Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB perkenal panduan reka bentuk bandar; pupuk semangat kekitaan

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (4 Sep) mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan 24 "panduan reka bentuk" secara bertahap-tahap dalam tempoh lima tahun akan datang bagi setiap bandar, bermula dengan Woodlands di bahagian utara Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB perkenal panduan reka bentuk bandar; pupuk semangat kekitaan

(Gambar: HDB)

Diterbitkan : 04 Sep 2018 12:43PM Dikemas Kini : 04 Sep 2018 12:49PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (4 Sep) mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan 24 "panduan reka bentuk" secara bertahap-tahap dalam tempoh lima tahun akan datang bagi setiap bandar, bermula dengan Woodlands di bahagian utara Singapura.

Setiap panduan merupakan dokumen yang menyeluruh dan unik, yang dibahagikan kepada tiga peringkat - iaitu bandar, kawasan kejiranan dan daerah. Panduan itu akan menyediakan titik rujukan yang dikongsi bersama oleh pelbagai agensi, majlis bandaran dan perunding reka bentuk sedang pihak-pihak tersebut berusaha untuk melaksanakan pembangunan baru dan menjalankan projek-projek peningkatan bagi memberi nafas baru kepada sesebuah bandar, menurut HDB dalam kenyataan medianya.

"Dengan pelbagai agensi dan majlis bandaran sering menjalankan kerja-kerja peningkatan dan pembaikan bandar, adalah penting untuk melaraskan usaha pelbagai agensi dan memastikan agar terdapat reka bentuk dan identiti bandar yang ada kesinambungan," kata Ketua Pegawai Eksekutif HDB, Cheong Koon Hean.

"Dengan ini, kami akan terus memperkukuhkan identiti setiap bandar, memulihara ciri uniknya, dan memperkukuhkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk."

HDB menyatakan Woodlands dipilih sebagai bandar pertama untuk menggambarkan bagaimana panduan reka bentuk itu boleh diterapkan dalam sesebuah bandar sedia ada yang sedang menjalani kerja-kerja pembaharuan.

"Nama (Woodlands) berasal daripada banyak pokok Keranji di tepi pantai, yang jika dilihat dari Johor, memberi gambaran seolah-olah Woodlands sebuah kawasan hutan," menurut HDB. "Ketika perancangan bagi Woodlands dimulakan pada 1966, tema 'hutan' dipilih untuk bandar itu bagi mencerminkan sejarah dan rupa bumi yang beralun-alun."

Sebagai contoh bagaimana identiti sejarah sesebuah bandar akan dipulihara semasa fasa perancangan, HDB menarik perhatian kepada Galeri WoodsVista, sebuah laluan masyarakat sepanjang 1.9 kilometer yang "dibangunkan di tengah-tengah kawasan hijau, sambil membolehkan para penduduk berjalan kaki, berlari-lari anak atau berbasikal dari stesen MRT Woodlands ke Woodlands Waterfront."

"Sedang reka bentuk kawasan perumahan awam bertukar wajah, lebih banyak tumpuan akan diberikan kepada usaha menerapkan watak dan identiti kepada bandar-bandar," menurut HDB.

"Memperkenalkan panduan reka bentuk bandar bagi setiap bandar merupakan peristiwa penting dalam perjalanan kami membangunkan bandar-bandar yang direka dengan baik, mampan dan mengutamakan masyarakat.

"Memandang ke hadapan, HDB akan terus meneroka konsep perancangan dan idea reka bentuk yang baru bagi mewujudkan bandar-bandar dengan identiti yang kukuh. Ini bagi memupuk semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Singapura." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan