Skip to main content

Singapura

HDB lancar khidmat senarai flat jualan semula; lebih 600 unit untuk dijual

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Satu khidmat baharu bagi urusan jual beli flat jualan semula telah dilancarkan secara rasmi pada Khamis (30 Mei) oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), dengan 600 unit sudah disenaraikan untuk dijual.

Bakal pembeli flat HDB dan ejen hartanah mereka kini boleh menggunakan khidmat tersebut untuk memeriksa senarai flat yang ditawarkan dan menjalankan urus niaga secara langsung dengan penjual flat atau ejen hartanah mereka.

Para penjual yang layak juga boleh menyenaraikan dan memasarkan flat mereka sendiri.
Mereka juga boleh melantik ejen hartanah untuk menguruskan jual beli flat mereka.

Ejen hartanah akan mempunyai akses untuk menguruskan aktiviti pelanggan mereka.

"Khidmat ini bermatlamat untuk membantu mereka menumpukan perhatian kepada menyediakan khidmat nilai tambah untuk para pelanggan mereka, seperti urusan perbelanjaan dan panduan tentang langkah seterusnya," menurut HDB.

Khidmat baharu itu dilancarkan secara tidak rasmi pada 13 Mei, yang membolehkan para penjual dan ejen hartanah mereka menyenaraikan unit-unit mereka di platform tersebut.

Akses awal ini juga membolehkan para penjual dan ejen hartanah mereka membiasakan diri dengan khidmat baharu itu dan tiada urus niaga dibenarkansepanjang tempoh tersebut.

"PASARAN HARTANAH YANG MAMPAN"

Para penjual akan dimaklumkan secara automatik jika harga mereka sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi daripada harga urus niaga tertinggi untuk unit berdekatan bagi jenis flat yang sama yang dijual dalam tempoh enam bulan lalu.

Ini akan membantu para penjual untuk membuat keputusan yang lebih berhemah mengenai harga jualan semula sambil mewujudkan "pasaran hartanah yang lebih mampan dalam jangka panjang", kata HDB.

HDB juga menegaskan bahawa ia "berhak untuk menggugurkan atau menurunkan penyenaraian yang ditawarkan pada harga yang tidak realistik atau mengandungi maklumat yang mengelirukan".

Para penjual juga dikehendaki mendaftarkan Hasrat Untuk Menjual yang sah agar mereka dapat menyenaraikan flat mereka di portal tersebut. Selain itu, mereka juga hanya boleh memuat naik satu penyenaraian sahaja bagi memastikan tiada duplikasi.

Meskipun sesiapa sahaja boleh menggunakan khidmat penyenaraian itu, hanya mereka yang mempunyai surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah boleh memperolehi butiran untuk menghubungi penjual dan menjadualkan janji temu untuk meninjau-ninjau flat tersebut.
Sumber : CNA/AY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita