HDB meterai perjanjian dengan 2 politeknik; bentuk pemimpin masyarakat seterusnya
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang bekerjasama dengan dua politeknik tempatan untuk melentur generasi pemimpin masyarakat seterusnya.
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang bekerjasama dengan dua politeknik tempatan untuk melentur generasi pemimpin masyarakat seterusnya.
Kerjasama itu akan menyediakan peluang-peluang bagi seminar, latihan amali dan pendampingan masyarakat sebagai sebahagian modul praktikum para pelajar.
HDB memeterai dua perjanjian dengan Politeknik Temasek dan Politeknik Singapura semasa satu acara kemasyarakatan siang tadi (29 Mei).
Modul-modul itu dijangka membantu para penuntut berhubung dengan para penduduk dan warga emas dengan lebih berkesan.
Ia juga bagi memanfaatkan kemahiran mereka agar dapat melakarkan dan menjalankan program pendampingan.
Langkah itu sebahagian usaha untuk mengadakan banyak lagi kegiatan kemasyarakatan sedang keadaan pandemik bertambah baik.
HDB juga mengiktiraf lebih 700 individu dan 15 pertubuhan atas sumbangan tenaga sukarela dalam inisiatif 'Friends of Our Heartlands'.
Sejak ia dilancarkan, hampir 14,000 sukarelawan tampil menyingsing lengan.
Pandemik ini menyaksikan lebih ramai penduduk beralih ke media sosial dan kumpulan-kumpulan sembang untuk berinteraksi dengan orang-orang dalam masyarakat sekeliling.
"Dengan pelonggaran sekatan-sekatan, terdapat peluang-peluang bagi para penduduk untuk kembali berhimpun," kata Menteri Kedua Pembangunan Negara Indranee Rajah di acara pemeteraian itu.
"Bagi sesetengah penduduk, ia adalah peluang untuk akhirnya mengenali wajah pada nama yang dilihat dalam kumpulan sembang pembelian berkelompok di WhatsApp atau mengenali jiran yang memuat naik gambar-gambar di kumpulan Facebook tempatan," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.