Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB rintis model penginapan bujang dengan kemudahan asrama

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2023 02:35PM Dikemas Kini : 13 Mar 2023 11:02PM
SINGAPURA: Golongan bujang berpendapatan rendah boleh memilih untuk tinggal dalam sebuah bilik di bawah aturan serupa dengan asrama, daripada menyewa flat dengan seorang penyewa lain, di bawah model baru yang dirintiskan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Bilik-bilik sewa itu ditempatkan di bekas asrama Maktab Rendah Anderson, yang dibangunkan secara berpetak-petak untuk menyediakan 490 bilik bujang.

HDB menyasarkan untuk melancarkan permohonan bagi bilik tersebut menjelang hujung tahun ini apabila blok setinggi 11 tingkat itu siap kelak.

Semasa lawatan media pada Isnin (13 Mac), wartawan berpeluang meninjau-ninjau contoh bilik sedemikian yang berukuran sekitar 9 meter persegi. Bilik itu dilengkapi dengan perabot asas termasuk katil, almari, meja, kerusi dan peti sejuk kecil.

Bilik air dan kemudahan dapur akan dikongsi sesama penyewa, dengan 12 orang bagi setiap tandas manakala 24 individu boleh menggunakan sebuah dapur bersama. Bilik dobi dan bilik kegiatan juga disediakan buat penyewa bujang.

Pengendali akan dilantik untuk menguruskan tempat tersebut, sebagaimana ia dilakukan bagi model Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang yang Dikendali Operator (JSS-OR), yang juga sedang dirintiskan.

Buat masa ini, orang bujang yang memerlukan flat sewa awam boleh memohon dengan seorang lagi pemohon atau mereka akan dipadankan dengan seorang pemohon bujang yang lain.

Langkah itu demi memaksimumkan penggunaan ruang bagi menyokong seramai individu rentan yang boleh. Ini di samping menggalak penyewa untuk menunjukkan sedikit sokongan dan menghulurkan jagaan bersama, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee kepada para wartawan hari ini.

Bagaimanapun, terdapat kes di mana penyewa flat sewa menghadapi kesukaran untuk tinggal sebumbung dan oleh itu, Skim Berkongsi Flat Sewa Awam untuk Orang Bujang diubah sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

JSS-OR melibatkan sebuah agensi khidmat sosial untuk memadankan pemohon bujang dan menyediakan pengantaraan sekiranya berlaku pertelingkahan. Ini di samping menghulurkan sokongan khidmat sosial jika perlu.

Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengumumkan semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) bahawa ia akan memperluaskan JSS-OR ke tiga kawasan baru pada tahun ini, menambah kepada tiga tempat yang beroperasi sekarang.

Skim Bilik Orang Bujang dengan Kemudahan Dikongsi yang diumumkan pada Isnin akan membolehkan penyewa mempunyai bilik mereka sendiri sambil berkongsi kemudahan seperti bilik air, dapur dan ruang bersama lain.
Ruang dapur yang boleh dikongsi 24 penyewa di bawah Skim Bilik Orang Bujang dengan Kemudahan Dikongsi. (Gambar: Chew Hui Min/CNA)
Bagi mempercepatkan skim perintis itu dan mengurangkan pembaziran sumber, HDB menukar bekas asrama pelajar yang mempunyai susun atur yang sesuai dan memerlukan kurang susunan semula, tambah MND.

"Dengan sebuah agensi khidmat sosial merintiskan skim ini, ia menyediakan bukan sahaja prasarana fizikal dan ruang yang mudah tetapi lebih penting lagi, ia juga menyediakan sokongan sosial yang diperlukan bagi para penghuni," kata Encik Lee.

Beliau menambah skim perintis itu akan dijalankan selama sekitar satu hingga dua tahun sebelum MND memutuskan sama ada untuk menyertakannya sebagai antara tawaran di bawah skim perumahan sewanya.

Dr Harry Tan, zamil penyelidik di Insitut Pengajian Dasar (IPS), yang pernah menjalankan kajian berhubung hidup gelandangan, ketidaksamarataan sosial dan ketidakjaminan perumahan, berkata bahawa maklum balas yang diterima oleh penyewa adalah mereka mahu mempunyai bilik mereka sendiri.

Maka itu, kata Dr Tan, aturan baru sedemikian akan membolehkan penyewa memiliki bilik mereka sendiri sambil berkongsi persekitaran seperti di sebuah dormitori.

Pihak berkuasa menyatakan ia masih sedang menentukan kadar sewa bagi bilik-bilik seumpama itu. Buat masa ini, sewa bagi flat sewa awam satu bilik antara S$26 hingga S$205, bergantung kepada tahap pendapatan individu serta kriteria kelayakan lain.

Laman HDB menyatakan kebanyakan pemohon mempunyai pendapatan isi rumah bawah S$1,500 tetapi mereka yang mencatatkan pendapatan lebih tinggi masih boleh memohon untuk dinilai kelayakan mereka.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan