HDB lancar portal sehenti untuk beli flat baru
Para bakal pembeli dan penjual flat perumahan awam kini boleh memanfaatkan sebuah portal sehenti yang baru dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memudahkan lagi urusan jual beli.

(Gambar: Taufiq Hussein Zalizan/BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Para bakal pembeli dan penjual flat perumahan awam kini boleh memanfaatkan sebuah portal sehenti yang baru dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memudahkan lagi urusan jual beli.
Portal Flat HDB akan dilancarkan secara bertahap-tahap mulai Rabu (13 Jan), menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee dalam catatan Facebooknya.
"Portal baru ini akan memudahkan para pembeli dan penjual rumah untuk mengumpulkan maklumat mengenai pembelian atau penjualan sesebuah flat melalui satu wadah bersepadu," kata Encik Lee.
Sebuah kalkulator kewangan akan disediakan untuk para pembeli memeriksa bajet dan meneliti pelan pembayaran dan bagi para penjual pula, mereka boleh menganggarkan hasil penjualan serta senarai maklumat mengenai penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) sedia ada dan pelancaran akan datang adalah antara ciri-ciri portal tersebut.
Laman itu juga mengandungi senarai pinjaman di mana para pembeli boleh mendapatkan maklumat mengenai skim pinjaman yang ditawarkan oleh HDB dan institusi-institusi kewangan yang lain, kata Encik Lee.
Beliau menambah bahawa HDB sedang merancang untuk memasukkan senarai flat jualan semula dalam fasa seterusnya portal tersebut.
Portal Flat HDB merupakan fasa kedua bagi Portal Jualan Semula HDB yang dilancarkan pada 2018, kata Encik Lee.
Ia dilancarkan selepas mengadakan beberapa sesi rundingan bersama dengan para pemain industri dan pihak-pihak berkepentingan, katanya lagi.
"Portal Jualan Semula HDB menyingkatkan separuh daripada masa yang diperlukan bagi urus niaga jualan semula flat dari 16 minggu kepada sekitar 8 minggu dan mengurangkan bilangan janji temu bersama HDB dari dua kepada satu," kata Encik Lee.
"Kami akan terus meneroka cara-cara lain untuk memperbaiki proses urus niaga bagi para pembeli dan penjual flat HDB."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.