HDB lancar tender tapak kondominium eksekutif di Yishun
Sebuah tapak kondominium eksekutif di Yishun dilancarkan untuk penjualan melalui tender awam.

(Gambar: Google Street View)
SINGAPURA: Sebuah tapak kondominium eksekutif di Yishun dilancarkan untuk penjualan melalui tender awam.
Tapak dengan tempoh pajakan 99 tahun itu terletak di Yishun Avenue 9 dan boleh menjana kira-kira 600 unit rumah, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan media pada Khamis (30 Apr).
Tapak seluas 21,514 meter persegi itu mempunyai keluasan lantai kasar maksimum 60,240 meter persegi.
Bagi memberi pihak pemaju lebih masa untuk membuat penilaian mereka memandangkan keadaan COVID-19 sekarang, HDB menyatakan bahawa ia akan menawarkan tempoh tender lebih lama enam bulan dengan tarikh akhir 12 tengah hari pada 29 Oktober.
Tapak tanah tersebut ditawarkan untuk penjualan di bawah Senarai Disahkan Program Jualan Tanah Pemerintah (GLS) untuk separuh pertama tahun ini.
Tapak tanah dalam Senarai Disahkan dari program GLS ditawarkan untuk penjualan tanpa mengira minat pasaran, manakala tapak dalam Senarai Rizab ditawarkan untuk tender hanya jika pemaju bersetuju untuk membuat bidaan pada harga yang dapat diterima oleh penguasa penjualan tanah.
Projek binaan dijangka ditangguhkan di tengah-tengah krisis tenaga kerja semasa penularan COVID-19.
Ribuan pekerja asing di Singapura - sebilangannya bekerja dalam industri binaan - dijangkiti COVID-19, membentuk kebanyakan kes-kes di negara ini sejak kebelakangan ini.
Sejak 7 April, semua kerja binaan dihentikan sebagai sebahagian daripada langkah pemutus rantaian jangkitan yang dilaksanakan Pemerintah untuk membendung penularan virus itu.
Pada 21 April, semua pekerja asing yang tinggal di dormitori diarahkan henti bekerja dan kekal di tempat penginapan mereka hingga 4 Mei.
HDB sebelum ini menyatakan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan para kontraktor untuk mempercepat pembinaan flat baru setelah langkah pemutus jangkitan ditarik balik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.