Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lancar jumlah terbesar BTO pada November; tempoh permohonan dilanjut hingga 9 hari

Anggaran Waktu Membaca:
HDB lancar jumlah terbesar BTO pada November; tempoh permohonan dilanjut hingga 9 hari

Ulu Pandan Banks. (Gambar: Desmond Lee/Facebook)

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan lebih 9,600 flat untuk dijual di bawah latihan Bina-Ikut-Tempahan (BTO) pada November, iaitu tawaran BTO yang terbesar dalam satu pelancaran.

HDB juga melanjutkan tempoh permohonan bagi BTO pada November dan latihan Jualan Baki (SBF) kepada sembilan hari, naik daripada tujuh hari seperti biasanya. Ini adalah untuk memberi lebih banyak masa kepada bakal pembeli untuk mempertimbangkan pelbagai jenis flat yang ditawarkan.

Para pemohon akan dapat mengemukakan permohonan flat mereka dari 23 November sehingga 1 Disember. Permohonan boleh dibuat secara online di laman HDB InfoWEB.

HDB mengingatkan para pembeli bahawa permohonan bagi flat baru akan disenarai pendek menggunakan undi komputer dan bukan berdasarkan kaedah 'yang dahulu didahulukan'.

Para pemohon boleh memohon bagi satu jenis flat atau kategori saja di satu bandar di bawah mana-mana latihan, dan mereka tidak perlu untuk mengunjungi Hab HDB bagi mendapatkan maklumat atau membuat sebarang permohonan.

HDB menyatakan kebanyakan flat di estet bukan matang diperuntukkan bagi para pembeli kali pertama.

"Dengan lebih banyak flat dilancarkan di estet-estet bukan matang dan tambahan peluang undi bagi para pembeli kali pertama, para pemohon kali pertama yang memohon flat BTO di estet bukan matang boleh meraih peluang yang lebih cerah untuk mendapatkan sebuah flat," nyata HDB.

Secara keseluruhanya, 9,655 flat dilancarkan di bawah latihan BTO November, dengan unit-unit tersebut meliputi semua 10 projek di kedua-dua estet matang dan bukan matang di Kallang Whampoa, Queenstown, Bukit Batok, Tengah, dan Yishun.

Sekitar 60 peratus atau 5,681 unit ditawarkan di estet bukan matang, yang merangkumi hampir setengah daripada flat yang ditawarkan di estet bukan matang bagi 2022, menurut HDB.

PROJEK DI LOKASI UTAMA

Tiga projek - Ghim Moh Natura, Ulu Pandan Banks dan Kallang Horizon - ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH).
 


Model PLH diperkenalkan tahun lalu untuk memastikan flat HDB di kawasan utama dan tengah Singapura mampu dimiliki dan mudah diakses warga tempatan.

Memandangkan flat di bawah model PLH ditetapkan pada harga dengan subsidi tambahan selain subsidi-subsidi yang disediakan bagi kesemua flat BTO, para pemilik flat demikian harus memulangkan enam peratus daripada harga jualan semula HDB atau penilaian ketika menjual unit mereka, kepada HDB.

TEMPOH MENUNGGU BAGI PROJEK BTO


Bagi projek-projek BTO yang dilancarkan pada November, purata tempoh menunggu adalah 4.5 tahun.

HDB menasihatkan para pembeli yang sedang merancang untuk berpindah ke flat mereka secepat mungkin, untuk mempertimbangkan permohonan bagi unit di Garden Waterfront I & II @ Tengah, yang mempunyai masa menunggu yang paling singkat iaitu sekitar 3.3 tahun atau 40 bulan.

PROJEK BTO SETERUSNYA

Pada Februari 2023, HDB dijangka menawarkan sekitar 4,400 flat BTO di bandar atau estet seperti Jurong West, Tengah, Kallang Whampoa dan Queenstown.

Sebanyak 3,800 sehingga 4,800 flat pula akan ditawarkan di bandar atau estet seperti Tengah, Bedok, Kallang Whampoa, Serangoon dan Queenstown pada Mei 2023.

"Jumlah ini tertakluk kepada semakan memandangkan butiran lanjut projek akan dikukuhkan lagi sekitar tarikh pelancaran."

"HDB akan terus memantau permintaan perumahan dengan teliti dan bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 secara keseluruhannya dari 2021 hingga 2025, jika diperlukan."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan