HDB pantau situasi rantaian bekalan; projek BTO terus ditangguh 6-12 bulan
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan ia akan memantau situasi rantaian bekalan di tengah-tengah "ketidaktentuan geopolitik global yang sedang berterusan" dan perkembangan COVID-19 di China, sedang kebanyakan projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) terus ditangguh antara enam hingga 12 bulan.
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan ia akan memantau situasi rantaian bekalan di tengah-tengah "ketidaktentuan geopolitik global yang sedang berterusan" dan perkembangan COVID-19 di China, sedang kebanyakan projek Bina-Ikut-Tempahan (BTO) terus ditangguh antara enam hingga 12 bulan.
Pada Isnin (11 Apr), akhbar The Straits Times melaporkan bahawa para pembeli flat di sekurang-kurangnya tiga projek BTO dimaklumkan mengenai penangguhan lanjut terhadap tempoh persiapan rumah mereka.
Para pembeli projek-projek BTO Tampines GreenCourt, Clementi NorthArc dan Woodleigh Hillside yang menjangkakan flat mereka akan siap pada suku ketiga tahun ini kini perlu menunggu antara tiga dengan enam bulan lagi.
Dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp, HDB menyatakan bahawa sektor binaan terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 yang masih berterusan, meskipun ia dapat "menyambung semula beberapa projek" dengan bekerja rapat dengan kontraktor dan menawarkan langkah-langkah sokongan bagi mengurangkan kesan penangguhan.
"Namun, tahap penangguhan itu berbeza mengikut projek, dan bergantung pada faktor-faktor khusus bagi tapak BTO itu seperti kesediaan tenaga kerja, cabaran teknikal di tapak binaan, prestasi kontraktor dan ketersediaan bekalan bahan," menurut HDB.
"Ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan dan situasi COVID-19 di China yang bertambah buruk juga menambah lagi ketidaktentuan terhadap situasi bekalan rantai, dan kami terus memantau perkembangan ini dengan sangat teliti."
Ia menambah bahawa penangguhan itu "sebahagian besar kekal" dalam anggaran enam hingga 12 bulan, kecuali projek-projek dengan situasi luar biasa seperti Waterway Sunrise II di Punggol.
Bagi projek-projek yang masih dibina, HDB menyatakan ia menjangka kebanyakan pembeli flat dapat berpindah masuk ke flat masing-masing dalam tempoh empat hingga lima tahun selepas menempah flat masing-masing, jika tiada kejadian tidak diduga yang berlaku.
"Waktu median menunggu buat masa ini bagi projek-projek yang dilancarkan pada 2020 dan 2021, selepas mengambil kira penangguhan disebabkan pandemik COVID-19, masing-masing adalah sekitar 4.5 tahun dan 3.8 tahun," menurut HDB.
KEMAS KINI BERKALA TENTANG PROJEK
Lembaga berkanun itu juga menyatakan bahawa para pembeli yang terjejas diberi kemas kini "secara berkala" mengenai garis masa projek dan tarikh persiapan yang disemak flat-flat baru mereka.
Mereka akan dimaklumkan tentang sebarang perubahan terhadap tarikh kemungkinan siap sepanjang fasa binaan.
Makluman pertama tentang penangguhan lazimnya diberikan 18 bulan sebelum tarikh kemungkinan siap bagi membolehkan para pembeli flat yang terjejas untuk mencari rumah alternatif buat sementara waktu.
"Sedang kerja-kerja binaan diteruskan, kami akan menghubungi para pembeli pada detik-detik berkala sebelum tarikh kemungkinan projek siap dan akan memaklumkan mereka tentang sebarang penangguhan lanjut terhadap projek mereka.
"Surat-surat ini akan dihantar menjelang tarikh kemungkinan projek itu siap dan lazimnya adalah makluman penangguhan yang kedua," ia menambah.
HDB juga menambah ia belum lagi menghantar sebarang makluman penangguhan ketiga bagi projek-projek BTO yang sedang dibina.
"Kami maklum bahawa penangguhan dalam pembinaan flat-flat baru menimbulkan kesulitan kepada para pembeli flat dan menjejas rancangan kehidupan mereka, dan para pembeli flat berasa kecewa apabila dimaklumkan mengenai penangguhan itu," menurut HDB, sambil menambah bahawa ia akan terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas.
Mereka yang tidak dapat tinggal buat sementara waktu dengan anggota keluarga atau sanak saudara boleh hubungi HDB bagi mendapatkan bantuan.
Ia juga akan mempertimbangkan untuk mengecualikan sebarang kos kerugian bagi mereka yang ingin membatalkan pembelian flat itu untuk membeli flat jualan semula.
"HDB akan terus bekerja rapat dengan kontraktor projek dan perunding kami untuk mempercepatkan kerja-kerja binaan secepat mungkin, tanpa menjejas mutu projek serta keselamatan dan kesejahteraan para pekerja," ia menambah.
Usaha-usaha ini termasuk pelbagai langkah sokongan seperti perkongsian kos kenaikan kos berkaitan COVID-19 bagi membantu para kontraktor mengharungi tempoh ini serta membenarkan aktiviti-aktiviti binaan yang "tidak begitu bising" dijalankan pada hari Ahad dan cuti umum.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.