Skip to main content

Singapura

HDB lancar 7,964 flat BTO di 6 bandar, permohonan dibuka hingga 11 Nov

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 7,964 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di 6 bandar dalam latihan penjualan November 2026, dengan permohonan dibuka mulai Rabu (4 Nov) hingga 11 November.

Anggaran Waktu Membaca:
HDB lancar 7,964 flat BTO di 6 bandar, permohonan dibuka hingga 11 Nov

Gambaran artis projek Bayshore Sails, Toa Payoh Hillside, Merpati Meadow dan Chencharu Acres yang ditawarkan dalam latihan penjualan BTO November 2026. (Gambar: HDB)

Diterbitkan : 04 Nov 2026 12:50PM
HDB launches 7,964 BTO flats in six towns, with applications open until Nov 11
  • HDB opened applications from Nov 4 to 11, 2026, for 7,964 BTO flats across seven projects in Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh and Yishun.
  • Standard, Plus and Prime flats include prices starting from S$266,000 before grants, two-room Flexi options, White flats that can be customised, and 256 community care apartments in Toa Payoh.
  • Housing grants can ease costs for eligible buyers, while owners of Plus and Prime flats must live in them for at least 10 years and return the subsidies when they resell.
  • Applicants need a valid HFE letter and will be selected by ballot; results are expected in January 2027, while the next exercise in February will offer about 4,300 BTO flats and 5,000 balance flats.
Dijana oleh AI

SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) melancarkan 7,964 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di 6 bandar dalam latihan penjualan November 2026, dengan permohonan dibuka mulai Rabu (4 Nov) hingga 11 November.

Sebanyak 7 projek ditawarkan di Bedok, Geylang, Sembawang, Tengah, Toa Payoh dan Yishun.

Ini merupakan latihan penjualan BTO pertama sejak had pendapatan isi rumah bulanan dinaikkan pada Ogos lalu, daripada S$14,000 kepada S$16,000 bagi keluarga yang layak, dan daripada S$7,000 kepada S$8,000 bagi pembeli bujang yang layak.

Menurut HDB, pelancaran terbaharu itu menjadikan jumlah flat baharu yang ditawarkan sepanjang 2026 sebanyak 23,928 unit, merangkumi 19,608 flat BTO dan 4,320 flat di bawah Penjualan Baki Flat (SBF).

7 PROJEK STANDARD, PLUS DAN PRIME

Tiga projek Standard ditawarkan, iaitu Sembawang Anchor di Sembawang, Plantation Dew di Tengah dan Chencharu Acres di Yishun.

Tiga projek Plus pula terdiri daripada Merpati Meadow di Geylang, serta Bayshore Sails dan Bayshore Oasis di Bedok.

Toa Payoh Hillside merupakan satu-satunya projek Prime dalam latihan penjualan kali ini.

Pembeli yang mahu mendapatkan rumah lebih awal boleh mempertimbangkan 1,310 flat di Sembawang Anchor, yang mempunyai tempoh menunggu kurang 3 tahun.

Enam projek lain pula menawarkan tempoh menunggu kurang 4 tahun.

HARGA FLAT BERMULA S$266,000 SEBELUM GERAN

Bagi projek Standard, harga flat 3 bilik di Plantation Dew bermula daripada S$266,000, manakala flat 4 bilik di Sembawang Anchor bermula daripada S$312,000.

Untuk projek Plus, flat 3 bilik di Bayshore Sails bermula daripada S$409,000, sementara flat 4 bilik di Merpati Meadow bermula daripada S$545,000.

Di projek Prime Toa Payoh Hillside, harga flat 4 bilik tanpa balkoni bermula daripada S$558,000, manakala unit dengan balkoni bermula daripada S$619,000.

Semua harga tersebut belum mengambil kira geran perumahan.

Keluarga pembeli kali pertama yang layak boleh menerima sehingga S$120,000 menerusi Geran Perumahan CPF Dipertingkat (EHG).

Dengan geran itu, pembeli yang layak boleh mendapatkan flat Standard 3 bilik pada harga serendah S$161,000 atau flat Standard 4 bilik daripada S$232,000, bergantung pada pendapatan dan kelayakan mereka.

KADAR PEMULANGAN SUBSIDI HINGGA 11%

Flat Plus dan Prime menerima subsidi tambahan kerana lokasinya yang lebih strategik dan nilai pasaran yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, pemilik tertakluk kepada syarat penjualan semula yang lebih ketat, termasuk tempoh penginapan minimum 10 tahun.

Kadar pemulangan subsidi ditetapkan pada 8% bagi Merpati Meadow, 9% bagi Bayshore Sails dan Bayshore Oasis, serta 11% bagi Toa Payoh Hillside.

Apabila flat dijual semula selepas tempoh penginapan minimum, pemilik perlu memulangkan sebahagian daripada harga jualan semula atau nilai flat, mengikut mana yang lebih tinggi, kepada HDB.

PILIHAN FLAT UNTUK BUJANG DAN WARGA EMAS

Lebih satu pertiga flat dalam latihan kali ini merupakan flat Flexi 2 bilik, yang ditawarkan di semua 7 projek.

Sebanyak 256 Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA) turut ditawarkan di Toa Payoh Hillside.

Ini merupakan projek CCA pertama sejak usia kelayakan diturunkan daripada 65 kepada 55 tahun.

Sementara itu, projek Plantation Dew di Tengah menawarkan pilihan flat 'White Flat' bagi unit 3, 4 dan 5 bilik.

Flat tersebut tidak mempunyai dinding pemisah dalaman tertentu, sekali gus memberi pembeli lebih kebebasan untuk menentukan susun atur rumah.

Harga unit berkenaan juga lebih rendah antara S$6,000 dengan S$9,000 berbanding unit dengan susun atur biasa, bergantung pada jenis flat.

PERMOHONAN DITUTUP 11 NOVEMBER

Pemohon perlu mempunyai Surat Kelayakan Flat HDB (HFE) yang sah dan hanya boleh memohon satu jenis flat di satu bandar.

Bayaran pentadbiran sebanyak S$10 dikenakan bagi setiap permohonan.

HDB menyatakan pemilihan pemohon dibuat melalui undian berkomputer, bukan berdasarkan siapa yang memohon terlebih dahulu.

Keputusan kedudukan giliran dijangka dimaklumkan pada Januari 2027, manakala proses pemilihan flat dijadual bermula pada Mac.

Latihan penjualan BTO seterusnya akan diadakan pada Februari 2027, dengan sekitar 4,300 flat di Bishan, Tampines, Tengah dan Toa Payoh.

Sekitar 5,000 flat SBF turut akan ditawarkan dalam latihan penjualan yang sama.

Bakal pembeli yang ingin menyertai latihan tersebut digalakkan memohon surat HFE lebih awal dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya pada 15 Disember 2026.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita