HDB perhalusi proses beli rumah; pengagihan geran, penilaian pendapatan diselaras
(Gambar fail: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Mulai Selasa (9 Mei), pendapatan mereka yang ingin membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan dinilai dalam tempoh 12 bulan dan bukan tiga atau enam bulan.
Semasa mengumumkan perubahan itu pada Isnin malam (8 Mei), HDB turut mendedahkan, ia akan mengubah pengagihan geran mulai Selasa.
Geran perumahan layak akan dikongsi antara pemohon dan penghuni seisi rumah, tidak kira sama ada mereka merupakan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap (PR).
Sebelum ini, geran perumahan hanya diagihkan kepada pemohon flat rakyat Singapura.
HDB memperkenalkan surat baru Kelayakan Flat HDB (HFE) pada Selasa, yang bertujuan untuk meringkaskan proses pembelian rumah.
Diumumkan bulan lalu, surat HFE akan menggantikan surat Kelayakan Pinjaman HDB (HLE) yang sedia ada.
Surat HFE akan memaklumkan dengan jelas kepada pembeli flat mengenai kelayakan mereka bagi pembelian flat baru atau jualan semula, geran perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), pinjaman perumahan HDB, termasuk jumlah pinjaman dan geran.
Maklumat peribadi pembeli akan diperolehi daripada Myinfo atau penilaian kelayakan, mengurangkan jumlah dokumen yang perlu diserahkan kepada HDB.
"Untuk memudahkan proses itu, HDB akan memperhalusi garis panduan penilaian pendapatan, termasuk tempoh penilaian pendapatan.
"HDB juga akan menyelaraskan kaedah ia menilai kelayakan isi rumah untuk subsidi perumahan agar lebih konsisten," menurut HDB.
PENILAIAN PENDAPATAN
Dengan mengubah tempoh penilaian pendapatan kepada 12 bulan, ia akan memberi gambaran lebih jelas mengenai tahap pendapatan pemohon.
Ini terutama sekali bagi mereka yang mempunyai pendapatan tidak menentu dari bulan ke bulan.
Perubahan lain termasuk tarikh akhir tempoh penilaian pendapatan dan komponen pendapatan yang dipertimbangkan.
Garis panduan yang dikemas kini akan diguna pakai untuk skim-skim lain di mana relevan, seperti pembelian unit kondominium eksekutif daripada pemaju hartanah, Skim Beli Balik Pajakan (LBS) dan Bonus Perumahan untuk Warga Emas (SHB).
GERAN PERUMAHAN
HDB turut menyelaraskan penilaian kelayakan bagi subsidi perumahan.
Sebelum ini, kelayakan isi rumah secara lazimnya dinilai berdasarkan semua pemohon dan penghuni.
Dengan surat HFE, ia kini berdasarkan nukleus utama keluarga yang berdasarkan pemohon dan penghuni utama.
Mereka merupakan pemohon dan penghuni yang memenuhi syarat kelayakan untuk membeli flat.
Mulai Selesa, geran perumahan akan dikongsikan antara pemohon dengan penghuni dalam nukleus utama, tidak kira sama ada mereka merupakan rakyat Singapura atau PR.
Geran perumahan sebelum ini hanya diagihkan kepada pemohon flat rakyat Singapura.
"Ini merupakan pendekatan lebih adil kerana penghuni utama rakyat Singapura atau PR akan dianggap sebagai pembeli kali kedua setelah menerima geran perumahan, serupa dengan pemohon utama rakyat Singapura," menurut HDB.
"Bagi kebanyakan isi rumah, tiada perubahan bagi jumlah geran yang diberikan secara keseluruhan kerana kelayakan geran perumahan mereka akan terus dinilai berdasarkan isi rumah itu sendiri," menurut HDB.
Lembaga itu menyatakan, ia juga akan mengambil kira kelayakan nukleus utama untuk syarat-syarat lain, termasuk tempoh bekerja berterusan bagi Geran Perumahan CPF Dipertingkat.
Pemohon kali kedua dalam nukleus utama keluarga dikehendaki membayar cukai jualan semula sebelum mengambil kunci flat kedua mereka yang bersubsidi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.