Skip to main content

Singapura

HDB rintis konsep terbuka tanpa dinding antara ruang tamu dan bilik tidur flat

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 May 2024 03:48PM Dikemas Kini : 27 May 2024 10:06PM
SINGAPURA: Bayangkan sebuah flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dengan reka bentuk tanpa dinding yang mengasingkan ruang tamu dengan bilik tidur.

Konsep terbuka itu merupakan reka bentuk baharu, yang akan ditawarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sebagai sebahagian daripada satu percubaan, bermula dengan projek BTO di kawasan Kallang-Whampoa yang bakal dilancarkan pada Oktober nanti.

Projek tersebut akan mempunyai 310 unit flat tiga bilik dan empat bilik. Pembeli diberi pilihan reka bentuk baharu dengan konsep terbuka apabila dipelawa menempah flat mereka.

Dipanggil 'White Flat', ia bertujuan memberi pemilik rumah kelonggaran untuk melakarkan reka bentuk flat mereka.

Flat sedemikian tidak akan mempunyai dinding yang mengasingkan ruang tamu dan bilik tidur, sekali gus menawarkan pembeli "kanvas" untuk mereka bentuk flat mengikut keperluan dan keinginan mereka, kata HDB pada Isnin (27 Mei), selepas inisiatif tersebut diumumkan oleh Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee di sebuah seminar pra-universiti.

"Pemilik rumah yang muda lebih cenderung pada konsep terbuka atau mereka bentuk ruang dalam rumah mereka," tambah HDB.

"Projek rintis White Flat itu akan memberi pemilik rumah pilihan unruk memasang dinding bagi memenuhi keperluan mereka pada fasa kehidupan yang berbeza."
Gambar: HDB
HDB menyatakan langkah untuk tidak memasang dinding dalam flat akan "diambil kira dalam menentukan harga White Flats", yang belum lagi dimuktamadkan.

Mereka yang tidak memilih reka bentuk 'White Flat' akan menerima flat standard dengan dinding dipasang.

Sejak 2018, HDB menawarkan konsep dapur terbuka bagi semua flat BTO di bawah Skim Komponen Pilihan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita