HDB lancar penjualan lebih 7,800 flat BTO termasuk kumpulan pertama dekat pusat bandar bebas kereta Tengah
Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan pada Rabu (12 Ogos) ia melancarkan penjualan bagi lebih 7,800 flat baru. Ini termasuk kumpulan pertama bagi unit-unit berdekatan pusat bandar bebas kenderaan yang pertama di Singapura iaitu Tengah.

Ciri utama Park District adalah pusat bandar bebas kenderaan Tengah yang akan disepadukan dengan Central Park berhampiran. (Gambar: HDB)
SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan pada Rabu (12 Ogos) ia melancarkan penjualan bagi lebih 7,800 flat baru. Ini termasuk kumpulan pertama bagi unit-unit berdekatan pusat bandar bebas kenderaan yang pertama di Singapura iaitu Tengah.
Sejumlah 7,862 flat disediakan di bawah penjualan flat Bina Ikut Tempahan (BTO). Ini merangkumi unit-unit daripada penjualan Mei lalu setelah penjualannya dibatalkan disebabkan oleh tempoh pemutus rantaian jangkitan COVid-19.
Selain Tengah, flat-flat BTO baru itu terletak di bandar-bandar belum matang Choa Chu Kang dan Woodlands serta estet-estet matang Bishan, Ang Mo Kio, Geylang, Pasir Ris dan Tampines.
Flat yang ditawarkan meliputi unit Flexi dua bilik dan unit lima bilik bagi memenuhi keperluan perumahan yang pelbagai oleh para pemohon kali pertama, pemohon keluarga kali kedua, warga tua dan golongan bujang, menurut HDB dalam kenyataan medianya.
Harga permulaan bagi flat-flat di bandar belum matang bermula dari S$90,000 untuk unit Flexi dua bilik di Woodlands hingga S$418,000 bagi unit lima bilik di Tengah, tidak termasuk geran.
Bagi estet-estet matang, harga permulaan adalah dari S$137,000 untuk flat Flexi dua bilik di Pasir Ris dan boleh mencecah S$571,000 di Ang Mo Kio.
Dalam kalangan pembangunan baru itu adalah Parc Residences @ Tengah yang meliputi 12 blok kediaman, yang direka dengan bumbung melengkung yang unik.
Ia bakal menjadi pembangunan perumahan awam pertama yang terletak di kawasan baru Park District, yang terletak berhampiran Tengah Park Avenue dan Tengah Drive. Sejumlah 1,044 unit ditawarkan di sana - merangkumi flat Flexi dua bilik hingga flat lima bilik.
Flat-flat di bawah pembangunan itu juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri seperti pencahayaan bijak di ruang-ruang awam untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan sebuah sistem penyejukan pusat. Harga bermula dari S$108,000 untuk flat Flexi dua bilik hingga SS$489,000 untuk sebuah unit lima bilik, tidak termasuk geran.
Keat Hong Verge, yang terletak antara Keat Hong Link dengan Choa Chu Kang Grove, akan menawarkan flat dengan waktu menunggu yang lebih singkat. Sebanyak 571 unit di tiga blok kediaman disediakan, bermula dari harga S$ 99,000 untuk unit Flexi dua bilik hingga S$326,000 bagi unit empat bilik, tidak termasuk geran.
Costa Grove di Pasir Ris, terletak antara Pasir Ris Drive 3 dengan Pasir Ris Green, pula akan menawarkan 1,070 flat.
Ini meliputi sembilan blok kediaman, dua daripadanya juga akan menempatkan unit flat sewa. Pembangunan tersebut akan mempunyai 10 blok secara keseluruhan, termasuk satu lagi blok flat sewa.
Harga bagi flat di Costa Grove bermula dari S$137,000 untuk unit Flexi dua bilik hingga S$581,000 bagi unit lima bilik, tidak termasuk geran.
SUBSIDI LEBIH TINGGI
Flat-flat baru itu diberikan subsidi yang tinggi, dengan mengambil kira lokasi, ciri-cirinya dan keadaan pasaran semasa, menurut HDB.
"Harga HDB jauh lebih rendah berbanding harga urus niaga flat jualan semula yang setanding di kawasan sekelilingnya. Selain itu, harga flat Flexi 2 bilik mengambil kira pajakan yang dipilih,” jelasnya.
Keluarga pertama kali memohon yang layak juga akan menerima sehingga S$80,000 di bawah Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG). Di bawah geran tersebut, pembeli boleh membayar serendah hanya S$10,000 untuk unit Flexi dua bilik, S$89,000 untuk unit tiga bilik, S$198,000 untuk unit empat bilik dan S$360,000 bagi unit lima bilik.
Keluarga kali pertama memohon akan terus diberikan keutamaan. Pemohon yang ingin tinggal dekat dengan ibu bapa atau anak mereka yang sudah berkahwin dalam projek BTO yang sama juga boleh mengemukakan permohonan bersama di bawah Skim Keutamaan Berbilang Generasi.
Permohonan bagi flat baru boleh dibuat secara online mulai Rabu hingga 18 Ogos.
Pelancaran BTO seterusnya pada November akan menawarkan sekitar 5,700 flat di Bishan, Sembawang, Tampines, Tengah dan Toa Payoh. Lagi 3,500 flat di Bukit Batok, Kallang Whampoa, Tengah dan Toa Payoh akan dilancarkan pada Februari 2021.
Sehingga 17,000 flat baru akan dilancarkan pada 2020 untuk memenuhi permintaan, kata mantan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada tahun lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.