Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

HDB lancar hingga 23,000 flat baru BTO setahun pada 2022 & 2023, penuhi permintaan 'kukuh'

Flat-flat baru BTO akan dilancarkan di Bukit Merah, Jurong West, Kallang Whampoa, Queenstown, Tengah, Toa Payoh dan Yishun pada 2022.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB lancar hingga 23,000 flat baru BTO setahun pada 2022 & 2023, penuhi permintaan 'kukuh'

(Gambar: CNA)

Diterbitkan : 16 Dec 2021 01:25PM Dikemas Kini : 16 Dec 2021 02:00PM

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) akan melancarkan sehingga 23,000 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) setiap tahun dalam tempoh dua tahun akan datang, sedang ia menambah bekalan untuk memenuhi permintaan "kukuh" bagi perumahan daripada rakyat Singapura.

Flat-flat yang akan dilancarkan pada 2022 dan 2023 akan bertempat di estet-estet matang dan juga yang belum matang, menurut HDB dalam kenyataan media pada hari ini (16 Dis).

Misalnya, akan terdapat "campuran yang baik" flat-flat baru yang akan dibina di Bukit Merah, Jurong West, Kallang Whampoa, Queenstown, Tengah, Toa Payoh dan Yishun tahun depan.

"Tambahan bekalan flat itu akan menyediakan lebih banyak pilihan bagi pasangan muda yang merancang untuk berkahwin dan mempunyai anak serta keluarga pembeli kali kedua, keluarga berangkai, warga tua dan juga orang bujang," tambah HDB.

HDB juga menyatakan ia sudah bersiap sedia untuk "melancarkan sebanyak 100,000 flat dari 2021 hingga 2025, jika diperlukan, mengikuti permintaan pada masa itu".

Pengumuman itu dibuat menyusuli langkah-langkah baru, yang mengejutkan, untuk meredakan pasaran hartanah. Mulai hari ini, kadar Cukai Setem Tambahan Pembeli (ABSD) akan dinaikkan bagi mereka yang membeli rumah buat kali kedua atau selanjutnya.

Nisbah Pembayaran Hutang Keseluruhan (TDSR) bagi peminjam akan diperketat, manakala had Nisbah Antara Pinjaman dan Nilai Hartanah (LTV) bagi pinjaman daripada HDB akan diturunkan.

Pihak berkuasa juga berikrar untuk menambah bekalan rumah privet dan awam. Maklumat lebih lanjut akan diumumkan hari ini.

Dalam kenyataan medianya, HDB menyatakan ia sudah menambah bekalan flat baru dalam tahun-tahun kebelakangan ini - dengan melancarkan sekitar 14,600 flat BTO pada 2019 hingga sekitar 17,100 bagi tahun ini. Perancangan untuk melancarkan sehingga 23,000 flat baru pada 2022 dan 2023 bermakna tambahan 35 peratus daripada jumlah pada 2021.

Permintaan bagi perumahan awam melonjak dengan "ketara" baru-baru ini, dengan jumlah pendaftaran yang diterima bagi setiap flat BTO meningkat dari 3.7 kali pada 2019 ke 5.5 kali pada 2021, menurut HDB lagi.

Ini disebabkan terdapat lebih banyak perkahwinan sedang kohort lebih besar yang dilahirkan pada hujung 1980an hingga 1990an mencecah usia sesuai untuk berkahwin serta trend keluarga lebih kecil.

Faktor-faktor berkaitan dengan COVID-19 dan juga pasaran jualan semula yang sedang rancak mendorong permintaan bagi flat BTO, menurut agensi tersebut.

HDB menekankan bahawa pihaknya akan terus memantau keperluan perumahan rakyat Singapura, sambil "menimbangkan trend jangka panjang demografi dan penduduk".

"Kami juga sedang memantau kemajuan projek-projek pembinaan BTO untuk memastikan ia dapat siap dibina tepat pada masanya. Kami akan terus membangunkan estet-estet perumahan baru pada masa akan datang dan memastikan perumahan awam kekal boleh dimampui oleh rakyat Singapura".

PERCEPAT TAMBAH BEKALAN RUMAH PRIVET

Secara berasingan, program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) bagi separuh pertama 2022 juga diumumkan, merangkumi lima tapak dalam Senarai Disahkan dan lapan tapak dalam Senarai Simpanan.

Tapak-tapak itu boleh menampung sekitar 6,500 unit kediaman privet, ruang komersil seluas 90,000 meter persegi dan menawarkan 530 bilik hotel, menurut Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Program GLS yang menawarkan tanah pemerintah bagi pembangunan privet, dirancang dan diumumkan setiap enam bulan.

Tanah dalam Senarai Disahkan mula dijual pada tarikh-tarikh yang sudah ditetapkan, dengan kebanyakan tapak tanah dijual melalui tender.

Manakala, bagi tanah dalam Senarai Simpanan, ia tidak akan dilancarkan untuk tender serta-merta tetapi akan disediakan untuk pendaftaran. Tapak dalam Senarai Simpanan akan dibuka untuk tender apabila pemaju hartanah menandakan harga paling rendah yang diterima oleh pemerintah.

Kali ini, Senarai Disahkan merangkumi lima tapak kediaman privet, termasuk tapak Kondominium Eksekutif (EC) di Bukit Batok West Avenue 5. Secara keseluruhannya, terdapat 2,785 unit kediaman privet, termasuk 495 unit EC.

Senarai Simpanan pula terdiri daripada lima tapak kediaman privet, termasuk tapak EC di Tampines Street 62, dua tapak di Kampong Bugis dan Woodlands Avenue 2, serta satu tapak hotel. Semua tapak tersebut akan menampung tambahan 3,715 unit kediaman privet, termasuk 700 unit EC, ruang komersil seluas 90,000 meter persegi dan menawarkan 530 bilik hotel.

Tentang pasaran perumahan privet yang rancak, MND menyatakan jumlah dan harga urus niaga meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini meskipun bergelut dengan kesan ekonomi dek pandemik COVID-19.

Sementara itu, inventori unit rumah privet yang tidak dijual juga merosot.

"Untuk memastikan terdapat bekalan rumah privet yang mencukupi untuk memenuhi permintaan dan memastikan stabiliti pasaran, Pemerintah memutuskan untuk menambah bekalan rumah privet dalam Senarai Disahkan kepada 2,785 unit bagi Program GLS 1H2022," menurut kementerian tersebut, sambil menambah bahawa terdapat 2,000 unit di bawah program GLS buat separuh kedua tahun ini.

MND jmenambah bahawa pihaknya "sudah bersiap sedia untuk mempercepatkan lagi penambahan bekalan jika permintaan kekal kukuh."

Pada masa yang sama, bekalan tambahan dalam Senarai Simpanan akan memberi pemaju hartanah pilihan bagi tapak-tapak untuk memulakan pembangunan jika ia mendapati ada permintaan, menurut MND.

"Pemerintah akan terus mamantau keadaan pasaran ekonomi dan hartanah dengan rapi dan menyesuaikan bekalan bagi program GLS, jika diperlukan, untuk masa akan datang."

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan