Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB perkenal flat Plus baharu di bawah perubahan klasifikasi perumahan awam

Anggaran Waktu Membaca:
HDB perkenal flat Plus baharu di bawah perubahan klasifikasi perumahan awam

(Gambar fail: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di "lokasi pilihan" lebih menarik di setiap daerah akan disenaraikan di bawah satu kategori Plus baharu, yang menetapkan syarat-syarat penjualan lebih ketat, selain memperuntukkan lebih banyak subsidi.

Ia sebahagian daripada satu sistem klasifikasi baharu HDB di mana estet perumahan tidak akan lagi disenaraikan sebagai 'matang' atau 'belum matang'.

Bermula separuh kedua 2024, projek-projek Bina Ikut Tempahan (BTO) akan diklasifikasikan sebagai Standard, Plus atau Perdana, dengan syarat-syarat penjualan semula ditetapkan bagi setiap jenis perumahan.

Pemilik flat sedia ada mahupun flat yang sudah ditempah tidak akan tertakluk kepada pengumuman baharu itu.

Perubahan besar tersebut adalah salah satu pengumuman dibuat Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (20 Ogos). Syarat untuk golongan bujang membeli flat HDB turut dilonggarkan.

Dengan tidak banyak lagi tanah untuk membangunkan bandar dan estet baharu, HDB akan membina lebih banyak flat di dalam kawasan atau berhampiran estet-estet sedia ada, kata PM Lee.

Estet sedia ada yang dimaksudkan lazimnya terletak di sekitar kawasan tengah, seperti projek BTO di Mount Pleasant yang menawarkan 5,000 unit flat dan dibina di bekas tapak Akademi Polis.

Projek-projek baharu sebegini - di kawasan lama yang sudahpun dilengkapi pelbagai kemudahan - akan menjadi lebih popular, dan secara semula jadi lebih mahal, katanya.

Sebab kedua sistem klasifikasi baharu diperkenalkan adalah perbezaan antara estet matang dan belum matang yang kian pudar. Sebilangan projek di kawasan belum matang dikatakan lebih popular berbanding pelancaran di estet matang.

"Ini menunjukkan pembeli lebih teliti dalam pemilihan masing-masing - mereka tahu apa yang menguntungkan, perkara-perkara yang diinginkan daripada projek (perumahan), dan bukan melihat kalau rumah itu di kawasan matang atau belum matang," kata PM Lee.

FLAT BAHARU PLUS

Flat baharu Plus akan ditawarkan di "lokasi pilihan lebih menarik" dalam setiap kawasan, seperti berdekatan stesen MRT dan pusat bandar. Satu contoh adalah projek Bayshore dekat Taman East Coast yang akan datang. Ia terletak dekat dengan dua stesen MRT, sebuah pusat beli-belah yang akan dibina dan Kelab Masyarakat Siglap.

Tempoh penginapan minimum bagi projek itu adalah 10 tahun dan pemilik flat Plus perlu memulangkan sebahagian harga jualan semula kepada HDB, yang meliputi subsidi tambahan yang diterima semasa pembelian, sekiranya mereka memilih untuk menjual flat tersebut.

Tempoh penginapan minimum lebih panjang ini akan lebih memihak kepada pembeli yang mahu tinggal lebih lama di sana, dan bukan penduduk yang suka berpindah-randah setiap kali mereka ada peluang untuk berbuat demikian.

"Ini akan membantu mengurangkan keuntungan yang diraih (daripada penjualan flat) dan memastikan (sistem) adil buat pemilik flat yang tidak menikmati subsidi tambahan," menurut MND dan HDB.

PM Lee berkata projek seperti Central Weave di Ang Mo Kio turut menimbulkan dilema buat HDB. Projek BTO itu mencuri perhatian ramai kerana harganya setinggi S$713,000 hingga S$877,000 (sebelum geran) bagi flat lima-bilik dan flat 3-Generasi.

Harga penjualan flat itu sudahpun menikmati diskaun yang tinggi dan lebih rendah daripada nilai pasaran sebenar, kata PM Lee. Di sebalik harganya yang tinggi, permohonan yang diterima melebihi jumlah unit yang ditawarkan - terdapat lebih 17 pemohon bagi setiap flat.

"Sekiranya kami menetapkan harga lebih tinggi, kita dapat mengurangkan keuntungan yang boleh diraih daripada penjualan flat. Ini akan mengawal permintaan... tetapi mereka yang benar-benar ingin membelinya akan terjejas - flat-flat ini akan menjadi begitu mahal sehingga ia tidak mampu dibeli kebanyakan keluarga," terang PM Lee.

Di samping itu, estet berkenaan akan menjadi "kawasan penduduk berpendapatan lebih tinggi" kalau hanya mereka dengan pendapatan hampir S$14,000 (iaitu had pendapatan yang ditetapkan) mampu membelinya.
Ini sebabnya HDB memperkenalkan kategori Plus dengan syarat penjualan lebih ketat yang akan membantu mengawal harga jualan, kata PM Lee. Seandainya Central Weave dijual sebagai projek Plus, harganya pasti lebih rendah, tambah beliau.

Syarat untuk menjual flat Plus juga lebih ketat. Sebagai contoh, had pendapatan akan ditetapkan bagi para pembeli flat jualan semula. Butiran lanjut tentang perkara ini bagaimanapun belum diumumkan.

Pulangan atau keuntungan menjual flat Plus juga dijangka lebih rendah berbanding flat Perdana kerana subsidi tambahan untuk projek seperti itu biasanya lebih rendah.

Subsidi dan syarat bagi flat Standard akan dikekalkan, sama seperti yang ditetapkan bagi pembelian flat BTO sekarang. Ini bermakna tidak ada sebarang perubahan subsidi sementara tempoh penginapan minimum pula masih lima tahun. MND dan HDB menyatakan flat-flat sedemikian akan terus membentuk sebahagian besar bekalan rumah di sini.

Flat di bawah projek BTO Perdana, yang terletak di kawasan tengah, akan mempunyai syarat-syarat sama seperti flat yang ditawarkan di bawah skim Perumahan Lokasi Perdana, yang diperkenalkan pada November 2021.

Syarat-syarat tersebut termasuk tempoh penginapan minimum 10 tahun dan pemilik pertama perlu membayar balik sebahagian subsidi semasa menjual flat.

Mereka juga hanya boleh menjual flat kepada pembeli yang memenuhi syarat-syarat kelayakan BTO, termasuk had pendapatan S$14,000 bagi pasangan serta berkeluarga, dan S$7,000 bagi golongan bujang.
Syarat-syarat penjualan semula ini akan mengawal harga penjualan semula dan membantu mengekalkan campuran sosial lebih baik buat jangka panjang, kata PM Lee.

MND menjelaskan bahawa perubahan-perubahan ini hasil maklum balas daripada rakyat menerusi wacana Melakar Hala Tuju Singapura. Ramai menurutnya mahukan situasi di mana seseorang membeli rumah sebagai satu keperluan, dan bukan untuk pelaburan.

Satu lagi perubahan adalah golongan bujang boleh membuat permohonan bagi flat Fleksi 2-Bilik BTO di semua lokasi. Sebelumnya mereka hanya boleh berbuat demikian bagi flat yang ditawarkan di kawasan belum matang.

Dalam pasaran jualan semula pula, mereka boleh membeli flat Standard atau Plus - tidak kira saiznya - dan flat Perdana dua-bilik. Buat masa ini, golongan bujang tidak boleh membeli flat jualan semula di kawasan Perdana.

Perubahan besar dalam sistem klasifikasi BTO, akan menjejas peruntukan flat tetapi butirannya belum diumumkan.

Kementerian menyatakan pihaknya akan terus mengumpul maklum balas daripada rakyat Singapura dalam beberapa bulan akan datang.

MND dan HDB menambah, ia akan mengambil masa 10 tahun sebelum flat Plus ditawarkan dalam pasaran jualan semula. Dua kementerian itu akan turut memantau kesan langkah-langkah dalam pasaran jualan semula dan menyemaknya, jika perlu.

PM Lee juga memberi jaminan akan memastikan harga flat HDB akan kekal dalam kemampuan ramai dan berkata Pemerintah akan menawarkan lebih banyak geran perumahan secara beransur-ansur, terutama sekali geran yang mempunyai kriteria kelayakan, seperti Geran Perumahan yang Dipertingkat.

"Dengan cara ini, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana akan mendapat sokongan terbaik untuk memiliki rumah... akan sentiasa ada flat HDB mengikut kemampuan penduduk dan kami boleh memastikan gabungan sosial yang baik di setiap bandar dan daerah," kata beliau.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan