Skip to main content

Singapura

HDB menang anugerah hartanah bertaraf dunia bagi estet Bidadari

Anggaran Waktu Membaca:
HDB menang anugerah hartanah bertaraf dunia bagi estet Bidadari

(Gambar: HDB)

Diterbitkan : 31 May 2024 08:06AM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) memenangi anugerah emas bagi estet Bidadari dalam Kategori Pelan Induk Anugerah World Prix d’Excellence FIABCI 2024 yang diadakan di Singapura pada Khamis (30 Mei).

Ia merupakan satu-satunya anugerah emas dunia bagi Singapura tahun ini dan kali pertama pemaju hartanah Singapura memenangi anugerah emas dalam Kategori Pelan Induk, menurut HDB dalam kenyataan medianya.

FIABCI adalah akronim Perancis untuk Persekutuan Hartanah Antarabangsa.

Anugerah World Prix d'Excellence FIABCI, yang diadili oleh sebuah juri antarabangsa, mengiktiraf projek-projek binaan yang paling cemerlang di seluruh dunia.

Menurut HDB, pelan induk untuk Bidadari diiktiraf atas seni bina dan reka bentuk inovatif, pembangunan dan pembinaan serta kemudahan-kemudahan yang mengutamakan masyarakat.

"HDB dipilih bagi anugerah itu oleh panel juri antarabangsa di luar Singapura," menurut Presiden FIABCI-Singapura Lim Lan Yuan.

“Ia menjadi bukti perancangan induk cemerlang yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa atas reka bentuknya yang disusun dengan baik dengan mengambil kira alam semula jadi dan alam sekitar.”

Diumumkan sebagai kawasan perumahan baharu pada 2013, Bidadari digambarkan sebagai “Masyarakat dalam Taman” di mana ruang-ruang awam untuk berinteraksi sesama penduduk, ketersambungan pengangkutan yang mudah dan persekitaran seperti taman digabungkan untuk menawarkan pengalaman “menetap dalam taman” kepada para penduduk, menurut HDB.

Tarikan utama Bidadari Park dan sebuah tasik di estet tersebut, dengan tiga daripada empat daerah di Bidadari - Alkaff, Woodleigh dan Park Edge - direka sedemikian rupa untuk memanfaatkan pemandangan taman dan tasik.

Kemudahan-kemudahan sosial seperti tempat makan, taman permainan dan kawasan tempat duduk berbumbung telah dirancang untuk setiap daerah bagi memupuk masyarakat yang cergas dan bertenaga.

Ciri lain ialah Bidadari Greenway sepanjang 1.6km yang, dipenuhi dengan tempat rehat dan sudut kecergasan, merentasi seluruh estet dan menghubungkan penduduk dengan taman tersebut. Greenway South siap dibina pada tahun 2021, manakala Greenway North pula dijadual siap pada hujung tahun ini.

Disebabkan oleh lokasinya sebagai tapak persinggahan burung migrasi, Bidadari turut menampilkan kawasan berbukit seluas 1 hektar yang dikekalkan walaupun kawasan sekitarnya terus dibangunkan. Di Woodleigh Glen di daerah Woodleigh, para penduduk boleh melihat pemandangan bukit dari kawasan memerhati burung sepanjang 200m - yang pertama dalam pembangunan HDB.

Di hab masyarakat dan gaya hidup bersepadu, Woodleigh Mall, para penduduk mempunyai pelbagai pilihan untuk membeli-belah, menjamu selera, penjagaan kesihatan dan runcit.

Dengan siapnya daerah Woodleigh, dan pembinaan lebih banyak flat di daerah Alkaff, Bartley Heights dan Park Edge pada tahun depan, HDB menegaskan ia menepati sasaran untuk merealisasikan visinya iaitu "Masyarakat dalam Taman" untuk Bidadari.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita