Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lancarkan hampir 5,000 flat BTO Ogos ini; 2 projek model lokasi utama

Flat-flat BTO yang dilancarkan bulan ini akan ditempatkan di estet-estet matang dan belum matang - Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chu Kang, Jurong East, Tampines dan Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Aug 2022 12:32PM Dikemas Kini : 30 Aug 2022 10:22PM
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Selasa (30 Ogos) melancarkan 4,993 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada bulan Ogos ini.

Flat-flat itu akan ditempatkan di tujuh bandar di kedua-dua estet matang dan belum matang - Ang Mo Kio, Bukit Merah, Choa Chu Kang, Jurong East, Tampines dan Woodlands.

Harga unit-unit itu bermula dari S$113,000 bagi flat tiga bilik dan S$217,000 bagi flat empat bilik selepas geran, menurut HDB dalam kenyataan medianya.

Daripada tujuh projek itu, dua daripadanya yang terletak di Bukit Merah - Havelock Hillside dan Alexandra Vale - adalah di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).

"Sehingga 20 peratus flat PLH bagi kedua-dua projek ini akan diperuntukkan bagi pemohon keluarga kali pertama dan sehingga dua peratus bagi pemohon keluarga kali kedua di bawah Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumahtangga (MCPS)," menurut HDB.

Ini dua pertiga daripada kuota biasa.

"Kuota yang dikurangkan itu akan menyediakan lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura yang tidak mempunyai anggota keluarga yang tinggal berhampiran kawasan itu untuk turut mempunyai peluang tinggal di lokasi-lokasi tersebut," menurut HDB.

Alexandra Vale juga akan disepadukan dengan flat sewa dua bilik bagi memastikan persekitaran kehidupan yang inklusif, jelasnya.

Memandangkan flat PLH diberikan subsidi tambahan, para pemilik perlu memulangkan kepada HDB sebahagian peratusan harga jualan semula atau taksirannya apabila mereka menjual flat mereka itu, mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi Havelock Hillside dan Alexandra Vale, jumlah yang perlu diperolehi semula daripada para pembeli flat ditetapkan pada enam peratus dan akan dikenakan tanpa mengira sama ada flat itu dijual pada masa akan datang, menurut HDB.

Jumlah yang perlu diperolehi ini setimpal dengan jumlah subsidi tambahan yang diberikan.

HDB juga menasihati para pembeli rumah yang akan berpindah ke flat mereka lebih awal boleh mempertimbangkan projek-projek BTO di Choa Chu Kang, Tampines dan Woodlands kerana ia mempunyai masa menunggu paling pendek selama 3.8 tahun atau lebih singkat dari itu.

Bagi memenuhi pelbagai keperluan perumahan, flat flexi dua bilik hingga lima bilik dan flat 3Gen juga akan ditawarkan bagi BTO kali ini, jelas HDB.

Permohonan bagi flat BTO yang dilancarkan pada bulan Ogos boleh dibuat online melalui InfoWEB HDB bermula hari ini hingga 5 Sep.

Para pemohon boleh memilih satu jenis atau kategori flat sahaja bagi satu bandar, menurut HDB.

Mereka yang mahu mendapatkan pinjaman rumah HDB bagi pembelian flat mereka perlu menyerahkan surat sah Kelayakan Pinjaman HDB apabila mereka menempah flat, kecuali bagi pasangan muda yang layak untuk penangguhan taksiran pendapatan.

PELANCARAN BTO SELANJUTNYA

HDB juga menyatakan ia akan menawarkan sekitar 9,500 flat BTO di bandar-bandar dan estet-estet seperti Bukit Batok, Kallang Whampoa, Queenstown, Tengah dan Yishun pada bulan November tahun ini.

Perincian lanjut akan diumumkan kelak.

Secara keseluruhannya, HDB akan melancarkan sehingga 23,000 flat baru pada 2022.

Pada Februari 2023, HDB akan menawarkan sekitar 2,900 hingga 3,900 flat BTO di bandar-bandar dan estet-estet seperti Kallang Whampoa, Queenstown dan Tengah.

"HDB akan melancarkan sehingga 23,000 flat baru pada 2023 dan bersedia melancarkan sehingga 100,000 flat secara keseluruhannya dari 2021 hingga 2025 jika perlu, bergantung kepada permintaan," jelas HDB.

"HDB akan terus memantau permintaan perumahan dan menyesuaikan rancangan jika perlu."
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan