut benar-benar kelihatan seperti "air longkang".
Para pengguna media sosial turut terhibur dengan catatan-catatan tersebut, dengan seorang daripada mereka berkata: "Sekalipun ramai yang menghubungi pihak polis selepas menyaksikan 'Kari Ayam Singapura', tetapi SCDF yang datang untuk menyelamatkan keadaan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.